Umno kurang bijak bangunkan status penduduk Melayu Oleh Mohd Sabri Said
TANJUNG TOKONG , 22 Julai (Hrkh) - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Abdul Rahman Kader berkata,
Umno kurang bijak di dalam usaha membangunkan status kehidupan penduduk Melayu di sekitar Tanjung Tokong.
Beliau berkata, keadaan itu berlaku kerana Umno lebih mementingkan kedudukan dan pengaruh daripada
memikirkan kebajikan penduduk setempat.
"Umno memang tidak bijak mengatur pendekatan membantu penduduk Melayu memajukan diri terutamanya dalam peningkatan taraf hidup kearah yang lebih terancang, "
jelasnya ketika dalam tinjauan bersama Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Mohd Hamdan Abdul Rahman.
Tinjauan tersebut diadakan berikutan desakan penduduk Melayu di situ yang kesal dengan Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bungah, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Umno Bahagian Bukit Bendera yang didakwa gagal membela nasib mereka.
Abdul Rahman yang juga Adun Penanti menjelaskan, melalui tinjauan itu,
pihaknya mendapati Umno tidak memberi tumpuan terhadap pembangunan penduduk Melayu yang diwakili Ketua Menterinya.
"Saya tidaklah menyalahkan Ketua Menteri kerana beliau yang berbangsa Tionghua sudah
semestinya memberi peluang terlebih dahulu kepada bangsanya," katanya. Tetapi beliau menegaskan, Umno perlu dipersalahkan kerana gagal memainkan peranan untuk membantu sesama kaum.
"Saya tidak
salahkan Koh Tsu Koon kerana memang menjadi naluri manusia akan tolong bangsanya. Tetapi saya cukup kesal Umno yang mendakwa tulang belakang orang Melayu tidak memainkan peranan untuk membantu bangsa sendiri, "
katanya.
Dalam tinjauan tersebut, antara tempat-tempat yang dilawati ialah pasar pagi di Tanjung Tokong, kawasan tebus guna tanah Tanjung Pinang, perkampungan Melayu Bagan Jermal dan saliran longkang
tersumbat di perkampungan Melayu Tanjung Tokong.
Turut serta Yang Dipertua PAS Bukit Bendera, Haji Halim Saleh, timbalannya, Abdul Rahim Ismail, setiausaha, Rahim Basir, Ketua Wanita KeAdiLan Bahagian Bukit
Bendera, Aminah Abdullah dan Ketua Dewan Pemuda PAS Bukit Bendera, Saiful Lizan Mohd Yusuf.
|