SURAT TERBUKA DARI HATI KE HATI BUAT DATO' SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI, PERDANA MENTERI MALAYSIA.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Kepada,
Yang
Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi Perdana Menteri Malaysia
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Dato' Seri,
Pertama sekali, saya mengucapkan tahniah dan syabas
kepada Dato' Seri kerana akhirnya berjaya mengambil alih kerajaan dari tangan Tun Dr. Mahathir. Sebagai seorang mukmin, saya berkeyakinan bahawa ini adalah ujian dari Allah SWT khas buat Dato' Seri dengan
mengizinkan Dato' Seri menjawat jawatan tertinggi negara. Sudah tiba masanya Dato' Seri bermuhasabah diri, mengkaji semula adakah Dato' Seri berada di atas landasan Islam yang sebenar seperti yang pernah dipelopori
oleh Rasulullah SAW. Dato' Seri berlatarbelakangkan pendidikan agama sejak dari kecil lagi. Seorang yang dibesarkan di tengah keluarga alim ulama' sudah pasti lebih mengenali Allah dan RasulNya serta segala suruhan
dan laranganNya.
Dato' Seri,
Janganlah pangkat kemewahan dan kesenangan dunia yang sementara ini menjadi penghalang kapada Dato' Seri untuk bermuhasabah diri. Tinggalkan itu semua! Berfikirlah sebagai
seorang abdi kepada Allah Yang Maha Pencipta. Cuba kembali melihat kepada perjalanan hidup Rasulullah SAW. Adakah perjuangan baginda bermatlamatkan takhta, harta dan wanita? Sirah an-Nabawiyah membuktikan perjuangan
baginda hanya bermatlamatkan mardhatillah semata-mata, dengan sebab itu semua tawaran yang berbentuk pangkat, harta dan wanita ditolak mentah-mentah oleh baginda SAW. Perjuangan baginda bukan kerana gilakan pangkat
dan kedudukan walaupun ketika di Madinah baginda adalah seorang ketua negara.
Dato' Seri,
Baginda SAW menolak tawaran menjadi pemimpin atau raja dari musyrikin Quraish sewaktu berada di Mekah
hanyalah semata-mata untuk mempertahankan :
1-Keaslian dakwah yang diperintahkan oleh Allah SWT terhadap Baginda serta memperlihatkan tujuan suci yang tidak ada pada dasar perjuangan yang lain daripada Islam
2-Matlamat pengabdian diri kepada Allah dengan mengikut jalan-jalan yang telah di tentukan oleh Islam dengan ertikata tujuan tidak menghalalkankan cara.
3-Dasar kedaulatan Islam yang berteraskan hukum
yang diturunkan Allah SWT, Islam tidak mementingkan pemimpin di kalangan orang Islam semata-mata.
Dato' Seri,
Semua petanda-petanda di atas membawa maksud yang satu iaitulah Islam bukan semata-mata
agama ibadat, tetapi Islam juga telah menetapkan bahawa umatnya hanya dibenarkan bernaung di bawah system pemerintahan Islam yang telah diturunkan (diwahyukan) oleh Allah SWT.
Dato' Seri,
Rujuklah
firman Allah Azza wajalla dalam surah an-Nisa' ayat 58 hingga 59 yang bermaksud ;
" Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan
hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baik kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa
melihat. Wahai orang-orang yang beriman, taatilah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah serta Ulil-Amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah(berselisih)
dalam sesuatu perkara, maka kembalilah kepada (kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih
baik akibatnya."
As-Syeikh Doktor Yusuf Al-Qardhawi di dalam kitabnya 'FIQHUD DAULAH', ada menegaskan bahawa " seorang pemimpin di dalam Islam bukan sekadar menunaikan kebajikan kapada rakyatnya
dari sudut pembanggunan duniawi semata-mata tetapi selaku seorang pemimpin dalam Islam dia bertanggungjawab untuk memimpin rakyat kembali kepada Allah". Ini juga adalah tugas sekelian Rasul-rasul alaihimus
salam yang menjadi pemimpin umat mereka.
Dato' Seri,
Janganlah menjadikan perbezaan parti di antara kita sebagai penghalang untuk Dato' Seri bermuhasabah diri secara ikhlas dengan teguran saya ini.
Kalaulah Rasulullah SAW sendiri bersedia menerima teguran dan saranan, saidina Omar bin Al-Khattab R. A. pun mendengar teguran dan saranan daripada seorang perempuan dari kalangan rakyatnya, saidina Abu Bakar
As-Siddik pula menyatakan taatlah kepada beliau selama mana beliau taat kepada Allah dan Rasulullah serta jangan taat kepada beliau jika beliau tidak taat kapada Allah dan Rasulullah, inikan pula Dato' Seri.
Dato' Seri,
Saya dengan rendah diri menyeru dan merayu agar Dato' seri memunafaatkan bulan Ramadhan Al-Mubarak ini (lebih-lebih lagi di sepuluh malam terakhir) sebagai medan muhasabah diri selaku seorang
ketua negara yang di amanahkan oleh Allah Azza wajalla.
Semoga Dato' Seri diberi taufik oleh Allah SWT di dalam hal ini, dan kembali ke jalan yang diredhaiNya agar persoalan yang bakal ditempuh di akhirat
nanti akan lebih mudah, insyaAllah.
Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan Datin Seri Endon agar melabuhkah tudung kepala hingga ke paras bawah dada seperti yang di perintahkan
oleh Allah SWT dan disepakati oleh para ulama' yang muktabar tentang pakaian menutup aurat bagi wanita serta serahkan urusan pentadbiran negara kepada Dato' Seri jangan dicampuri urusan pentadbiran tertinggi negara.
Semoga nasihat dan teguran saya ini diredhoi oleh Allah Azza wajalla.
Sekian,
Wassalamu alaikum.
Ustaz Hafiz Nordin Pengarah Jabatan Dakwah / Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau
Pinang. 14 Ramadhan 1424
|