Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

Antara insinerator dan najis babi
Oleh Salina Abdullah

PUSAT pemotongan babi di Jalan Rawang-Batang Berjuntai, Selangor hanya bernilai RM30 juta. Ia dibina di kawasan seluas 20 hektar dan mampu mengendalikan 3,500 ekor babi sehari apabila beroperasi sepenuhnya. Ia dikatakan akan menerima babi dari seluruh negara, memotong dan memprosesnya sebelum diedarkan kepada pelanggan.

Secara kasar, tiada yang pelik dengan kemudahan ini. Ia bukanlah satu-satunya pusat pemotongan babi yang wujud di negara ini. Industri ternakan babi sudah wujud sekian lama di Malaysia. Permintaannya terlalu tinggi bukan saja untuk pasaran tempatan malah luar negara, termasuk Singapura.

Sebelum merebaknya wabak Japanese Encephalitis (JE), yang dibawa ternakan ini dan mengorbankan ratusan nyawa pada 1999, wujud 138 ladang babi yang mengeksport 40 peratus daripada pengeluarannya. Malah, perangkaan Jabatan Perkhidmatan Haiwan menunjukkan 2.35 juta ekor babi dihasilkan setiap musim dan kira-kira empat juta ekor setahun dengan sebahagiannya untuk dieksport.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila pusat pemotongan babi turut dibina di seluruh negara bagi melengkapkan industri besar ini. Namun, pusat pemotongan babi di Jalan Rawang-Batang Berjuntai yang dikatakan sebagai pengganti pusat pemotongan di Seksyen 15, Shah Alam, mempunyai ceritanya sendiri iaitu dibina di kawasan tadahan hujan.

Pusat pemotongan babi milik Tip Top Meat Sdn Bhd (dulu dikenali sebagai Sentuhan Saujana) itu terletak kira-kira lima kilometer dari Jalan Rawang-Batang Berjuntai, hanya kira-kira tiga kilometer dari Sungai Sembah dan bersambung dengan Sungai Selangor, yang menempatkan loji pam dan rawatan air dengan kapasiti 2,700 juta liter air sehari kepada penduduk Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Pusat rawatan air berharga kira-kira RM6 bilion itu ketika ini membekalkan
60 peratus daripada bekalan air bersih untuk Selangor dan Wilayah Persekutuan. Daripada jumlah itu, 950 juta liter air sehari dibekalkan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd dan 1,750 juta liter sehari oleh Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash).

Kerajaan Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS), malah pemilik pusat pemotongan itu mendakwa premis berkenaan dilengkapi sistem tanpa sisa, iaitu sisa dirawat dan tidak dilepaskan ke persekitaran. Ia dikatakan kolam rawatan sisa yang merawat sisa sehingga tidak mengandungi bahan berbahaya sebelum ia disalurkan ke kolam takungan.

Tetapi, ada pula pegawai kerajaan negeri dan Pusat berkata, saluran paip akan dibina untuk menyalurkan sisa kumbahan dari pusat takungan itu terus ke laut bagi memastikan ia tidak mencemari alam sekitar.

Mana satu yang betul? Dimaklumkan, memang pada awalnya kerajaan negeri mahu pemilik pusat pemotongan itu membina saluran paip bagi menyalurkan terus sisa kumbahan babi itu ke laut supaya ia tidak mencemari tasik, kolam dan sungai di kawasan berkenaan. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, juga dikatakan bersetuju dengan cadangan ini.

Bagaimanapun, Tip Top Meat Sdn Bhd tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan kerana ia mahal. Bukan saja kos pembinaan dan penyelenggaraan paip, soal tanah siapa yang akan dilintasi paip ini juga harus difikirkan? Adakah kerajaan negeri atau syarikat terbabit akan membeli tanah-tanah ini?

Lantas, mereka mengemukakan teknologi yang kononnya canggih dan dibeli dari Denmark, mampu merawat najis dan sisa kumbahan babi dan yang lebih penting, sisa sifar (zero disposal) - tiada sisa kumbahan yang akan dilepaskan ke persekitaran. Khabarnya, teknologi itu membabitkan belanja RM12 juta.

Alangkah bagus jika benar seperti didakwa. Tetapi apakah jaminan kerajaan negeri khususnya bahawa tiada sisa najis babi ini yang akan 'terlepas' keluar dan mencemari sumber air pengguna?

Kita tolak jaminan Menteri Besar - kalau ada setitik pun najis babi mencemari sumber air, pusat pemotongan itu akan ditutup. Bukan tidak percaya, tetapi mengapa perlu tunggu sehingga pencemaran ini berlaku? Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Mungkin Kerajaan Selangor atau JAS juga boleh memberi jawapan dan penjelasan kepada beberapa persoalan berikut. Pemilik pusat pemotongan babi itu mendakwa tiada sisa kumbahan atau najis yang akan disalurkan ke luar dari premis itu.

