Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

Akal Akar Berpulas Tak Patah: Mahfuz hilang sabar:
Bantah ambil Puteri Umno jadi kakitangan sambilan SPR

Oleh Muhamad Safar Ahmad


DEWAN Rakyat semalam kecoh apabila beberapa ahli dari parti Pas bangun dan mengganggu penjelasan yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, berhubung isu pengambilan ahli Puteri Umno sebagai kakitangan sambilan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Suasana tegang itu berlaku ketika Tengku Adnan baru memulakan penjelasan beliau selepas diarah Speaker Dewan Rakyat, Tun Mohamed Zahir Ismail supaya memberi penjelasan mengikut peruntukan Perkara 14(1)(1).

Pada mulanya, Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) bangun meminta laluan untuk bercakap. Bagaimanapun, Tengku Adnan enggan membenarkan Mahfuz berbuat demikian sehingga beliau selesai memberi penjelasan.

Sebaik Tengku Adnan meneruskan jawapan, beberapa ahli parti pembangkang berkenaan bangun dan mula membuat bising.

Mohamed Zahir turut mengarahkan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Kuala Terengganu) meninggalkan dewan kerana mengeluarkan perkataan `bohong’ yang ditujukan kepada Tengku Adnan.

Dr Syed Azman terpaksa akur dengan arahan itu dan menarik balik kata-katanya.

“Yang Berhormat Kuala Terengganu, perkataan `bohong’ itu tidak boleh dikeluarkan...minta tarik balik...sekiranya Yang Berhormat tak mahu tarik balik saya minta Yang Berhormat keluar,” kata Mohamed Zahir sambil meminta Tengku Adnan meneruskan jawapan.

Suasana kembali `panas’ apabila tiba giliran Mahfuz mengemukakan hujah.

Beliau berkata, apa yang disebut oleh SPR dalam perjumpaan dengan ahli parti pembangkang ialah mereka (SPR) sudah mengambil tindakan iaitu tidak mengambil pembantu tadbir sambilan dari kalangan ahli Puteri Umno untuk bertugas.

“Sedangkan apa yang saya sebut bahawa maklumat yang disampaikan Majlis Raja-raja dan dijawab oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja kepada ketua pembangkang bahawa SPR sudah pun mengambil tujuh dari 45 calon yang dikemukakan oleh Puteri Umno kepada SPR.

“Selepas itu berlaku kekecohan maka baru ditamatkan perkhidmatan mereka dengan SPR.

“(Perkataan) ditamatkan perkhidmatan bermakna dia (SPR) sudah ambil. Membatalkan pengambilan bermakna tidak ambil lagi...faham tak...saya cakap Melayu...saya nak minta supaya kerajaan mesti meminta maaf...kalau Yang Berhormat (Tengku Adnan) masih nak pertahankan itu bermakna berlaku percanggahan antara Yang Berhormat dengan setiausaha SPR.

“Setiausaha SPR berkata, SPR jamin tidak akan berulang kesilapan...dia mengaku pengambilan Puteri Umno satu kesilapan,” katanya menyebabkan ahli pembangkang lain menepuk meja.

Mohamed Zahir cuba menenangkan keadaan dengan meminta supaya Mahfuz tidak meneruskan hujahnya.

Mahfuz yang masih tidak berpuas hati bagaimanapun dengan lantang menyatakan bahawa ia adalah satu penyelewengan.

Mohamed Zahir terus meminta Mahfuz duduk dengan berkata: “Cukuplah Yang Berhormat...dia (Tengku Adnan) tidak beri jalan (supaya Mahfuz meneruskan hujah).”

Ketika ini beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang lain turut bangun dan bercakap menyebabkan suasana dewan bertambah kecoh.

Mohamed Zahir terus meminta semua ahli dewan mengawal perasaan bagi membolehkan persidangan berjalan dengan lancar.

“Kalau yang salah..salahlah,...kalau yang betul...betullah..itu saja,” kata Mohamed Zahir menyebabkan dewan bertambah gamat. Mahfuz bagaimanapun enggan mengalah dan terus berhujah tanpa menggunakan pembesar suara.

Mahfuz kemudian keluar dari dewan dan `tugasnya’ diambil alih Husam Musa (Pas-Kubang Kerian), bagaimanapun suasana tegang itu tidak berlarutan apabila Mohamed Zahir meminta dewan meneruskan aturan urusan mesyuarat seterusnya.