Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

20 peratus syarikat gulung tikar

KUALA LUMPUR :- Peningkatan kos di Malaysia dan masalah lain seperti masalah kewangan syarikat, menyebabkan 20 peratus syarikat yang melabur di negara ini terpaksa gulung tikar dengan menghentikan operasi mereka sejak dua tahun kebelakangan ini.

Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Fu Ah Kiow berkata, antara faktor yang mendorong syarikat yang melabur dalam negara ini terpaksa menutup kilang mereka adalah juga berpunca daripada masalah pasaran global.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan Wan Nik Wan Yusoff (PAS - Bachok). Menurut beliau, akibat daripada keadaan tersebut katanya walaupun pelabur asing tidak berpindah ke Thailand tetapi sepuluh buah syarikat berpindah ke negara lain.

Semasa mengemukakan soalan berkenaan Wan Nik membangkitkan persoalan tentang terdapat kalangan pelabur yang terpaksa menghadapi masa depan yang sukar kerana dalam keadaan kilang mereka ditutup. Sehubungan itu beliau mahukan kementerian berkenaan mengemukakan satu data mengenai pelabur asing yang melabur di negara ini sama ada mereka melaburkan ke negara lain pula setelah kilang mereka di sini ditutup.

"Setelah kilang ditutup adakah pelabur tersebut berminat melabur ke negara jiran seperti Thailand ataupun membawa modalnya melabur ke China atau seumpamanya," soalnya. Beliau juga mahukan penjelasan sejauh mana penutupan kilang melibatkan pelabur tempatan kerana katanya, tidak semua pelabur tempatan dapat beroperasi sepenuhnya dalam keadaan ekonomi yang lembab seperti tahun 2001 dan 2002.