Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

ADAKAH ZINA SATU KESALAHAN DI NEGARA ISLAM MALAYSIA?
Oleh MUHAMMAD ABDUL WAHAB

SETELAH hampir sebulan isu video lucah Kehidupan Seorang Pramugara Yang Terlampau dibincangkan dalam media, perhatian masyarakat kini tertumpu pula kepada hasil siasatan yang dijalankan ke atas pelakon-pelakonnya yang telah bertanggungjawab memperkenalkan bangsa Melayu, agama Islam, negara Malaysia dan Syarikat Penerbangan MAS dalam bentuk yang sangat negatif ke seluruh dunia. Apakah mereka akan didakwa atau tidak? Apakah hukuman yang akan dikenakan ke atas mereka?

Menurut laporan akhbar, pasangan terlibat yang diandaikan sebagai berbangsa Melayu dan beragama Islam mengaku melakukan seks dalam video tersebut, tetapi rakaman video itu kononnya hanya untuk `kegunaan peribadi' mereka sahaja. (Malay Mail 22 Mei 2003).

Apa sekalipun alasan atau istilah yang digunakan untuk menggambarkan perlakuan lucah itu, hakikatnya ialah pasangan itu telah melakukan persetubuhan tanpa melalui proses perkahwinan satu kesalahan yang sangat besar dalam Islam. Dan persetubuhan itu ditonton bukan sekadar empat orang aksi, seperti yang dikehendaki untuk dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang Islam, tetapi oleh ratusan ribu, kalau pun tidak jutaan, orang di seluruh dunia.

Siapa sangka bangsa Melayu sudah `semaju' itu sehingga sanggup mencebur diri ke dalam bidang porno setanding dengan bangsa-bangsa lain?

Tidak sukar untuk membayangkan bagaimana pedihnya hati dan aibnya ibu bapa serta keluarga terlibat. Apa rasa kalau pelakon video lucah itu ahli keluarga kita sendiri? Bukan setakat ibu bapa atau ahli keluarga sahaja malah masyarakat Islam seluruhnya turut menanggung malu lantaran perbuatan mereka itu. Dalam pada itu perlu diingat bahawa rasa malu ini bukan hanya ada pada orang-orang Islam sahaja. Orang-orang Kristian, Hindu, Buddha dan agama-agama lain pun merasa malu jika ahli keluarga mereka berzina atau dizinai seperti yang dilakukan oleh pelakon-pelakon video lucah itu. Telah banyak kisah yang kita baca bagaimana, di setengah-setengah negara, terdapat ibu bapa yang tidak sanggup menanggung malu lalu menghukum sendiri anak-anak yang telah melanggar batas-batas agama dan tatasusila mereka.

Justeru, masyarakat menaruh jangkaan yang sangat tinggi agar pasangan yang terlibat dengan video lucah tersebut dihukum dengan hukuman yang setimpal yang boleh menjadi pengajaran kepada sesiapa juga yang ingin mengikut jejak langkah mereka.

Tetapi mungkinkah jangkaan ini menjadi kenyataan apabila siasatan (dan kemudiannya nanti pertubuhan) hanya dibuat di bawah satu seksyen dalam Kanun Keseksaan Jenayah?

Seksyen yang dimaksudkan itu iaitu Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan (Akta
574) yang dikemaskini sehingga 10 Oktober 2002 berbunyi:

``Barang siapa (a) Menjual, menyewa, membahagi-bahagikan, menunjukkan atau secara awam atau dengan apa-apa cara mengedarkan atau bagi maksud menjual, menyewa, membahagi-bahagikan, menunjukkan secara awam atau mengedarkan, membuat, mengeluarkan atau da dalam miliknya apa-apa buku, risalah, kertas rajah, lukisan, gambaran atau patung yang lucah atau apa-apa jua benda lain yang lucah, .... hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.''

Sekali imbas membaca seksyen ini sudah cukup untuk memberi kita gambaran bahwa harapan pasangan ini terlepas daripada hukuman kerana melakukan persetubuhan tanpa nikah adalah sangat cerah.

Selain seksyen tersebut tidak kena mengena dengan persetubuhan di luar nikah, cara penyiasatan yang dijalankan juga menimbulkan tanda tanya. Pengurusan MAS telah membuat pengakuan bahawa yang terlibat dalam video lucah itu adalah bekas kakitangan mereka (Malay Mail 1 Mei 2003) namun ada pihak yang merasakan perlu dibuat kajian forensik terlebih dulu. Apa perlunya kajian forensik? Ini bukan kes bunuh yang buktinya bergantung kepada sehelai rambut atau setitik darah! Dan ada pula pihak yang hendak mengkaji kemungkinan filem video itu disuperimpose sebagai satu tindakan ke atas orang yang tidak terlibat. Tetapi mungkinkah filem video yang mengambil masa lebih kurang 40 minit dan mengandungi beribu-ribu frame itu dapat disuperimpose

Selain itu, pendekatan yang sangat lunak yang diperlihatkan oleh pegawai penyiasat terhadap pelakon video lucah itu sewaktu disoal siasat, juga menjadi petanda nyata bahawa besar kemungkinan pasangan berkenaan akan terlepas dari sebarang hukuman. (Berita Harian 8 Mei 2003).