Semuanya akan dirawat dan dikitar semula di premis berkenaan. Malah, sisa kumbahan itu akan disimpan dalam kolam takungan yang dilapik bahan antitelap supaya tidak menyerap ke dalam tanah dan mencemari air bawah tanah serta sungai.

Bagaimanapun, tinjauan Berita Harian mendapati kolam takungan tidak bersimen atau dilapik dengan bahan antitelap seperti dilakukan pada kolam rawatan sisa, menyebabkan sisa menyerap ke dalam tanah dan bercampur dengan air bawah tanah sebelum ke sungai, yang menjadi sumber air minuman penduduk.

Mungkin ramai juga yang kurang maklum, kawasan di mana pusat pemotongan babi dibina itu adalah kawasan paya dan paras air yang tinggi (ini dilihat berdasarkan kewujudan banyak tasik dan kolam di kawasan berkenaan). Oleh itu, sebarang pencemaran yang berlaku di permukaan atau sub-permukaan dengan mudah menyebabkan pencemaran air bawah tanah serta sungai.

Kawasan ini juga kawasan mudah banjir. Bayangkan apabila banjir berlaku, kolam rawatan dan takungan ini akan penuh dan melimpah. Ke mana mengalirnya air atau sisa kumbahan ini jika tidak ke tasik, kolam dan sungai?

Selain itu, mengapa ada saluran dan parit dibina dari kolam takungan itu ke tasik dan kolam di luar premis? Apa fungsi parit itu jika bukan menyalurkan air atau sisa kumbahan itu? Kita bimbang kerana tasik dan kolam yang banyak di kawasan berpaya itu berhubung-kait sehingga ke Sungai Sembah dan seterusnya bersambung dengan Sungai Selangor.

Pegawai kerajaan negeri juga berkata, sisa kumbahan itu akan dirawat dan dikitar semula untuk kegunaan di premis berkenaan. Bagaimanapun, pegawai agensi kerajaan mengatakan sisa kumbahan itu akan dibiarkan tersejat secara terbuka - dengan bantuan cahaya matahari.

Kita tidak harus lupa. Pusat pemotongan babi ini mengendalikan bukan sedikit babi dalam sehari tetapi 3,500 ekor. Berdasarkan kajian, 3,500 babi ini akan menghasilkan kira-kira 1.75 juta liter atau 1,750 meter padu (m3) efluen atau air kumbahan sehari.

Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Zaini Ujang, berkata efluen yang dihasilkan itu banyak dan adalah mustahil ia boleh dilupuskan menerusi sistem kolam terbuka dan sejatan.

Cuba saja kita bandingkan keadaan ini. Lopak air di jalan selepas hujan juga memakan masa berhari-hari malah berminggu-minggu untuk kering, inikan pula satu kolam yang memuatkan berjuta-juta liter air kumbahan. Tidak tahulah jika teknologi Denmark atau Perancis yang didakwa Tip Top Meat Sdn Bhd ini berupaya mempercepatkan proses sejatan.

Satu lagi perkara yang ingin disentuh ialah sikap rakyat yang kerap menolak langkah atau program kerajaan, walaupun untuk kebaikan mereka. Dalam hal ini, isu pusat pemotongan babi sebenarnya tidak banyak berbeza dengan isu insinerator - sistem pelupusan sampah yang mendapat tentangan banyak pihak.

Mengapa rakyat menolak? Kerana mereka tidak faham mengenai isu itu dan diberi maklumat yang salah. Seperti isu insinerator, rata-rata rakyat menolak kerana tidak tahu bahawa teknologi itu tidak berbahaya seperti didakwa segelintir pihak. Persoalannya, ke manakah perginya kementerian dan agensi yang bertanggungjawab? Di mana perginya pakar yang sepatutnya mendidik dan menyampaikan maklumat tepat?

Dalam isu babi ini, kebimbangan rakyat tidak harus diketepikan atau disamakan dengan insinerator walaupun kedua-duanya ada membabitkan isu kesihatan dan keselamatan pengguna.

Kajian saintifik sudah membuktikan teknologi insinerator bersih dan selamat, malah bahan pencemar dioksin yang dibebaskan loji itu, yang didakwa menyebabkan penduduk terdedah kepada risiko barah, sebenarnya jauh lebih rendah daripada paras yang dibebaskan aktiviti lain seperti pembakaran terbuka.

Najis babi pula memang sudah terbukti amat toksik dan mengandungi pelbagai bahan pencemar yang amat degil untuk dirawat. Selain ammonia dan bakteria, sisa daripada najis babi juga mengandungi beban organan yang tinggi di samping pelbagai jenis parasit helminth yang apabila mengalir ke sungai, parit atau tasik boleh memusnahkan sumber air bersih.

Satu kajian ke atas Sungai Sepang beberapa tahun lalu mendapati kumbahan najis babi juga mengandungi paras logam berat iaitu zink, kuprum, plumbum dan kadmium yang tinggi dan boleh menjejaskan kesihatan pengguna jika menggunakan sumber air yang tercemar dengan najis berkenaan.

