Peserta bantah `serangan hina Islam' Sekali lagi Islam dihina di negara Islam.....
KUALA LUMPUR 20 Mei - Konsultasi Antarabangsa Kedua Pemimpin-Pemimpin Islam Dalam Menangani Isu HIV/AIDS hari ini kecoh apabila beberapa pemimpin Islam bertindak keluar dewan persidangan kerana membantah seorang
pembentang kertas kerja dari Amerika Syarikat (AS) yang menyerang dan menghina agama Islam. Insiden berkenaan berlaku sewaktu seorang pensyarah dari Universiti Komanwel Virginia, Prof. Madya Amina Wadud
membentangkan kertas bertajuk, Maksud Mudah Terdedah Kepada Bahaya. Amina dalam kertas kerjanya mendakwa pandangan serta pendapat Islam tidak dapat menyelesaikan masalah AIDS.
Selain itu, beliau memuatkan beberapa pandangan yang dilihat sebagai kontroversi dan tidak wajar dibangkitkan dalam sebuah forum pemimpin Islam. Antara pendapat beliau yang menimbulkan kemarahan peserta ialah
ungkapan berbunyi, ``... dalam agama Islam isteri-isteri bukan sahaja diharapkan mengangkang kaki untuk suami mereka tetapi dituntut untuk berbuat demikian yang mana perbuatan berkenaan difahamkan sebagai Islam.''
Amina turut mempersoalkan sejauh mana hukum Islam seperti larangan untuk melakukan zina dapat menyelesaikan masalah AIDS. ``Quran dan Syariah adalah berdasarkan keperluan dan kenikmatan seksual kaum lelaki,'' kata
beliau lagi. Selepas Amina menamatkan pembentangannya, Penasihat Islam Antarabangsa Mengenai AIDS, Wanita dan Perbezaan Jantina Kenya, Nazlin Omar Fazaldin Rajput mendakwa Amina telah menghina agama Islam dan wanita
dalam kertas kerja beliau. ``Apa yang diperkatakan beliau adalah salah dan tidak adil dan saya sebagai seorang Islam tidak dapat menerima perkara ini,'' katanya.
Seorang lagi peserta Dr. Abdul Majid El Katme dari Persatuan Perubatan Antarabangsa, United Kingdom kemudiannya bangun dan mendakwa Amina berniat jahat terhadap agama Islam dan cuba meracuni pemikiran peserta. ``Saya
tidak dapat menerima semua penghinaan yang dilemparkan ke atas agama Islam serta Nabi Muhammad,'' katanya dengan suara yang tinggi. Abdul Majid menuduh Amina mempunyai agenda tersendiri dan menyuruh Amina
mendedahkan diri beliau yang sebenar. Amina hanya mendiamkan diri dan tidak memberikan sebarang jawapan ke atas dakwaan-dakwaan yang dilemparkan kepadanya.
Pengerusi sesi berkenaan, Prof. Madya Dr. Ismail Baba kemudiannya mencadangkan supaya peserta yang tidak berpuas hati berbincang selepas kesemua pembentang kertas kerja membentangkan kertas kerja mereka.
Bagaimanapun, keadaan menjadi tidak terkawal dengan Nazlin dan Abdul Majid meninggikan suara dan mengancam untuk meninggalkan dewan sekiranya pihak penganjur meneruskan sesi tersebut. Terdapat beberapa lagi peserta
yang menyokong tindakan mereka berdua. Keadaan tersebut memaksa Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa (IAC), Datin Paduka Marina Mahathir menasihatkan mereka yang tidak berpuas hati supaya bersabar dan
memberi laluan kepada sesi berkenaan disambung.
Bagaimanapun, ketika pembentang kertas kerja yang kedua iaitu Roslan Hamzah menceritakan pengalaman hidup beliau yang kini disahkan penghidap HIV, seramai 20 orang peserta bertindak meninggalkan dewan. Selain Nazlin
dan Abdul Majid, turut meninggalkan dewan ialah Ketua Kadi Kenya, Sheikh Hammad Kassim; ahli akademik Afrika Selatan, Dr. Shakira Cassim; ahli Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Dr. Saadiah Sulaiman dan Sheikh Lee
Baba dari Gambia. Marina kemudiannya mengadakan mesyuarat tergempar IAC bersama ahli jawatankuasa yang lain sementara peserta yang keluar daripada dewan mengadakan satu mesyuarat tidak rasmi di sebuah bilik lain.
Amina kemudian didapati menghilangkan diri. Pihak media yang cuba menghubunginya di bilik hotel diberitahu yang beliau akan turun untuk berjumpa dengan Marina.
Selepas mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa IAC, Amina memberitahu wartawan yang beliau tetap berpegang kepada kertas kerja yang dibentangkan. ``Apa yang berlaku hanyalah masalah berhubung adab (etika),''
katanya sambil menambah beliau masih dalam proses pembelajaran. Setelah hampir lebih dua jam bermesyuarat, Nazlin yang dilantik sebagai jurucakap bagi peserta yang membantah kertas kerja Amina, berkata beliau
mahukan IAC menghalang penyertaan lanjut Amina, membatalkan kertas kerjanya dan memberi peluang kepada semua peserta untuk memberi maklum balas mengenai kertas berkenaan.
Nazlin berkata, pihak penganjur harus dipersalahkan kerana mereka memberi lampu hijau kepada Amina untuk membentangkan kertas kerja yang bercanggah dengan nilai Islam. Marina yang ditemui selepas mesyuarat tersebut
memberitahu IAC tidak akan membatalkan penyertaan Amina di dalam forum itu. Bagaimanapun, persoalan sama ada kertas kerja yang dibentangkan akan dibatalkan atau tidak masih belum diputuskan lagi. ``Pihak penganjur
mengundang beliau dan membenarkan beliau membentangkan kertas kerja tersebut atas prinsip perbincangan dan menambahkan pengetahuan mengenai penyelesaian masalah AIDS,'' katanya. Marina juga memberitahu yang kesemua
peserta akan mengadakan sesi khas esok bagi membincangkan insiden yang berlaku petang ini.
|