Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

Wanita Melayu dan pelacuran

Oleh : Nik Abdul Aziz Nik Mat
BARANGKALI Menteri Besar yang paling banyak bercakap mengenai wanita ialah saya. Semakin banyak saya bercakap semakin banyak saya dihentam.

Daripada kempen menggalakkan wanita menutup aurat yang saya lancarkan di sekitar tahun 1990 hinggalah isu wanita bekerja diwaktu malam, wanita cantik dan kurang cantik, wanita yang berpakaian mendedahkan aurat sebagai punca rogol, serta poligami; semuanya telah disensasikan secukup-cukupnya oleh pemimpin Umno di pelbagai peringkat.

Media cetak dan elektroniklah saluran yang digunakan. Apapun, saya tetap saya. Saya tangkis dan tetap bersabar mempertahankan hujah. Segala-galanya saya lakukan di atas dasar keprihatinan terhadap wanita sebagaimana ucapan Rasulullah S.A.W. dalam Haji Wida'.

Sebagaimana Islam menghargai wanita sebagai insan dan bukan bahan komoditi, sebegitulah saya melihat wanita. Mereka ada maruah, tetap mulia dan wajib diletakkan di kerusi asal kemuliaannya.

Mereka mulia, semulia kaum lelaki selagi memainkan peranan pengabadian kepada Allah S.W.T. Wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia. Ini Sabda Rasulullah S.A.W.

Pada 5 April 2003, sekali lagi Malaysia dikejutkan dengan satu berita yang menyedihkan. Ia berbunyi: "Wanita Melayu paling ramai melacur iaitu mewakili 60%" - (Lihat Utusan Malaysia 5 April 2003).

Jika berita dukacita ini perlu dihubungkan dengan mana-mana kementerian untuk meminta pertanggungjawaban, maka kementerian itu ialah Kementerian Pembangunan Wanita. Menterinya ialah seorang pemimpin Umno yang juga seorang wanita.

Pelacuran adalah puncak kehinaan bagi kehidupan wanita. Jika keseluruhan 60 peratus najis pelacuran itu dimonopoli oleh wanita Melayu, maka apa lagi yang boleh diharapkan dari pemimpin Melayunya.

Umno sesungguhnya sudah tidak layak lagi untuk bercakap mengenai pembelaan bangsa. Pelacuran ini bukan tercetus secara mendadak. Ada faktor sekular yang kait mengait dan saling merosakkan. Siapa penajanya?

Saya dari dulu lagi menegaskan yang tidak ada apa yang ada pada bangsa. Ia cuma pengenalan suku kaum. Semua nilai yang memuliakan orang Melayu diambil dari Islam dan semua nilai yang menghina orang Melayu adalah berpunca dari amalan meninggalkan ajaran Islam.

Allah S.W.T. telah mengharamkan zina sejak kira-kira 1,424 tahun yang lalu. Zina dan pelacuran bukan setakat diharamkan tetapi Islam telah mengatur kaedah untuk menjauhi punca-punca awal yang boleh membawa kepada amalannya. Cuba kita perincikan maksud Ayat Al Quran ini:

"Jangan kau menghampiri zina, sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk." (Surah Al Israa': Ayat 32) Jelas di sini bahawa faktor-faktor yang boleh membawa kepada zina dan pelacuran itu dari awal telah diminta untuk dihindari.

Ini termasuklah larangan pandang memandang, etika berpakaian, kawalan pergaulan, pemisahan tempat tidur di antara anak lelaki dan perempuan, akhlak bermusafir dan batalnya wudhu' mengikut Mazhab Shafie jika bersentuh antara lelaki dan perempuan yang sah nikah.

Ini lebih-lebih lagi diterima oleh orang Melayu yang menerima Mazhab Shafie. Ini bermakna disiplin agama Islam itu begitu cermat. Segala saluran yang dikira boleh membawa manusia kepada zina dan pelacuran ditutup keseluruhannya. Di bawah ini izinkan saya mengambil sedikit bukti langsung disalin dari sumber Al Quran dan Hadith. Semuanya jelas:

i) Bahaya Pandang Memandang
"Dan katakanlah olehmu (Muhammad), kepada orang-orang perempuan yang beriman : Hendaklah mereka itu memejamkan setengah daripada pandangan mata mereka......" (Surah An Nur : Ayat 31)

Sh. Buraidah r.a. berkata: Bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada Saidina Ali r.a. : "Ya Ali! Janganlah kamu ikutkan satu pandangan dengan satu pandangan yang kedua, kerana sesungguhnya hanya pandangan yang pertama sahaja (terpandang) dan tidak bagi kamu pandangan yang kedua." (Riwayat Imam-Imam Ahmad, Abu Dawud, Turmudzy dan Al Hakim)

ii) Bertemu Muka Sendirian

"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka janganlah ia bertemu sendirian di satu tempat dengan seorang wanita yang tidak ada sertanya mahram daripadanya, kerana sesungguhnya yang ketiganya tentu syaitan." (Riwayat Imam Ahmad dari Sh. Jabir r.a.)

