Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

Senario Setinggan Di Malaysia

Fenomena setinggan telah menjadi masalah utama negara sejak dari dahulu lagi dan sering dikaitkan dengan gambaran yang bercanggah dengan nilai-nilai kehidupan yang ideal. Antara masalah tersebut ialah kesesakan penghuni, keadaan bangunan buruk dan berselerak, kemiskinan, masalah sosial, tiada kemudahan infrastruktur dan sebagainya.

Pertumbuhan bandar di negara ini lebih tertumpu kepada aktiviti perindustrian dan ia memberi kesan kepada pertambahan peluang pekerjaan. Pertumbuhan ekonomi negara yang pesat di antara tahun 1991 hingga 1997 telah memberi sumbangan yang besar kepada perubahan struktur sosial dan ekonomi negara yang mengarah kepada perkembangan pesat perindustrian dan perbandaran. Perkembangan ini, memberi lebih banyak peluang ekonomi dan peluang pekerjaan di pusat-pusat bandar dan telah menyebabkan ramai penduduk luar bandar atau bandar kecil berhijrah ke pusat-pusat bandar. Ini mengakibatkan penduduk di pusat-pusat bandar bertambah dengan pesat tetapi di sektor perumahan yang tidak dapat menampung kepesatan penduduk di pusat-pusat bandar telah menyebabkan wujudnya setinggan.

Masalah ini turut menyumbang kepada wujudnya masalah-masalah lain seperti jenayah, dadah dan sebagainya. Berdasarkan kajian setinggan di seluruh Malaysia mendapati terdapat sebanyak 114,944 unit bangunan kediaman setinggan dengan anggaran penduduk setinggan berjumlah 557,679 orang yang wujud di seluruh negara. Jumlah kampung setinggan di seluruh Malaysia adalah 1,032 buah khususnya tertumpu di negeri selangor, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan negeri Sabah. Kebanyakan petempatan setinggan terdapat di kawassan-kawasan pantai (atas laut), bekas-bekas lombong, rizab jalan, rizab sungai, rizab keretapi dan kawasan pinggir bandar yang belum dibangunkan lagi.

Hasil analisis mendapati hampir semua penduduk setinggan adalah terdiri daripada warga asing kecuali di negeri Melaka dan Negeri Sembilan. Peratusan paling tinggi adalah di negeri Sabah (warga Filipina) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (warga Indonesia). Penghijrahan warga asing ini tanpa kawalan mengakibatkan wujudnya pelbagai implikasi seperti petempatan warga asing, masalah sosial dan juga masalah jenayah seperti gangsterisme, kecurian, dadah, lanun dan sebagainya.

Analisis juga mendapati terdapat isi rumah setinggan yang berpendapatan kurang daripada RM460.00 sebulan (garis kemiskinan) dan juga berpendapatan kurang daripada RM300.00 sebulan (golongan termiskin). Terdapatnya juga sebilangan penduduk setinggan yang tiada pelajaran formal dan berpendidikan sekolah rendah. Misalnya di negeri Sabah terdapat ramai penduduk setinggan yang buta huruf dan tidak boleh membaca mengakibatkan mereka terpinggir dari sektor pekerjaan dan pembangunan.

Dari segi ciri-ciri petempatan setinggan di seluruh negara, didapati kebanyakan negeri seperti Sabah, Pahang dan lain-lain lagi mempamerkan keadaan fizikal bangunan kediaman yang daif dan kemudahan infrastruktur yang kurang memuaskan.

Menyedari kerumitan ini, Kerajaan merangka dasar dan strategi kawalan untuk penempatkan semula setinggan. Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mencapai setinggan sifar pada tahun 2005 nanti.

Bagi mencapai sasaran ini, Kerajaan merancang membina lebih banyak rumah kos rendah atau rumah mampu dimiliki untuk dijual dan disewa bagi penempatan semula setinggan. Disamping itu Kerajaan juga berusaha meningkatkan pembinaan rumah kos sederhana rendah dan kos sederhana bagi membolehkan setiap keluarga mampu memiliki rumah. Dalam Rancangan Malaysia Ke 7 (1996-2000) sebanyak 491,135 unit rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan kos sederhana telah berjaya dibina. Dalam RM 8 (2001-2005) Kerajaan membuat unjuran membina sebanyak 479,000 unit rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan kos sederhana.

Perancangan rapi ini menunjukkan Kerajaan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan negara kita bebas setinggan menjelang tahun 2005.

TABURAN BILANGAN PENDUDUK DAN BANGUNAN KEDIAMAN SETINGGAN DI MALAYSIA PADA TAHUN 1999
NEGERI           BILANGAN BANGUNAN KEDIAMAN       BILANGAN PENDUDUK
SELANGOR                     33,829                                     171,396
SABAH                          31,394                                     150,290
KUALA LUMPUR               23,970                                     129,129
JOHOR                            7,280                                      29,157
SARAWAK                        5,999                                      26,211
PERAK                              3,540                                       13,393
KEDAH                            2,824                                        11,262
PULAU PINANG                 1,713                                          6,231
KELANTAN                       1,654                                         7,682
PERLIS                           1,002                                          4,807
PAHANG                             869                                         3,691
TERENGGANU                     632                                          3,155
NEGERI SEMBILAN                196                                         1,130
MELAKA                               42                                            145
JUMLAH KESELURUHAN   114,944                                        557,679