DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PULAU PINANG
BADAN KEHAKIMAN (3)
MAHKAMAH BAWAHAN / RENDAH
Secara amnya, mahkamah-mahkamah bawahan di Malaysia adalah tidak terikat dengan keputusan mereka sendiri, tetapi walaubagaimanapun, ianya masih terikat dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah atasan (superior courts).
Di Malaysia terdapat beberapa mahkamah bawahan iaitu :
a. Mahkamah Sesyen
Akta Mahkamah Rendah 1948 memperuntukkan bidangkuasa Mahkamah Sesyen yang inter alia adalah :
1) membicarakan kes-kes kemalangan kenderaan bermotor, tuan rumah dan penyewa (landlord and tenant), distress; dan
2) bidangkuasa sivil bagi amaun yang tidak melebihi RM250,000-00.
3) bidangkuasa jenayah bagi membicarakan serta memutuskan kesalahan-kesalahan yang lain daripada kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati.
4) meminta rekod apa-apa prosiding yang dijalankan di hadapan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Penghulu.
b. Mahkamah Majistret
Akta Mahkamah Rendah 1948 juga menggariskan bidangkuasa yang diperuntukkan kepada Mahkamah Majistret dalam menjalankan kuasanya. Terdapat dua bahagian yang utama iaitu :
1) Bidangkuasa Majistret Kelas Pertama
Antara tindakan guaman yang boleh dibicarakan serta diputuskan oleh Majistret Kelas Pertama adalah :
a) segala tindakan guaman sivil yang amaun dalam pertikaiannya adalah tidak melebihi RM25,000-00.
b) membicarakan serta memutuskan hukuman bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang penghukumannya adalah tidak melebihi lima tahun penjara / denda sebanyak RM10,000-00 / sebat sehingga 12 kali / gabungan mana-mana hukuman yang disebutkan tersebut / kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sahaja / kesalahan-kesalahan di bawah seksyen-seksyen 392 dan 457 Kanun Keseksaan.
2) Bidangkuasa Majistret Kelas Kedua
Ianya termaktub dalam Akta yang sama antaranya :
a) guaman asal tuntutan sivil yang tidak melebihi RM3,000-00 samada beserta faedah atau sebaliknya,
b) kesalahan-kesalahan jenayah yang melibatkan penghukuman yang tempoh penjara maksimumnya tidak melebihi 12 bulan penjara atau denda sahaja,
c) tempoh penjara tidak melebihi 6 bulan / denda tidak melebihi RM1,000-00 / gabungan kedua-dua hukuman tersebut.
c. Mahkamah Penghulu (bagi Malaysia Barat sahaja)
Seksyen 94 memperuntukkan bahawa bagi tindakan guaman sivil tuntutan yang dibenarkan adalah tidak melebihi RM50-00 serta kesemua pihak yang terbabit adalah dari bangsa Asia yang bertutur serta memahami Bahasa Melayu. Mahkamah ini juga boleh menjatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM25-00. Manakala bagi bidangkuasa jenayah pula, ia hanya boleh mendengar serta membicarakan seterusnya menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan kecil sahaja yang mana awardnya adalah termaktub dalam seksyen 96.
DISEDIAKAN OLEH : LAJNAH UNIT GUAMAN & UNDANG-UNDANG DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PULAU PINANG
http:pemudapas_b.bendera.tripod.com
pemudapas_bukitbendera@yahoo.com