Kelantan: BA (Pas) 40 BN 3

Pas dapat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 43 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 10 kerusi Parlimen yang ditandingi pada pilihan raya umum kali ini.

Walaupun keputusan terakhir pilihan raya belum diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri sehingga jam 1 pagi, sebilangan besar pengiraan undi yang dijalankan menunjukkan dengan jelas parti itu mendahului BN.

Parti Keadilan Nasional (Keadilan), rakan pakatan Pas dalam Barisan Alternatif pula memenangi tiga kerusi Parlimen manakala pencabar utama, Barisan Nasional (BN) hanya memenangi satu kerusi Parlimen dan tiga DUN.

BN hanya menang di kerusi Parlimen Gua Musang apabila calonnya, Tengku Razaleigh Hamzah berjaya menumpaskan pencabarnya dari Pas, Abdul Razak Abas.

Beliau menang dengan majoriti 2,925 undi apabila memperolehi undi sebanyak 12,176 manakala pencabarnya, Abdul Razak, 9,900 undi. Undi rosak 451.

Bagi tiga kerusi DUN yang dimenangi BN ialah melalui calonnya, Saupi Deraman di DUN Galas, Nozula Mat Diah (DUN Paloh) dan Ismail Mamat (DUN Kemuning).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Annuar Musa, yang berusaha mengekalkan kerusi Parlimen Peringat yang dimenangi pada pilihan raya umum 1995, bagaimanapun, tumpas kepada calon Keadilan, Mohamad Mustapa.

Begitu juga seorang lagi calon BN, Menteri Kewangan Kedua yang juga Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mustapa Mohamed gagal mengekalkan kerusi Parlimen Jeli apabila tumpas kepada calon Pas, Mohd Apandi Mohamad.

Setakat jam 1.30 pagi ini, keputusan rasmi yang diumumkan menyaksikan semua calon Pas yang bertanding satu lawan satu dengan calon BN menyapu bersih kerusi DUN yang dipertandingkan.

Calon Pas di Wakaf Bharu, Ramli Abu Bakar, mencatat majoriti 2,618 undi apabila memperolehi 8,502 undi, berbanding calon BN, Ramzi Abdul Rahman yang mendapat 5,884 undi.

Bagi kawasan Tendong, calon Pas, Wan Othman Wan Yusoff, mendapat 6,930 undi dengan kelebihan 2,002 undi, manakala calon BN, Zainuddin Mohd Noor memperolehi 4,928 undi.

Calon Pas di Pengkalan Pasir, Hassan Abdullah, mencatat majoriti 2,862 undi, apabila memperolehi 7,877 undi, berbanding calon BN, Datuk Abd Rahim Abdul Rahman yang mendapat 5,015 undi.

Kawasan Meranti pula, calon Pas, Mohd Nassuruddin Daud memperolehi 5,983 undi, manakala calon BN, Zaid Fadzil hanya mendapat 2,965 undi.

Calon Pas di kawasan Perupuk, Omar Mohammed, memperolehi 7,906 undi, manakala calon BN, 4,670 undi. Bagi kawasan Selising pula, calon Pas, Drs Saipul Bahri Mohamad turut menang apabila mencatatkan 6,816 undi, berbanding calon BN, Abdul Rahman Yassin, 4,350 undi.

Di kawasan Limbongan, turut menyaksikan calon BN, Samat Mamat kecundang dengan majoriti 3,658 undi, apabila hanya memperolehi 4,171 undi manakala calon Pas, Drs Zainuddin Awang Hamat mendapat 7,829 undi.