Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!
SOAL-JAWAB MENGENAI TANAH WAKAF PULAU PINANG

1.Sejauhmanakah proses menyelaras dan memantapkan strategi pembangunan tanah wakaf di seluruh negeri melalui pelaksanaan Sistem Maklumat Geografikal (GIS) yang dilaksanakan oleh Pusat Penyelidikan Dasar (PPD) Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1997.

Sistem Maklumat Geografikal (GIS) yang dilaksanakan oleh Pusat Penyelidikan Dasar (PPD), Universiti Sains Malaysia (USM) dalam tahun 1997 telah diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada bulan Januari 2000.  MAINPP dalam proses memasukkan data dan maklumat tanah wakaf dan baitulmal dalam sistem berkenaan.  Dalam waktu yang sama tindakan diambil untuk meningkatkan lagi keupayaan sistem supaya lebih user friendly.  Pelaksanaan sistem ini akan membolehkan MAINPP membuat perancangan serta pemantauan yang lebih berkesan terhadap tanah wakaf.

2.Jika sudah siap, nyatakan apakah tindakan pembangunan yang dibuat ke atas tanah-tanah wakaf berkenaan.

Walaupun sistem GIS tersebut belum siap sepenuhnya, MAINPP telahpun meluluskan cadangan beberapa projek pembangunan di atas tanah-tanah wakaf berikut:-

(i) Cadangan projek perumahan (pangsapuri kos sederhana dan kedai) di atas Lot PT 46, PT 47, PT 50 dan sebahagian Lot 1331 Mukim 7, Seberang Perai Utara.

 (ii) Cadangan projek perumahan (rumah teres dan cluster dua tingkat) di atas Lot 2470, Kuala Bekah, Jalan Padang Benggali, Seberang Perai Utara.

 (iii) Cadangan projek perumahan (pangsapuri kos sederhana) di atas Lot 1056, 1057 dan 1352, Lebuh Chulia, Seksyen 18, Daerah Timur Laut.

 (iv) Cadangan projek kedai pejabat di atas Lot PT 25, Seberang Perai Utara.

 (v) Cadangan projek perumahan (pangsapuri kos sederhana) di atas Lot 303 dan 304, Jalan Perak, Pulau Pinang.

 3.Sudahkah tanah wakaf ini dikembalikan kepada status asalnya yakni dikembali kepada asas wakafnya.

 MAINPP sedang mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang ke atas orang bukan Islam yang menduduki di atas tanah wakaf.  Ini adalah selaras dengan hasrat pewakaf yang mewakafkan tanah mereka di atas tujuan untuk faedah serta kegunaan kepada masyarakat Islam khususnya.

 4.Terdapat bangunan/premis dan juga tanah wakaf di sekitar Bandaraya Georgetown di duduki orang-orang bukan Islam.  Apakah tindakan yang telah diambil oleh kerajaan negeri bagi mengembalikan status tanah dan bangunan/premis ini kepada umat Islam?

 Bagi bangunan/premis dan juga tanah wakaf di sekitar Bandar Raya Georgetown yang diduduki orang-orang bukan Islam, pihak MAINPP telah mengambil tindakan mengeluarkan notis tamat penyewaan kepada mereka yang terlibat.  Selain daripada itu Majlis juga telah mendapat khidmat guaman bagi mengambil tindakan keatas mereka yang ingkar mengikut lunas undang-undang.

 5.Benarkah dakwaan yang mengatakan bahawasanya terdapat bayaran “duit kopi” yang begitu tinggi ditawarkan oleh penyewa pertama premis di atas tanah wakaf kepada penyewa kedua.  Sekiranya benar apakah langkah-langkah tegas kerajaan negeri untuk mengelak perkara ini daripada terus berlaku.

 Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang tidak pernah menerima apa-apa maklumat mengenai bayaran ‘duit kopi’ seperti dakwaan tersebut.  Bagi mengelakkan sebarang tomahan ataupun wujudnya unsur-unsur penyelewengan maka perjanjian sewa dengan penyewa baru dibuat terus antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dengan penyewa baru tanpa melibatkan penyewa pertama sama sekali.

 6.Sila nyatakan keluasan tanah wakaf dalam hektar dan adakah rancangan untuk membangunkan tanah tersebut?

 Jumlah keluasan tanah wakaf pada masa kini adalah 365.4458 hektar yang melibatkan 797 lot tanah di seluruh negeri.

Terdapat tiga cadangan pembangunan perumahan yang sedang dirancang pada masa ini seperti berikut :-

         (a) Lot 2470, Mk. 4, Seberang Perai Utara.

         (b) Lot 47 dan 50, Mk. 7, Seberang Perai Utara.

