Malaysia jauh ke belakang dari segi hak pekerja
MUAR, Lajnah & Pekerja : - Jika dibandingkan dengan negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand dan juga Filipina dalam soal demokrasi,
pekerja negara ini masih jauh tertinggal di belakang.
Walau pun negara-negara ini dianggap tidak maju dalam bidang ekonomi berbanding Malaysia namun golongan pekerja mereka dapat menikmati amalan demokrasi
sepenuhnya. Mereka bebas untuk berhimpun walau seramai mana pun yang mereka mahu serta di mana sahaja tempat yang mereka suka asal sahaja mereka boleh menjamin keselamatan serta menjaga kepentingan awam.
Demikian ditegaskan wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamad pada forum sambutan hari warga pekerja negeri Johor yang telah diadakan dekat sini 4 Mei lalu.
Katanya, di
negara-negara luar mereka boleh berhimpun secara aman di hadapan parlimen atau di mana-mana sahaja tempat awam yang mereka suka tanpa ada sebarang gangguan dari pihak keselamatan. Bukan sahaja di negara-negara yang
dianggap tidak maju golongan pekerja ini dibenarkan berhimpun bahkan di negara-negara maju yang sudah mempunyai undang-undang yang baik terhadap kaum pekerja seperti di Denmark, Jerman dan Perancis pun mereka masih
dibenarkan berhimpun bagi merayakan hari pekerja ini.
Katanya lagi, kalau hendak diperkatakan satu persatu isu-isu berkaitan nasib pekerja di negara ini ianya terlalu banyak tetapi apa yang amat menyedihkan
ialah sikap pekerja dan juga pemimpin-pemimpin mereka yang tidak sensitif kepada masalah kerja mereka. Kalau diperhatikan dalam soal pemberian upah atau gaji kepada pekerja di negara ini ianya semacam sesuatu yang
tidak masuk akal tetapi itulah realiti dan kenyataan yang berlaku terhadap golongan pekerja ini, katanya.
Di negara ini tidak ada satu undang-undang untuk menentukan gaji minimum kepada pekerja, berbeza
dengan Thailand, Indonesia dan juga Filipina serta negara-negara lain yang mempunyai undang-undang menetapkan gaji minimum kepada pekerja sebaliknya yang ada di negara ini hanyalah Majlis Penetapan Gaji tahun 1947
yang hanya meliputi pekerja-pekerja panggung wayang, pekerja yang mengendalikan tongkang serta pekerja kedai kopi.
Begitulah tidak sensitifnya kerajaan terhadap kaum pekerja di negara ini, kerajaan
sepatutnya menghargai sumbangan mereka terhadap pembangunan negara ini dengan tidak hanya memikirkan soal keuntungan kepada pihak pelabur semata-mata sedangkan pada masa yang sama golongan pekerja terus tertindas,
katanya. Selanjutnya menurut beliau lagi, sepanjang 22 tahun Dr Mahathir berkuasa tidak ada satu pun manfaat besar yang diperolehi golongan pekerja di negara ini. "Kita tidak nampak sesuatu sumbangan yang besar
beliau berikan kepada kaum pekerja sebaliknya beliau lebih memberikan tumpuan kepada golongan koperat, syarikat-syarikat besar dan juga kalangan kroninya sahaja," katanya.
Sebagai contoh paling jelas,
katanya, baru-baru ini apabila berlaku serangan Amerika ke atas Iraq serta wabak SARS, telah kedengaran lobi serta suara dari majikan-majikan yang kuat meminta supaya kerajaan meminda undang-undang bagi membolehkan
majikan membayar gaji yang anjal kepada pekerja.
Permintaan majikan ini telah disambut baik oleh kerajaan malah kerajaan bersedia berbincang dengan mereka tetapi dalam soal gaji minimum yang sudah
berpuluh-puluh tahun tidak selesai ini kerajaan tidak pernah pun ajak berbincang tetapi bila timbul soal mengurangkan gaji dan hak pekerja kerajaan begitu cepat bertindak, tambah beliau.
Ini menunjukkan
kerajaan lebih sensitif, peka, sayang serta lunak kepada tokoh-tokoh koperat serta syarikat-syarikat besar tetapi bukan kalangan pekerja yang banyak menyumbang tenaga terhadap pembangunan negara ini, tegas beliau.
|