Mungkin ramai yang tidak sedar, persetubuhan di luar nikah sebenarnya bukan satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang dijunjung dan diguna pakai di negara kita. Kerana itu sesiapa saja boleh melakukan persetubuhan semahu-mahunya asalkan saja kedua pihak terlibat saling rela merelai. Yang tidak boleh ialah melakukan persetubuhan secara paksa atau dengan gadis di bawah umur.

Melacur juga bukan satu kesalahan. Yang menjadi kesalahan ialah memaksa orang melacur, memakan hasil pelacuran atau membuka rumah persundalan.

Lantaran itu mana-mana ibu bapa atau bapa (tidak kira apakah pangkat, jawatan atau kedudukan mereka) yang berasa marah dan malu kerana anaknya melakukan persetubuhan tanpa bernikah terlebih dulu, melacur atau melakukan sesuatu yang menjolok mata, tidak boleh berbuat apa-apa terhadap anak itu apatah lagi kalau si anak itu sudah berumur 21 tahun atau lebih. Ini kerana anak tersebut sudah dianggap dewasa dan berhak membuat keputusan sendiri.

Kerana itu jika ibu atau bapa mengambil sesuatu tindakan kasar, maka pihak yang dikasari boleh mengambil tindakan balas, di bawah kanun yang sama, yang boleh menyebabkan ibu bapa tadi terpaksa hadir di mahkamah sebagai pihak yang didakwa dan bukan pihak yang mendakwa.

Jelas bahawa Kanun Keseksaan, dalam bentuk yang ada pada hari ini, sama sekali tidak memihak kepada ibu bapa yang telah diaibkan ahli keluarga mereka. Bayangkanlah bagaimana kalau ibu bapa malang itu adalah kita sendiri.

Sepanjang yang mengenai orang Islam, persetubuhan di luar nikah yang diistilahkan sebagai `zina' boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri. Itupun jika Jabatan Agama Islam Negeri mahu bertindak. Malangnya Jabatan Agama tidak mempunyai rekod cemerlang dalam menangani isu seperti itu. Ini mungkin kerana mereka `malas bergerak' atau tidak cukup terlatih dalam bidang penyiasatan atau pendakwaan. Mungkin kerana tidak ada penyelarasan antara satu negeri dengan satu negeri yang lain. Dan mungkin juga kerana mereka terhalang oleh campur tangan pihak yang lebih berkuasa.

Lihat sahaja kes seorang usahawan Melayu, tentunya seorang Islam, yang membuat pengakuan terbuka dalam Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur beberapa tahun dulu, betapa dia sering menyetubuhi seorang perempuan yang masih menjadi isteri orang. (Lihat Peguam Menulis Utusan Malaysia 20 Mei
2003). Sehingga hari ini tidak diketahui apakah tindakan yang diambil ke atasnya.

Memandangkan hari ini kegiatan seks bebas di kalangan masyarakat kita yang berbilang bangsa dan agama, khususnya di kalangan orang-orang Islam, sangat menjadi-jadi dan sudah mencapai tahap yang mencemaskan, jalan yang terbuka ialah mengambil tindakan di peringkat pusat dengan Parlimen meluluskan satu pindaan ke atas Kanun Keseksaan menjadikan persetubuhan di luar nikah satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman berat.

Cuma masalahnya orang-orang bukan Islam, setelah berdekad-dekad terdedah kepada propaganda dan maklumat salah sehingga timbul prejudis terhadap Islam, mungkin mentafsirkan pindaan untuk menghukum mereka yang melakukan persetubuhan di luar nikah itu sebagai satu usaha melaksanakan undang-undang Islam yang bertentangan dengan ajaran dan amalan dalam agama mereka. Tetapi soalnya: agama manakah di dunia ini yang menghalalkan persetubuhan tanpa melalui proses perkahwinan?

Realitinya orang baik dan orang jahat terdapat dalam semua agama. Orang baik, walau apa sekalipun agama mereka, akan tetap menyokong dan mengalu-alukan undang-undang yang mendatangkan kebaikan kepada masyarakat, asalkan saja mereka diberi maklumat dan penerangan yang tepat. Hanya kaki perempuan dan mereka yang hidupnya bergelumang dengan kejahatan dan kemungkaran sahaja yang akan menentang habis-habisan usaha ke arah membanteras kegiatan keji ini.

Sepanjang yang mengenai video lucah Kehidupan Seorang Pramugara Yang Terlampau, jika tiada tindakan diambil ke atas pelakon-pelakonnya sama ada kerana kelemahan undang-undang atau kelemahan pelaksanaannya maka ibu bapa, kaum keluarga dan semua mereka yang menjunjung kehidupan bermoral terpaksalah berputih mata dan menyapu sendiri arang yang terconteng di muka. - MUHAMMAD ABDUL WAHAB, Kuala Lumpur.