Pas menang 28-4 di Terengganu

Setakat jam 12 malam ini, menurut laporan tidak rasmi Pas sudah menguasai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan semua lapan kerusi Parlimen, manakala BN hanya memenangi empat kerusi DUN iaitu di Seberang Takir, Ajil, Telemong dan Kemasik.

Keputusan rasmi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah BN yang diwakili Mohd Jidin Shafee tewas kepada calon Pas, Rozali Mohamad dengan majoriti undi 451.

Bagi DUN Kuala Berang, calon BN, Abdullah Ismail kalah kepada Dr Mamad Puteh (PAS) dengan majoriti 1,844 undi, manakala DUN Ladang, calon BN, Roslan Awang Chik tewas kepada Dr Sulaiman Abdullah (Pas) dengan 2,574 undi.

Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad pula tewas di DUN Cukai kepada calon Pas, Awang Jusoh.

Pesuruhjaya Pas Negeri, Abdul Hadi Awang yang memenangi kedua-dua kerusi DUN Ru Rendang dan Parlimen Marang dijangka mengadakan sidang akhbar lewat pagi ini dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru, pagi ini.

Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor, tewas di Parlimen Setiu kepada calon Pas, Che Ghani Ambak; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Abu Bakar Daud (Parlimen Setiu) kalah kepada Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Idris Jusoh turut tewas di kerusi DUN Kampung Raja kepada Abdul Rahman Abas (Pas) dan Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr Yusof Nor yang bertukar tempat dengan Idris untuk kerusi Parlimen Besut mengalami nasib sama kepada Hassan Mohamad (Pas).

Sementara itu, bangunan kerajaan negeri Wisma Darul Iman, mula diambil alih pihak keselamatan menyebabkan tidak ada sesiapa pun dibenarkan masuk dan keluar daripada bangunan itu.

Setiausaha akhbar Menteri Besar, Ruslan Abdul Rahman yang bersama isterinya turut terperangkap di kawasan itu dan keretanya tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu dan terpaksa meminta bantuan rakan-rakan menghantar pulang ke rumah mereka di Jalan Kamaruddin, di sini, kira-kira jam 10.30 malam ini