         (c) Lot 1056 dan 1057, Sek. 18, Georgetown, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

 7.Adakah Kerajaan Negeri sedar bahawa bayaran sewa premis-premis perniagaan di atas tanah Wakaf kepunyaaan MAIPP adalah terlalu rendah selepas pemansuhan Akta Kawalan Sewa 1999?  Sila nyatakan berapa banyakkah premis-premis perniagaan yang disewa kepada peniaga-peniaga Melayu?

 Pihak Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) telahpun mengambil tindakan menaikkan kadar sewaan bulanan terhadap premis-premis di bawah pentadbirannya mulai 1 Januari 2000.  Penentuan kadar sewaan ini adalah mengikut nilaian pasaran semasa dan ianya telah disediakan oleh pihak Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri Pulau Pinang.

 Pihak Majlis Agama Islam kini sedang mengumpul maklumat mengenai peniaga-peniaga Melayu yang berminat untuk menyewa premis-premis berkenaan.  Selain daripada yang sedia ada, terdapat 75 premis lagi yang sedang diambil kira oleh MPPP bagi tujuan menempatkan peniaga-peniaga Melayu. Proses ini dijangka dapat diselesaikan pada akhir tahun ini.

 Sejauh manakah inisiatif yang telah dan akan diambil oleh Kerajaan Negeri dalam pembelaan dan mengurus semula tanah-tanah wakaf yang terdapat di merata-rata tempat serta tidak dipedulikan di Negeri Pulau Pinang sekarang ini untuk dimanfaat oleh umat Islam di segi ekonomi, pembangunan, sosial, kebajikan dan pendidikan secara lebih profesional?

 8.Langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak Kerajaan Negeri bagi mengurus tanah-tanah wakaf di negeri ini adalah seperti berikut :

             a) mengenalpasti kesemua tanah-tanah wakaf di seluruh negeri ini.

             b) mendaftarkan tanah-tanah wakaf atas nama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang selaras dengan kehendak peruntukan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Negeri Pulau Pinang 1993.

            c) mengwujudkan satu sistem inventori tanah-tanah wakaf secara berkomputer “Geographical Information System” bagi memudahkan tugas pegumpulan data dan maklumat dibuat secara lebih sistematik.  Ianya baru saja disiapkan oleh sekumpulan perunding dari Universiti Sains Malaysia.  Dengan ada sistem ini akan memudahkan sebarang tugas perancangan dilaksanakan kelak untuk maksud pembangunan tanah wakaf.

            d)mempertingkatkan keupayaan hasil pendapatan daripada tanah-tanah wakaf.

            e) merancang strategi pembangunan berkesan atas tanah-tanah wakaf. Projek-projek  yang  telah dibangunkan setakat ini adalah seperti berikut:

            i) Rumah Pangsa Taman Abidin, Jalan Perak, Pulau Pinang.

            ii) Bangunan MARA Leboh Buckingham, Pulau Pinang.

Kini kajian sedang dijalankan untuk membangunkan beberapa bidang tanah wakaf yang terbiar tetapi mempunyai potensi.  Pendekatan yang digunapakai sebelum merancang sesuatu pembangunan adalah dengan memilih tanah-tanah wakaf yang kurang bermasalah.

Di antara cadangan pembangunan yang sedang dirancang adalah seperti berikut : i) Wakaf Alimsah Waley di Leboh Chulia.

ii) Wakaf Shaik Eusoff di Jalan Air Itam dan,

iii) Lot 1442, 1444, 252 dan 200, Seberang Jaya, SPT.

9.Adakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai rancangan untuk memajukan tanah-tanah wakaf di seluruh Seberang Perai dan Pulau Pinang?  Sila senaraikan status tanah wakaf di seluruh Negeri Pulau Pinang?

 Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai rancangan bagi memajukan tanah-tanah wakaf di seluruh Negeri Pulau Pinang.  Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri dalam tahun 1997 telah melantik perunding dari Pusat Penyelidikan Dasar, Universiti Sains Malaysia untuk menyediakan inventori tanah-tanah wakaf. Penyediaan inventori tersebut kini berada di peringkat akhir persiapan.  Inventori ini akan dapat membantu mengenalpasti tanah-tanah yang berpotensi untuk  dibangunkan.  Pada masa ini sebanyak 939 lot tanah wakaf telah dikenalpasti dengan keluasan 1,064.31 ekar.  Daripada jumlah tersebut, 515 lot atau 459.6 ekar telah diletakhak kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

10.Bolehkah Kerajaan Negeri menyatakan jumlah sebenar tanah wakaf yang terdapat di negeri ini? Nyatakan kawasan-kawasan yang telah dan akan dibangunkan. Nyatakan keluasan tanah yang telah diswastakan dan namakan syarikat yang memperolehinya?

