Amina Wadud, siapa di belakang siapa?
Monday, May 26 @ 18:40:52 MYT
Oleh Anual Bakhri Haron SIKAP spontan 20 peserta terdiri daripada pelbagai pemimpin Islam yang bertindak keluar Dewan
Persidangan Kedua Peringkat Antarabangsa dalam menangani isu HIV/AIDS yang diadakan di Kuala Lumpur sangat difahami.
Apabila seorang sarjana dari sebuah universiti di Virginia, AS menghina Islam, al Quran,
Syariah bawaan Nabi Muhammad S. A. W, apa lagi yang wajar dilakukan. Selain dari meninggikan suara tanda bantahan, memohon ruang untuk menyatakan hujah dan meninggalkan dewan setelah tidak dilayan oleh pengerusi
majlis di sesi yang dipengerusikan oleh Dr Ismail Baba itu, apa lagi yang mampu dilakukan oleh orang-orang yang beriman?
Jika diikuti tertib mencegah kemungkaran Imam Al Ghazali, terdapat empat tahap yang
perlu dilakukan iaitu pertama; memberi peringatan dengan berlembut; kedua, mencegah melalui kuliah; ketiga, mengucapkan kata-kata yang kasar dan keempat; mencegah dengan tangan, anggota dan kuasa
(Lihat Ihya Ulumuddin m. s. 344 - 346).
Saya melihat para sarjana yang memilih untuk meninggalkan dewan telah berbuat demikian berasaskan ilmu. Ini lebih-lebih lagi wajar apabila mereka memprotes kerana
tidak sanggup mendengar cemuhan dibuat ke atas Allah, Rasul, agama dan ajaran Islam yang diimani mereka.
Mereka tentu bimbang akan kemurkaan Allah S. W. T. dalam majlis yang dipercayai sedang menghina Islam.
Ini bersandarkan hadis Nabi S. A. W. yang bermaksud:
"Tidak ada suatu kaum pun yang melakukan maksiat-maksiat, sedang dalam kalangan kaum itu ada orang yang mampu mencegah mereka dari perbuatannya itu
tetapi ia tiada berbuat, tiadakah ia merasa bimbang bahawa Allah hampir-hampir akan menimpakan seksanya atas mereka sekalian." (Lihat Ihya' Ulumiddin m. s. 343)
Saya boleh bersetuju dengan anjuran satu
artikel dalam NST yang antara lain berbunyi "they should treat one another with civility and respect" (NST 25 Mei 2003 m. s. 8) tetapi suasana civil itu harus bersalingan.
Jika satu pihak asyik
membangkitkan dan "mendakwa ketidakmampuan Islam untuk menyelesaikan masalah AIDS" (Utusan Malaysia 22 Mei 2003) menyerang Islam dan Al Quran (NST 21 Mei 2003) dan berdegil bahawa "Saya (Amina) tetap
dengan pendapat saya" maka ini dinamakan tidak wujud lagi suasana waras.
Suasana sebuah "intellectual discourse" seharusnya civil tetapi apa lagi pilihan yang ada untuk menangani "seorang
Amina" yang sudah kelihatan tidak waras itu selain dari dilayan dalam bahasanya? Dalam hal inilah Nazlin selaku Penasihat Antarabangsa mengenai AIDS telah bertegas bahawa:
"Amina boleh dianggap
kufur dengan perbuatan tersebut, harus diberi masa selama tiga hari untuk bertaubat atau menghadapi tindakan yang akan diambil ke atas beliau."
Nasib baiklah PAS tidak menyertai majlis tersebut. Jika
tidak, PAS kemungkinan akan dituduh menghasut para delegasi untuk mencetuskan huru hara. Rupanya perkara iman dengan kufur adalah topik biasa. PAS telah berpuluh tahun berbicara tentang perkara ini yang mencemaskan
Umno dalam banyak perkara.
