Hari Pekerja: PAS desak pekerja dihargai, diberi ganjaran lebih tinggi
Wednesday, April 30 @ 19:22:14 MYT 
KUALA LUMPUR, 30 April (Hrkh) - Para pekerja perlu diiktiraf dan diberi ganjaran setimpal bersesuaian dengan produktiviti yang diusahakan oleh
mereka di negara ini, kata Pemangku Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Katanya, antara cara terbaik membalas jasa para pekerja ialah dengan
memberi ganjaran dividen yang lebih tinggi bagi simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka, berbanding kadar dividen 4.25 peratus yang diumumkan
baru-baru ini. Pada masa yang sama, katanya, pihak pekerja juga perlu terus meningkatkan daya produktiviti dalam suasana ekonomi negara yang semakin merosot untuk menghadapi segala cabaran.
Beliau, yang juga Menteri Besar Terengganu itu, turut menyeru majikan supaya tidak mengambil kesempatan ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu untuk menekan pekerja masing-masing.
Selain itu, Abdul Hadi dalam perutusan sempena Hari Pekerja esok itu, turut melahirkan rasa kecewa dengan Persatuan Pengeluar Agrikultur Malaysia (MAPA)
yang memutuskan untuk memberi gaji minimun RM350 sebulan kepada para pekerja baru-baru ini.
Justeru kata beliau, PAS mendesak supaya pihak pekerja dan MAPA mengadakan
satu pertemuan untuk mengkaji semula keputusan tersebut.
"Jumlah tersebut adalah amat kecil dan berada di bawah garis kemiskinan," kata beliau.
Beliau juga berkata, langkah pembuangan pekerja dan penutupan syarikat hendaklah menjadi perkara terakhir berlaku dalam suasana ekonomi yang kurang baik sekarang ini.
Sehubungan itu kata beliau, kerajaan hendaklah mengadkan pelan bertindak yang komprehensif bagi mengelakkannya daripada berlaku.
Abd Hadi seterusnya berkata, PAS amat prihatin dengan peningkatan kadar
pengangguran di negara ini, terutamanya di kalangan graduan, sekaligus meminta kerajaan menyediakan sebuah rangka dasar bagi menangani masalah itu.
Dalam isu ekonomi yang lebih luas, beliau turut menggesa kerajaan agar tidak terlalu bergantung kepada perdagangan dengn negara tertentu sahaja bagi menjamin ekonomi negara terus mantap.
Sementara itu, dalam perutusan bersama sempena Hari Pekerja, Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Ismail dan Presiden Parti Rakyat (PRM), Dr Syed Husin Ali, berkata para pekerja bukan sahaja menghendaki gaji yang
lebih tinggi, bahkan memerlukan kemudahan sosial yang lebih baik, mudah serta murah seperti perumahan, pendidikan dan kesihatan.
Katanya, dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin merosot, akibat perang,
wabak SARS dan krisis ekonomi yang bermula pada 1997 masih dan belum dapat diatasi, kedudukan pekerja di lapisan bawahan sangat terancam.
Tetapi pada yang sama, kata kenyataan itu lagi, golongan kapitalis besar hanya mengutamakan keuntungan berbanding kebajikan pekerja sementra pihak pihak
pemerintah pula lebih ghairah membazirkan wang rakyat untuk projek mega yang tidak ekonomik.
"Mereka lebih muda memberi kontrak dan keuntungan besar kepada keluarga dan
suku-sakat pucuk pimpinan negara daripada menyediakan kemudahan sosial yang utama untuk kemudahan para pekerja.
"Keadaan ini lebih diburukkan lagi apabila majoriti pekerja tidak mempunyai keyakinan
terhadap kesatuan pekerja di negara ini," kata kenyataan itu.
Undang-undang yang tidak demokratik yang diwarisi daripada penjajah terus
dilaksanakan dalam bentuk yang lebih ketat menjadikan persatuan pekerja bertambah lemah, kata mereka.
Sehubungan itu, kata mereka lagi, golongan pekerja memerlukan kesatuan, pimpinan
serta keanggotaan yang lebih berani dan benar- benar komited kepada pembelaan nasib mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, Amnesty International (AI) dalam kenyataan hari ini
mendesak kerajaan memenuhi tanggungjawab hak asasinya di bawah Konvensyen Pertubuhan Pekerja Sedunia (ILO) sempena sambutan Hari Pekerja tahun ini.
Menurut kenyataan itu lagi, antara langkah yang perlu diambil oleh kerajaan ke arah itu ialah dengan meratifasi Konvensyen 87 ILO berhubung kebebasan berpersatuan
dan perlindungan hak untuk berpersatuan, mengkaji semula Akta Kesatuan Sekerja dengan memansuhkan semua peruntukan yang menghalang hak untuk berpersatuan
dan memansuhkan undang-undang yang menghalang pekerja daripada menikmati hak mereka seperti Akta Rahsia Rasmi, Akta Keselamatan Dalam negeri, Akta Percetakan dan Mesin Cetak dan Akta Hasutan.
|