BN 11 BA (Pas) 4 di Perlis

Barisan Nasional (BN) Perlis berjaya mengekalkan pemerintahan di negeri ini apabila memenangi 11 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), setakat ini.

BN juga memenangi ketiga-tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar dan Kangar serta merampas semula Arau yang sebelum ini dikuasai Pas.

Kerusi DUN yang dianggap kelabu oleh BN iaitu Guar Sanji dan Sanglang terlepas kepada Pas, manakala nasib Simpang Empat belum dapat dipastikan.

Pilihan raya kali ini menyaksikan BN diberi tentangan sengit oleh Barisan Alternatif apabila majoriti undi bagi semua calonnya yang menang menurun berbanding pilihan raya umum 1995.

Semua kerusi DUN itu dimenangi dengan majoriti tidak melebihi 1,000 undi kecuali di Titi Tinggi, Kuala Perlis dan Indera Kayangan.

Kerusi lain yang dimenangi ialah Kayang, Bintong, Beseri, Chuping, Mata Ayer, Tambun Tulang, Pauh dan Sena.

Di Tambun Tulang, Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, menewaskan pencabarnya, Ismail Ahmad, yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Perlis.

Bagi kerusi Parlimen, majoriti undi yang diperolehi calon BN, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh (Kangar) dan Datuk Azmi Khalid (Padang Besar) juga merosot.