(a)Jumlah lot tanah wakaf yang telah dikenalpasti adalah sebanyak 893 lot yang mempunyai keluasan 375.972 hektar.  Manakala tanah wakaf yang telah diletak hak atas nama Majlis Agama Islam sehingga kini berjumlah 360 lot.  Walau bagaimanapun Majlis masih menjalankan kajian untuk mengenalpasti tanah-tanah wakaf yang belum lagi didaftarkan atas namanya.  Bagi tujuan ini pihak Kerajaan Negeri telah melantik Pusat Penyelidikan Dasar USM untuk menyediakan satu inventori tanah-tanah Majlis secara berkomputer (Geographical Information System) pada pertengahan tahun 1997. Penyediaan inventori ini termasuklah tanah-tanah wakaf MAINPP dan sekarang berada di peringkat akhir untuk menyediakan pengkalan data secara berkomputer.   

 (b)Kawasan-kawasan yang telah dan akan dibangunkan adalah seperti berikut:

 Projek Yang Telah Dibangunkan:

 (i) Projek Rumah Pangsa, Taman Abidin, Jalan Perak, Pulau Pinang.(Sebahagian Lot 3285, P.B. 6, Georgetown,  Daerah Timur Laut,Pulau Pinang)

 (ii) Projek Bangunan MARA, Leboh Buckingham, Pulau Pinang. (Sebahagian Lot 605, 603 dan Lot 604 P.B. 18, Georgetown, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang)                        (iii) Projek MENARA UMNO, Jalan Macalister, Pulau Pinang. (P.T. 4, H.S.(D) 82, P.B. 16, Georgetown, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang)

Projek Yang Sedang Dibangunkan

(i) Projek Masjid Daerah Butterworth, Kampong Setol, Telok Air Tawar, (P.T. 45, H.S.(M) 1007, Mk.7, Seberang Perai Utara)

(ii) Projek Rumah Pangsa Kos Sederhana 5 Tingkat, Jalan Perak, Pulau Pinang. (Lot 303 dan 304 P.B. 9W, Georgetown, Pulau Pinang)  - Projek tertangguh sementara.

(iii) Cadangan Pembangunan Rumah Pangsa Kos Rendah/Sederhana atas Lot 2233, Jalan Langkawi, Pulau Pinang.

Tanah-tanah Yang Berpotensi Untuk Dibangunkan

(i) Cadangan Pemajuan Lot 208, Jalan Mengkuang, Seberang Perai Utara.

(ii) Cadangan Pemajuan Lot 1396 & 1606,Jalan Air Itam, Pulau Pinang.

 (iii) Cadangan Pemajuan Lot 561, 563, 318, 319, 323 & 331, Kampong Dodol, Pulau Pinang.

 (iv) Cadangan Pemajuan Lot 962,Jalan Air Itam, Pulau Pinang.

 (v) Cadangan Pemajuan Lot 363, Leboh Buckingham, Pulau Pinang.

(vi) Cadangan Pemajuan Lot 1220, 1228 & sebahagian, Lot 1221, Leboh Buckingham, Pulau Pinang.

(vii) Cadangan Pemajuan Lot 1238 & 603 Leboh Buckingham, PulauPinang.

(viii) Cadangan Pemajuan Lot 1056 & 1057,  Leboh Chulia, Pulau Pinang.

(ix) Cadangan Projek Masjid Simpang Enam, Jalan Macalister, Pulau Pinang.

(x) Cadangan Projek Pembangunan Surau Mat Saman, Jalan Arumugam Pillai, Bukit Mertajam.

(xi)Cadangan Pembangunan Kompleks Islam di Pongsu Seribu, Kepala Batas.

(xii) Cadangan Sekolah Menengah Agama Al-Masyhor, Balik Pulau.

(xiii) Cadangan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi di Pantai Acheh, Balik Pulau.

(xiv) Cadangan Pembangunan di tanah P.T. 3096, H.S.(M)1139, Mk.12,  Daerah Barat Daya, Pulau Pinang (belakang Masjid Bayan Baru).

 (b) Tidak ada tanah wakaf yang diswastakan untuk tujuan pembangunan. Kesemua tanah wakaf yang telah dibangunkan/sedang dibangunkan adalah dilaksanakan secara Joint-Venture.  Kaedah yang digunapakai ialah dengan cara Majlis memajakkan tanah kepada Syarikat Pemaju yang berkenaan.  Syarikat pemaju yang menjadi rakan kongsi adalah seperti berikut:

(i) Tetuan Amanah Capital Partners Bhd.