Logam berat seperti kuprum dicampurkan ke dalam makanan babi bertujuan merencatkan pertumbuhan cacing yang menjadi parasit dalam tubuh haiwan itu serta meningkatkan tumbesarannya. Penggunaan zink dalam makanan babi pula adalah untuk mencegah penyakit cacing (parakeratosis) dan penyakit kulit
(dermatitis) yang sering menyerang anak babi.

Sungai Sepang antara sungai yang disifatkan 'mati' akibat pencemaran najis babi. Mereka yang memakan ikan atau hasil tangkapan dari sungai yang tercemar itu, boleh mengalami kerosakan organ penting seperti buah pinggang, hati, saraf pusat dan saraf pinggir, dalam jangka panjang.

Zink boleh menyebabkan gangguan sistem penghadaman, cirit-birit, mual, muntah, kegelisahan dan kekejangan otot, manakala kuprum menyebabkan nausea
(pening), gastrik dan muntah.

Plumbum pula boleh mengganggu sistem saraf pusat dan saraf pinggir yang mengakibatkan kerosakan otak, gangguan mental dan hiperkinetik (kelakuan agresif), merosakkan saluran usus dan buah pinggang di samping dipercayai boleh menyebabkan kanser. Kadmium boleh menyebabkan kecederaan janin dalam kandungan ibu yang mengandung selain sakit paru-paru.

Satu kajian yang dijalankan sebuah syarikat swasta di Sungai Sembah dan Sungai Selangor, September tahun lalu, mendapati paras pencemaran di kedua-dua sungai itu meningkat dipercayai berpunca daripada kumbahan najis babi dari ladang ternakan berdekatan, bersebelahan pusat pemotongan babi milik Tip Top Meat Sdn Bhd.

Kajian itu mendapati paras ammonia dan bakteria di sungai berkenaan meningkat sejak ladang ternak babi beroperasi di kawasan itu, berbanding tahun sebelumnya. Paras ammonia di Sungai Selangor meningkat kepada 2.1 miligram per liter (mg/L) tahun lalu berbanding 0.37 mg/L pada tahun sebelumnya, melebihi piawaian yang dibenarkan Kementerian Kesihatan iaitu
1.5 mg/L manakala pengukuran paras bakteria pada setiap kali persampelan dilakukan melebihi piawaian 5,000 MPN (most propable number - angka yang paling mungkin).

Ammonia dan bakteria T Coliform petunjuk yang digunakan bagi menentukan mutu air. Peningkatan paras ammonia dan T Coliform menunjukkan air mengalami pencemaran. Ammonia adalah sebatian nitrogen bersifat toksik dan boleh menjejaskan kesihatan manusia di samping hidupan akuatik. Selain najis ternakan, ammonia juga hadir dalam baja nitrat yang digunakan untuk pertanian.

Daripada kajian ini, tidak mustahil pengguna akan terdedah kepada risiko serupa apabila pusat pemotongan babi itu beroperasi. Ladang ternak itu sudah diarahkan tutup atas alasan ia mencemarkan persekitaran dan mengganggu keselesaan penduduk berhampiran tetapi tutup yang itu, buka yang ini. Kedua-duanya sama, membabitkan industri babi.

Mungkin benar, pusat pemotongan babi ini akan dikendalikan tanpa menjejaskan alam sekitar, keselamatan dan kesihatan pengguna. Tetapi, kerajaan negeri, agensi kerajaan berkaitan, baik JAS mahu pun Jabatan Perkhidmatan Haiwan malah Tip Top Meat Sdn Bhd perlu telus dan bersikap proaktif menjelaskan kepada rakyat mengenai keberkesanan dan keselamatan sistem yang akan digunakan - jika ia benar-benar selamat.

Hakikatnya, banyak lagi persoalan yang perlukan jawapan. Siapa yang akan memantau dan memastikan pusat pemotongan ini beroperasi mengikut undang-undang dan tidak mencemari persekitaran?

Siapa yang akan memantau lori-lori yang membawa 3,500 ekor ini? Apakah kesannya kepada penduduk di sekitar atau sepanjang jalan yang dilalui lori-lori ini? Bagaimana pula dengan sensitiviti masyarakat Islam, apatah lagi, sehingga kini tiada syarikat pengeluar air di negara ini yang mempunyai atau menggunakan teknologi yang dapat merawat air yang dicemari najis babi, apatah lagi fatwa yang membolehkan air ini diminum sekali pun selepas dirawat.

Saintis Singapura sudah tentu 'tersenyum' melihat rakyat Malaysia, khususnya penduduk Selangor dan Wilayah Persekutuan yang minum 'air najis babi' - lebih teruk berbanding rakyat Singapura yang hanya minum sisa kumbahan (Newater) - sisa manusia dan ternakan lain, kecuali babi berikutan tiada industri babi di republik itu.

Hakikatnya, Malaysia sebuah negara Islam dan sebagai sebuah negara Islam, tidak salah rasanya jika sensitiviti kaum dan agama dijadikan pertimbangan sebelum sesuatu keputusan diambil.