Di antara mereka yang meninggalkan dewan ialah Ketua Kadhi Kenya, Sheikh Ahmad Kassim, ahli akademik Afrika Selatan, Dr Shakira Cassim, Ahli Persatuan Perubatan Malaysia Dr Saadiah
Sulaiman, Sheikh Lee Baba dan Penasihat Islam Antarabangsa mengenai AIDS dari Kenya iaitu Nazlin Omar Fazaldin.
Apa yang lebih menghairankan lagi ialah keengganan Jawatankuasa Penganjur yang dipengerusikan
oleh Datin Paduka Marina Mahathir untuk meminta Amina meninggalkan konsultasi.
Setelah Nazlin yang menjadi jurucakap bagi membantah kertas kerja Amina Wadud mempersalahkan penganjur kerana memberi lampu
hijau kepada pembentangan yang telah terang-terangan menghina dan bercanggah dengan nilai-nilai Islam, sikap penganjur masih 'biasa'. Anehnya, di sebalik mempertimbangkan kewajaran tuntutan untuk Amina meninggalkan
dewan, Marina Mahathir pula yang meninggalkan jawatan.
Kalaupun orang boleh katakan itu sebagai sandiwara, kerana letak sekejap dan ambil semula yang menyerupai perangai bapanya, saya lebih berminat untuk
melihat sikap badan penganjur pada keseluruhannya.
Tidakkah kertas kerja berkenaan diteliti terlebih dahulu akan kandungannya sebelum diputuskan untuk edaran dan pembentangan. Jika dalam hal filem, kita ada
Badan Penapisan Filem, apa pula peranan Jakim di situ?
Jika peserta boleh dengan spontan menghidu kebejatan niat dan kandungan tidak suci pembentangan kertas kerja Amina lalu dengan pantas memprotes, Jakim
bagaimana? Lihatlah reaksinya. Kata Dato' Shahir, "pihaknya akan meneliti kertas kerja Amina." Rupanya belum lagi diteliti! Katanya lagi, "Jakim akan memberi penjelasan kepada semua apabila kajian
selesai." Bila?
Lihatlah bagaimana berbezanya reaksi cendikiawan Islam tempatan jika dibandingkan dengan sarjana Islam semasa dari serata dunia. Sikapnya jauh amat bertentangan.
Apabila ditanya
oleh wartawan sama ada buku-buku tulisan Amina Wadud diharamkan di negara ini sebelum ini, Ketua Pengarah JAKIM itu enggan memberikan pengesahan.
Begitu juga dengan keegganan beliau untuk membuat spekulasi;
jika kertas kerja Amina didapati boleh mendorong kepada kekufuran seperti yang didakwa oleh sebahagian peserta.
Terdapat juga rungutan lanjut tentang kredibiliti Jawatankuasa Penganjur itu sendiri. Ia
mengandungi individu-individu "who were not muslim enough to handle the issues." (NST 25 Mei 2003 m. s. 8). Demikianlah komen banyak kalangan.
Walaupun akhirnya Amina Wadud dilaporkan sebagai
meminta maaf di atas keterlanjuran perkataan-perkataan beliau dan beliau digambarkan berpelukan dengan Marina Mahathir, selesaikah segala-galanya?
Semudah itukah setelah berbakul-bakul penghinaan dibuat ke
atas agama sendiri secara terbuka di sebuah seminar yang bernama "Konsultasi Antarabangsa Kedua Pemimpin-Pemimpin Islam Dalam Menangani HIV/AIDS", Amina boleh dilepaskan dalam semangat "forgive and
forget".
Jawatankuasa penganjur yang dipengerusikan oleh anak kepada seorang Perdana Menteri pula boleh dengan mudah mencuci tangan setelah bergimik sebentar dengan acahan peletakan jawatan. Jakim pula
dengan seribu satu macam helah!
Izinkan saya tinggalkan persoalan-persoalan ini di situ untuk difikir dengan lebih lanjut oleh setiap warga yang cintakan Islam, nilai-nilai civil; berdepan dengan gelagat
sesetengah pihak dan intelektual Islam setempat. Bandingkanlah dengan denyut nadi kesedaran sarjana-sarjana Islam semasa di serata dunia. Kita berada di mana?
|