Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

PAS Pulau Pinang Tambah 14 Cawangan Baru

Oleh Mohd Sabri Said
PULAU PINANG, 31 Dis (Hrkh)- PAS Pulau Pinang membuka lambaran baru 2003 dengan pertambahan 14 buah cawangan baru, kata Pesuruhjaya PAS Negeri, Mohd Hamdan Abdul Rahman.

Menurutnya, dua kawasan mencatitkan pertambahan mendadak iaitu Parlimen Kepala Batas dan Permatang Pauh.

Sekaligus menandakan serangan dan penindasan yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak mematikan semangat rakyat yang tetap mahukan perubahan menjelang pilihanraya umum akan datang, katanya. "Semangat yang terpahat di hati rakyat masih seperti dulu walaupun BN sering melakukan penindasan seperti menghadkan pengeluaran Harakah, tidak membenarkan ceramah, menukar individu yang menyokong pembangkang dan sebagainya, " ujar beliau.

Pertambahan ini bermakna Pulau Pinang mempunyai lebih 20,000 ahli yang berdaftar dan 120 cawangan. Kawasan Kepala Batas, pertambahan lapan cawangan baru menjadikan 26 cawangan keseluruhannya. Cawangan terbabit ialah Permatang Bendahari, Permatang Tok Elong, Kampung Tok Bedu, Permatang Janggus, Desa Bakau Tua, Taman Kuala Muda, Lahar Kepar dan Kubang Menerong.

Manakala parlimen Permatang Pauh pula meningkat enam cawangan lagi menjadikan jumlah 24 cawangan. Cawangan tersebut ialah Sembilang, Bandar Perda, Kepala Bukit, Teluk Indah, Taman Pauh Indah dan Mengkuang Mak Sulung.

Yang DiPertua PAS Kepala Batas, Ustaz Ghazali Husain berkata, pertambahan ini merupakan satu tamparan hebat kepada Umno Bahagian Kepala Batas yang sedang bermegah dengan kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad bahawa pengantinya ialah Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Jelasnya lagi, menjadi lumrah Islam akan tumbuh bila ada yang menyekat perkembangan maka tidak hairan kenapa PAS terus diterima ramai. "Perkembangan ini satu tamparan kepada Pak Lah yang telah mendapat kemerosotan undi sebanyak 6,659 dalam pilihanraya umum 1999, " katanya.

Sementara itu, Yang DiPertua PAS Permatang Pauh, Omar Hasan menyifatkan, perkembangan terbaru ini membuktikan persefahaman dan kekuatan Barisan Alternatif (BA) semakin kukuh. Golongan remaja kata beliau, sudah bijak membuat penilaian tidak seperti dahulu yang hanya menerimapakai apa saja yang dikatakan oleh pemerintah. "Sekarang ini banyak remaja telah bijak memilih. Contohnya di univesiti mereka sanggup menjatuhkan pemimpin prokerajaan yang jelas menolak Islam, " tegas beliau.