400 pekerja kilang tuntut 9 perkara
PERAI, Pulau Pinang ;-Seramai 400 pekerja kilang Soon Soon Oil Mill, Perai mendesak majikan mereka menunaikan sembilan tuntutan. Kilang ini berada di 2448,
Lorong Perusahaan 2, Prai Industrail Park, Penang.
Menurut Naib Pengerusi Kesatuan Sekerja kilang berkenaan, Abu Bakar Rashid, 43, berkata, sembilan tuntutan itu ialah kenaikan gaji, elaun kenderaan, faedah
masa berhenti, faedah pembuangan pekerja, bonus serta empat faedah yang termaktub dalam perjanjian bersama antara kesatuan dan majikan. Ujarnya, kesatuan kesal kerana dakwanya,
Pengarah Urusan kilang berkenaan, Dr Neo Sonbin tidak menghiraukan tuntutan itu sebaliknya melewat-lewatkan pertemuan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. "Kami kesal kerana sikap Pengaruh Urusan yang
seolah-olah tidak berminat untuk menyelesaikan masalah ini. Jalan terakhir ialah pekerja terpaksa mengadakan piket secara aman di hadapan kilang, " ujarnya. Naib Setiausaha Kesatuan, Adnan Pak Wan, 38, pula
kesal kerana sikap majikan yang tidak langsung prihatin terhadap nasib pekerja yang telah lama berkhidmat demi memajukan kilang berkenaan. Ujar beliau, sepatutnya majikan dapat menunaikan sembilan tuntutan dengan
baik tanpa membabitkan pengaruh politik.
"Jangan babitkan pengaruh politik dalam soal ini sebaliknya tunaikan apa yang dikehendaki oleh pekerja. Lagipun semua ini untuk kebaikan bersama, " tegas beliau. Seorang pekerja, Mohd Noor Husain 42, kesal
dengan sikap majikan mereka yang didakwa mengetepikan kepentingan kebajikan pekerja. Kilang Soon Soon Oil Mill, Perai beroperasi lebih dari 25 tahun dan mempunyai beberapa cawangan termasuk di Negeri China, Pakistan
dan Pelabuhan Klang, Selangor. Kilang berkenaan memproses tepung, minyak, majerin dan dedak manakala bahan mentah meliputi gandum, jagung, kacang soya dan canola.
|