"Janganlah seorang lelaki bertemu sendirian dengan seorang wanita yang tidak halal baginya, kerana bahawasanya yang ketiganya tentu syaitan, kecuali jika dengan mahram." (Riwayat Imam Ahmad dari Sh. Amir bin Rabie'ah r.a.).

iii) Berjabat Tangan

Siti Aisyah r.a. berkata: "Tidak, demi Allah! Tidak pernah Rasulullah s.a.w. menyentuhkan tangannya dengan tangan seorang perempuan lain, hanya ia membai'at mereka itu dengan percakapan." (Riwayat Imam-Imam Bukhari, Muslim dan Turmudzy).

iv) Pakaian Di Luar Rumah

Ayat-Ayat Firman Allah yang ertinya: "Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka, melainkan barang apa yang telah tampak daripadanya; dan hendaklah mereka itu mengulurkan tudung kepala mereka atas leher dan dada mereka." (Surah An Nur: Ayat 31)

v) Adab Bermusafir

"Tidak halal bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, jika hendak bepergian sejauh perjalanan sehari dan semalam, melainkan jika bersama seorang mahramnya." (Riwayat Imam-Imam Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Turmudzy dari sh. Abi Hurairah r.a.)

vi) Hak Pendidikan

Kata Abu Said r.a. : "Ada seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: "Ya Rasulullah! Orang-orang lelaki telah dapat pengajaran dengan hadith (sabda) engkau, maka itu jadikanlah bagi kita, orang-orang wanita, dari engkau suatu hari yang kita agar dapat datang kepada engkau, agar engkau memberikan pengajaran atas kita dari pada apa yang telah Allah berikan atas engkau." (Tazkirah). Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: "Hendaklah kamu sekalian berkumpul pada hari ini di tempat ini." (Riwayat Imam Bukhari)

vii) Larangan Menunjukkan Perhiasan

"Dan janganlah mereka menghentakkan kaki-kaki mereka, agar diketahui barang apa yang tersembunyi daripada perhiasaan-perhiasan mereka." (Surah An Nur: Ayat 31)
Ke mana perginya adab-adab ini? Kenapa ia disembunyi dan tidak diperkatakan langsung oleh para pemimpin Umno yang telah menamakan Malaysia Negara Islam. Kenapa tidak berpesan-pesanan dengan perkara kebaikan. Tidakkah semua contoh ini adalah disiplin yang akan memulihkan gejala keruntuhan akhlak? Apa kata Ikim, Jakim dan ustaz-ustaz dalam Umno.

Telah diberi tempatkah akhlak-akhlak ini di mana-mana anjuran kempen yang ditaja oleh pemimpin Umno di negara kita? Jika belum, maka bila dan jika tidak, kenapa? Cukupkah dengan sogokan di forum-forum perdana untuk menyalahkan ibu bapa dan rakyat setiap kali topik akhlak diperkatakan? Pemerintah?

Media?, rancangan-rancangan televisyen?, akhlak menteri-menteri?. Saya cuma bertanya kerana rakyat pun turut bertanyakan saya mengenai hal-hal yang sama.

Dalam ketujuh-tujuh faktor yang ditekankan ini, tidak pernah lagi saya mendengar seorang pun dari kalangan pemimpin Umno, baik yang sedang berada dalam kabinet kini atau bekas pemimpinnya mengulas apa lagi mengupas mengenainya. Yang saya selalu dengar ialah:
"Ibadat-ibadat baru seperti qiamulail, tazkirah... menjadi penghalang kepada penguasaan ilmu (Berita Harian 30 Januari 2002) atau "Dulu pakai skirt dan seluar pendek tidak menjadi masalah (NST Disember 2002)

Atau "Al-Quran itu perlu ditafsir semula untuk disesuaikan dengan keadaan semasa," (Akhbar-akhbar perdana bertarikh 15 Oktober 1994, 10 Januari 1995 dan 24 September 1996) dan "Undang-Undang Islam adalah undang-undang peribadi, " (Utusan Malaysia 16 Julai 1982).

Kenapa ini terjadi? Inilah akibatnya jika pemimpin Islam yang sekular diberi amanah untuk menangani masalah. Mereka tidak akan nampak dan tidak akan yakin dengan penyelesaian berbentuk Islam.

Ini yang menjadi punca utama seriusnya keadaan zina dan pelacuran sehingga menjadi satu industri seperti yang disebutkan oleh Tan Sri Abdullah Ahmad di dalam Berita Minggu pada 6 April 2003 yang lalu di negara kita.

Saya akui yang faktor-faktor lain seperti kurang didikan ibubapa, kemiskinan, persekitaran dan tertipu dengan janji adalah juga faktor tetapi ia tetap sampingan pada saya.
Kerajaan yang diamanah tidak menjalankan tanggungjawab asasinya iaitu untuk mendidik dan membangun rakyat dengan Islam tetap menjadi punca utama. Mereka cuma sibuk membangunkan jambatan dan jalan raya dari membangunkan manusia.

