Laporan polis iringi persaraan Dr Mahathir
KUALA LUMPUR, 31 Oktober :-Pemuda Barisan Alternatif (BA) membuat laporan polis di seluruh negara sebaik sahaja Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Ketua Pemuda PAS, Salehudin Ayub dan
Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd Nor membuat laporan polis di Cambell manakala lain-lain pemimpin pemuda negeri membuat laporan polis di ibu negeri masing-masing.
KOTA BHARU, Pemuda Barisan Alternatif (BA) petang ini membuat laporan polis berkaitan jenayah dan salah laku yang pernah dilakukan oleh Dr Mahathir Mohamad
semasa menjadi Perdana Menteri. Laporan polis itu dibuat sebagai 'hadiah istimewa' kepada bekas Perdana Menteri bagi mengiringi perpisahan dengan kuasa politik yang pernah melindunginya sebelum ini.
Rombongan pemuda BA itu diketuai Ketua Dewan Pemuda PAS, Haji Zulkapli Yaacob dan ia turut disertai Ketua Pergerakan Pemuda KeADILan Kelantan, Zamakhsari
Ibrahim. Laporan polis tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu kira-kira jam 3.20 petang, sebaik sahaja Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengangkat sumpah
menerima jawatan Perdana Menteri di Istana Negara. Laporan terbabit melibatkan lapan perkara termasuk kes Dr Mahathir menyekat pendakwaan ke atas kroni-kroninya,
campurtangan melambatkan proses penyiasatan kes yang melibatkan kroni, penyelewengan dana-dana awam bagi membantu syarikat kroni.
Selain itu, penyalahgunaan akta draconian seperti ISA, OSA dan Akta Cetak, menyekat kebebasan badan penguatkuasa, mengagihkan tender secara runding
kepada kroni, mempengaruhi integriti dan kebebasan kehakiman serta menyebabkan kerugian besar dana awam. Laporan yang dibuat melibatkan 52 kes yang membabitkan
Dr Mahathir dan kabinetnya sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Antara kes yang dilaporkan termasuk ke atas bekas Ketua Menteri Melaka, Tan
Sri Abdul Rahim Tamby Chik, kes Perwaja dan Tan Sri Eric Chia, kes Dato' Seri Anwar Ibrahim dan juga kes Petronas. Zulkapli berkata, laporan polis itu dibuat berdasarkan
fakta dan harus dipercepatkan penyiasatannya. "Pihak berkuasa mesti bertindak kerana perkara ini melibatkan kepentingan rakyat dan jika berterusan pemimpin baru
yang mengambil alih kuasa berkemungkinan akan meneruskan tradisi ini," jelasnya. Zamakhsari berharap laporan polis yang dibuat kali ini tidak lagi disimpan dalam fail
semata-mata. Katanya, berpuluh-puluh laporan yang dibuat sebelum ini oleh BA hanya disimpan begitu sahaja. "Jika benar siasatan dibuat seharusnya pihak yang melapor
dimaklumkan hasil siasatan agar tidak timbul prasangka," ujarnya. Azman Shapawi ketuai buat laporan polis
KUALA TERENGGANU, 1 Nov :- Naib Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani membuat laporan polis di ibu pejabat polis di sini, jam 5 petang
semalam. Beliau yang diiringi oleh kira-kira 200 termasuk pemimpin pemuda PAS negeri membuat laporan itu terhadap penyelewengan dan salah laku Dr Mahathir Mohamad
semasa menjadi Perdana Menteri. Sebelum itu, mereka berkumpul di Pejabat Perhubungan PAS negeri di Jalan Sultan Omar. Azman yang juga Adun Rantau Abang
membuat laporan itu kepada Koperal Sakinah Abdullah dengan nombor laporan 8031/2003.(SA)
Azizi Ayob ketuai Pemuda BA buat Laporan Polis P. Pinang
PULAU PINANG, 31 Okt 2003: ~ jam 4.45 ptg rombongan DPPN Pulau Pinang yang diketuai oleh Ketua Dewan Pemuda
PAS Negeri Saudara Azizi Ayob, Timbalan Ketua Pemuda Ust Hafiz Nordin berserta beberapa Exco DPPNPP telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontijen Negeri Pulau Pinang di Gerogetown.
Kehadiran dianggarkan seramai 100 orang pendokong dan penyokong PAS.
Tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dan semua pergerakan berjalan
lancar. Laporan telah disahkan diterima oleh pegawai polis yang bertugas iaitu Lans Koperal Sabri.
Walaubagaimanapun, nombor salinan repot akan dikeluarkan pada hari Isnin 3 November 2003.
Setelah laporan dibuat, rombongan DPPN yang diketuai oleh Sdr Azizi telah membuat satu kenyataan akhbar di perkarangan balai tersebut.
Beliau menggesa supaya pihak polis menyiasat dengan segera aduan yang telah dibuat bagi menentukan keterlibatan Dr Mahathir Mohammed dalam pelbagai jenayah,
penyelewengan dan salah guna kuasa sepanjang 22 tahun memerintah Negara ini.
|