Barisan Nasional (BN) mengekalkan majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang apabila menang 30 daripada 33 kerusi yang ditandingi pada pilihan raya umum ke-10.
Berikutan kejayaan itu, BN berjaya membentuk semula kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun lagi, walaupun kekurangan dua kerusi berbanding 32 DUN yang dimenangi pada 1995.
Bagaimanapun, BN hanya menang enam daripada 11 kerusi Parlimen yang ditandinginya berbanding lapan kerusi pada pilihan raya umum 1995.
Dua tokoh iaitu Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh, masing-masing tewas di kerusi Parlimen dan DUN.
Kit Siang tewas di Parlimen Bukit Bendera kepada penyandang, Chia Kwang Chye (BN), manakala Karpal Singh kalah kepada muka baru BN, Lee Kah Choon untuk Parlimen Jelutong.
Bagi kerusi DUN, Kit Siang tewas kepada calon BN, Dr Teng Hock Nam untuk kawasan Kebun Bunga, manakala Karpal tewas kepada calon BN, Lim Boo Chang untuk kerusi Datuk Keramat.
Seorang lagi calon DAP yang tewas ialah anak Karpal, Jagdeep Singh Deo yang kalah kepada calon BN, Koay Kar Huah untuk kerusi DUN Bukit Gelugor.
Kerusi DUN yang dimenangi BN ialah Penaga, Bertam, Pinang Tunggal, Permatang Berangan, Sungai Dua, Teluk Ayer Tawar, Sungai Puyu, Bagan Jermal, Pari, Seberang Jaya dan Berapit.
BN turut menang di DUN Machang Bubok, Bukit Tengah, Sungai Bakap, Jawi, Sungai Acheh, Tanjung Bungah, Ayer Itam, Kebun Bunga, Padang Kota, Kampung Kolam, Datuk Keramat, Sungai Pinang, Bukit Gelugor, Paya Terubong, Batu Uban, Bayan Lepas, Teluk Kumbar dan Teluk Bahang.
Bagi kerusi Parlimen, BN menang di Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bukit Bendera, Jelutong, Bayan Baru dan Balik Pulau.
Sementara itu, Barisan Alternatif (BA) menang tiga kerusi DUN iaitu Penanti (Keadilan) dan Permatang Pasir (Pas) dan Batu Lancang (DAP).
Bagi kerusi Parlimen pula, BA menang di Permatang Pauh menerusi Pengerusi Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengalahkan calon BN, Datuk Dr Ibrahim Saad.
BA turut menang di Parlimen Bagan, Bukit Mertajam, Nibong Tebal dan Tanjung, menerusi calon DAP.