Faktor pemerintah yang mempunyai kuasalah menjadi faktor yang terutama. Soalnya kenapa tidak dilakukan kawalan ke atas majalah, akhbar dan pelbagai kegiatan percetakan.
Lihatlah Hai, URTV, Mangga dan cerpen atau novel-novel remaja yang dijual. Ia bersepah-sepah dengan nilai-nilai anti akhlak. Pengaruhnya amat negatif. Mustahil KDN tidak tahu atau menterinya belum menerima laporan.

Kita ada Akta Mesin Cetak. Kenapa siaran televisyen tidak peka dengan akhlak pelakon drama dan filem baik dalam atau luar negeri. Ia ditayang dan terus ditayang dan ditonton walau pun saban waktu menerima kritikan daripada pendidik, ulama, pensyarah, ibu-ibu dan bapa-bapa.
Kita ada Menteri dan Timbalan Menteri di Kementerian Penerangan. Jika adapun respon, ia cuma dibuat mengikut musim. Tidak pernah sekali pun ada usaha agresif dan beristiqamah yang bersifat memerangi gejala zina, rumah urut, pergaulan bebas dan pendedahan aurat yang diambil oleh kerajaan.

Berita 60 peratus anak Melayu terlibat dalam pelacuran adalah satu bala. Ia menandakan "Melayu dalam gerhana". Berminatkah Zainuddin Maidin untuk menjadikannya sebagai slot dalam berita perdana? Biasanya beliau ghairah dengan kerja-kerja pendedahan. Ini kisah benar.

Sedar akan amanah memerintah, kami di Kelantan membuat peraturan mewajibkan kakitangan awam menutup aurat. Kami keluarkan peraturan berpakaian kepada peniaga. Kami anjurkan kempen-kempen berkala termasuk stiker untuk mempopularkan cara hidup yang menutup aurat.
Kami kuatkuasakan peraturan yang mewajibkan pemaju perumahan menyediakan tiga bilik untuk mana-mana Projek Rumah Awam Kos Rendah. Kami tidak mengeluarkan lesen premis kepada salon rambut uniseks, judi dan kelab malam. Kami adakan peraturan kepada pekerja wanita yang bekerja di waktu malam berasaskan Seksyen 34 Akta Kerja 1955 Undang-Undang Buruh.

Kami adakan Enakmen Kawalan Hiburan 1998. Kami tingkatkan penguatkuasaan bagi maksud pencegahan terhadap kes-kes zina, pelacuran dan sumbang mahram. Ada yang berupa nasihat dan ada yang menggunakan khidmat pegawai-pegawai penguatkuasa.

Saya dan Exco Kerajaan Negeri sentiasa mengetuai usaha penyampaian kuliah dan khutbah yang menyentuh usaha-usaha untuk membanteras sebarang gejala yang boleh membawa kepada zina dan pelacuran. Kami sebut dengan lantang dalam membimbing dan kami berusaha mencegahnya sedaya upaya.

Sesungguhnya saya masih sangsikan kefahaman pemimpin-pemimpin atasan Umno mengenai Islam. Kita ini adalah kuli (hamba) Allah S.W.T. Selaku penciptaan yang terbaik, Allah S.W.T. telah menganugerahkan segala kemudahan kepada kita untuk melaksanakan tugas perhambaan.
Nikmat makan minum untuk mulut. Nikmat wangian kelopak ros, tanjung dan cempaka untuk hidung. Keindahan suara merbuk dan ayam untuk telinga. Pemandangan yang damai di pantai, gunung dan tasik untuk mata.

Wanita dan lelaki untuk berpasang-pasangan dalam keindahan nikah kahwin dan melahirkan zuriat. Lalu diturunkan pula Kitab suci Al Quran sebagai petunjuk untuk menjadi manual panduan "cara untuk hidup".

Ia berbentuk "how to use" dunia ini agar sentiasa makmur dalam ibadah kepada Allah S.W.T. Salah satu dari peraturan yang ditetapkan ialah tunjuk ajar mengenai akhlak dan adab.
Di dalamnya terkandung kaedah pencegahan zina dan pelacuran dan ini termasuk memudahkan prosedur perkahwinan. Ia wajib diterima dalam aspek pencegahan oleh pemerintah dan wajib pula disubur, diikhtiar dan dilaksanakan.

Tidak fahamlah saya jika negara diisytiharkan Islam tetapi hukum, peraturan dan formula penyelesaian tidak didasarkan kepada kehendak Allah S.W.T. Saya pasti, penyelesaian kepada masalah moral tidak akan kemana.

Negara pada umumnya akan semakin menjunam dalam pelbagai kancah krisis yang semakin teruk di bawah kepimpinan Umno jika tidak diubah mulai sekarang. Sekularisme dan nasionalisme tajaan Umno yang sudah letih dan hanya hidup dengan dalih pasti akan mengundang bencana demi bencana. Lagi dan lagi. Bagaimanapun pilihan untuk berubah masih ada di tangan kita. Kenapa masih tunggu jika inilah masanya?