Edisi Utara: Penduduk rasa tertipu 10/8/2003 Oleh Zulfa Mohamad am@hmetro.com.my
PERMATANG PAUH: Sebelas daripada 44 keluarga di Kampung Setol, Jalan Baru, di sini, yang tidak puas
hati dengan jumlah pampasan membuat aduan kepada Pertubuhan Masyarakat Malaysia Yang Memerlukan Bantuan (MHS) Pulau Pinang.
Mereka mengambil keputusan mengadu kepada badan bukan kerajaan (NGO) itu kerana
masalah tuntutan pampasan bagi pengambilan tanah untuk projek perumahan tidak dapat diselesaikan sejak 1996.
Penduduk mendakwa pampasan yang dijanjikan pemaju terlalu rendah, malah penilaian hanya dibuat
pihak pemaju tanpa berbincang dengan penduduk terlebih dulu.
Wakil mereka, Mohamad @ Ahmad Din berkata, penduduk turut berasa tertipu kerana pengambilan tanah pada 1996, pada mulanya dikatakan untuk tujuan
pembinaan longkang.
Bagaimanapun, katanya, kini 11 keluarga yang masih belum berpindah `tersepit’ kerana pemaju menambak tanah merah berhampiran kampung sehingga mengundang masalah banjir setiap kali hujan
lebat.
“Sebelum ini, kami dijanjikan pampasan antara RM4,000 hingga RM5,000 pada 1996. Tapi sehingga kini kami tidak menerimanya, malahan ura-ura mengatakan kami hanya akan diberi RM1,800 bagi kos
pemindahan,” katanya.
Menurutnya, 33 keluarga yang sudah keluar ke tapak baru berhampiran Kampung Surau atau menyewa di tempat lain kini menyesal kerana pampasan yang diterima antara RM17,000 dan RM30,000
terlalu rendah.
Rakannya, Jamhari Yahya, 47, berkata sebelum ini penduduk berjaya mengumpul RM7,000 dan dibayar kepada sebuah syarikat guaman bagi menyelesaikan masalah tuntutan pampasan, namun wang itu
`hilang’ tanpa sebarang keputusan.
“Sudah tujuh tahun masalah ini berlarutan dan kami tidak mahu mengambil satu sen pun pampasan dijanjikan kerana tidak berpuas hati.
“Sepatutnya pemaju membayar
sekali ganda daripada penilaian yang dibuat mengikut tiga kategori iaitu tuan tanah, pemilik rumah dan penyewa,” katanya.
Yang Dipertua MHS, Jamaliah Tan Sri Harun turut meninjau kawasan ditambak dengan tanah
merah berhampiran rumah penduduk terbabit.
|