 (ii) Tetuan Gapurna Sdn. Bhd.                

 (iii) Koperasi Orang-Orang Melayu Pulau Pinang dan Seberang Perai Bhd.

 (iv) Majlis Amanah Rakyat (MARA)

 (iii) Inter Link General Services Sdn. Bhd.

 (ivi) UDA Holdings Sdn. Bhd.

 11.Satu cadangan untuk menubuhkan Pusat Perlindungan Wanita Islam ‘Dar Assaadah’ mengikut contoh pusat perlindungan yang ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telahpun dikemukakan kepada MAIPP.  Apakah tindakan yang telah diambil berkenaan dengan cadangan tersebut?

 Cadangan untuk menubuhkan sebuah Pusat Perlindungan Wanita Islam di Pulau Pinang telah diterima oleh MAINPP.  Pada masa ini, pentadbiran MAINPP sedang dalam proses mengumpul maklumat-maklumat berkaitan dengan tapak, pelan, kewangan dan sebagainya untuk dibentangkan bagi persetujuan Majlis Agama Islam, Pulau Pinang.  Setakat ini, sebidang tanah wakaf di Seberang Perai Tengah seluas 1.142 ekar telah dikenalpasti sebagai tapak yang akan diperakukan kepada Majlis. 

 12. Bahawa terdapat 3 lot tanah wakaf iaitu lot 1093 dan 1094 Mukim 12, Daerah Barat Daya Pulau Pinang yang didapati telah dijadikan sebagai tapak kedai membaiki kereta dan tempat meletak kenderaan untuk Restoran Teluk Bayan.  Manakala satu lagi ialah yang bersebelahan lot 1093 yang juga dipercayai sebagai tanah wakaf di mana terdapat Restoran Teluk Bayan.  Siapakah yang memberi kebenaran membina restoran tersebut?

 Untuk makluman, kedua-dua lot tanah di lokasi seperti yang dinyatakan iaitu lot 1093 dan lot 1094 Mukim 12, Daerah Barat Daya, adalah tanah wakaf yang telah didaftarkan di atas nama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) manakala 1 lot lagi yang bersebelahan dengan lot 1093 iaitu lot 5822 bukanlah tanah wakaf. 

 Mengikut siasatan awal daripada pentadbiran MAINPP mendapati bahawa aktiviti perniagaan yang dijalankan di atas lot tanah berkenaan iaitu lot 1093 dan lot 1094 telah dijalankan atas keizinan pemegang amanah yang terdahulu iaitu sebelum Majlis Agama Islam mengambil alih pentadbiran lot tanah berkenaan mengikut peruntukan Seksyen 92(1) dan 93(1) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1993. 

 Untuk makluman, tapak tersebut adalah memang sesuai untuk pernigaan dan pihak Majlis Agama Islam telahpun merancang untk membangunkan kompleks gerai yang berkonsepkan Pekan Rabu untuk peniaga-peniaga Islam di kawasan tersebut.  Projek ini adalah dengan kerjasama Jawatankuasa Pemandu Bumiputera atau JKP.  Seperti yang saya umumkan baru-baru ini, peruntukan untuk gerai-gerai di tiap-tiap kawasan telahpun diumumkan dan untuk projek-projek jangka panjang sedang diuruskan oleh JKP. 

 13.Saya ingin penjelasan jikalau sekiranya tanah ini sudahpun milik Majlis Agama Islam, mengikut Akta Wakaf, kenapakah Majlis Agama masih lagi membiarkan tapak ini dipergunakan dengan sebegitu rupa, yang agak terkeluar dari konsep wakaf  yang dikehendaki oleh para warisnya. 

 Sebenarnya, pihak Majlis Agama Islam tidak melihat begitu sahaja tetapi telahpun meminta supaya MPPP mengeluar atau menarik balik lesen perniagaan bagi tanah tersebut. Sementara itu, sementara kita menyediakan pelan untuk membangunkan kawasan itu, pihak Majlis Agama Islam cuma perlu menyelaraskan iaitu kita mengambil balik sewa backdated, bermakna kita ambil sewa daripada mula sehingga sekarang.  Kita menunggu pelan kita siap dan kita akan bangunkan dengan segera. Memang Majlis Agama Islam sedar bahawa kegiatan atau perniagaan yang berjalan di atas tanah itu tidak selari dengan kehendak-kehendak syariah kita.  Itu memang kita sedar dan akan kita selaraskan dengan membina kompleks gerai yang akan diduduki oleh peniaga-peniaga Islam.  Segala sewa yang terhutang akan kita dapatkan balik secara backdated sehingga tarikh permulaan perniagaan.

LAJNAH PEKERJA AWAM DAN SWASTA

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PULAU PINANG