Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

Kerajaan patut jawab bukan sekat The Economist - Abdul Hadi

BUTTERWORTH:- Pemangku Presiden PAS, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan Malaysia sepatutnya menjawab semua tuduhan terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad yang dibuat oleh majalah `The Economist,' bukannya mengambil tindakan atau menyekat pengedaran majalah tersebut.

Beliau menegaskan, pihak berkenaan berhak mengkritik sesuatu perkara dalam sebuah negara yang mengamalkan dasar demokrasi. "Kerajaan Malaysia patut mencari jalan menjawab tuduhan tersebut kerana ia adalah cara terbaik berbanding menyekat hak bersuara mereka. Saya rasa bertindak terhadap akhbar boleh mengaibkan negara ini, " jelasnya ketika ditanya selepas berucap dalam program dialog dan ramah mesra di Dewan Perhimpunan Cina, Jalan Kapital Keling, Pulau Pinang, semalam. Hadi berkata, ia bukan sahaja mengaibkan negara, bahkan melanggar prinsip kebebasan media.

"Sekiranya kerajaan Malaysia tidak melakukan perkara yang dianggap telah merosakkan sistem demokrasi, jangan pula melenting serta menggugut akan mengenakan tindakan undang-undang," katanya. Sementara itu, Abd Hadi yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, PAS bersedia 'berdialog' dengan rakyat setiap hari jika diberi peluang menggunakan media massa. Ini katanya, dasar yang dilaksanakan sekarang mendapat sokongan sebahagian besar rakyat berbanding cara pentadbiran kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) yang lebih bersifat 'paksaan'.

"Jika media elektronik bebas, kerajaan Terengganu sanggup berdialog dengan rakyat setiap pagi bagi mencari kaedah membantu meningkatkan kehidupan mereka, " ujarnya. Majalah The Economist keluaran terbaru didakwa menyiarkan laporan tidak benar mengenai negara ini dan menghina pimpinan negara, termasuk Dr Mahathir.