BN kekalkan majoriti dua pertiga

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) sekali lagi mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat apabila memenangi lebih 129 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum ke-10, awal pagi ini.

Bagaimanapun, Pas menguasai dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu serta mengukuhkan kedudukannya di Dewan Rakyat, apabila memenangi hampir 30 kerusi Parlimen, berbanding tujuh kerusi sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengekalkan kerusinya di Kubang Pasu, manakala Timbalannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas.

Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang bertanding di 59 kerusi Parlimen hanya menang dua kerusi setakat jam 2 pagi ini. Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail menang di Permatang Pauh, menewaskan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Dr Ibrahim Saad dengan majoriti 9,077 undi.

DAP walaupun dapat mempertahankan kedudukannya dengan memenangi lapan daripada 47 kerusi Parlimen setakat ini, kehilangan tiga tokohnya - Setiausaha Agung, Lim Kit Siang; Pengerusi, Dr Chen Man Hin dan Timbalan Pengerusi, Karpal Singh.

Lim dan Karpal tewas di kerusi Parlimen dan Dun di Pulau Pinang, manakala Chen kalah di kerusi Parlimen dan DUN di Negeri Sembilan.

Turut mengejutkan ialah kekalahan beberapa menteri iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Hamid Othman; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Mustapa Mohamad; dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Annuar Musa

BN berjaya membentuk kerajaan di Selangor, Johor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Keputusan di luar dugaan berlaku di Terengganu apabila Pas memenangi 18 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri, yang membolehkan parti itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Semua pemimpin kanan BN Terengganu tewas termasuk Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, yang menerajui kerajaan negeri sejak 25 tahun lalu.

Sabah dan Sarawak menyumbang sebanyak 44 daripada 48 kerusi Parlimen. Di Sarawak, BN memenangi semua 28 kerusi Parlimen, manakala Sabah memenangi 17 daripada 20 kerusi.

Selain menubuhkan kerajaan negeri di Kelantan dan Terengganu, Pas juga memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah dan Perlis. Bagaimanapun, BN membuat kemaraan besar di Pulau Pinang dengan menumpaskan DAP. Setakat jam 2 pagi ini, BN menyapu semua 32 kerusi DUN di Negeri Sembilan dan menambah lima lagi kerusi Parlimen di Sabah, menjadikan 17.

Parti Bersatu Sabah (PBS) hanya memenangi tiga kerusi Parlimen berbanding lapan sebelum ini.

Di Johor, BN berjaya menubuhkan kerajaan negeri selepas memperolehi kemenangan dua pertiga menerusi 31 daripada 40 kerusi DUN manakala BN memperolehi kemenangan di 15 daripada 20 kerusi Parlimen.

Di Melaka, BN menguasai 17 daripada 25 kerusi DUN sehingga jam 11.30 malam tadi. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Wira Mohd Ali Rustam yang disebut-sebut bakal menjadi Ketua Menteri, menang kerusi DUN Paya Rumput menewaskan calon DAP, Loh Ah Boo.

BN memulakan cabaran dalam pilihan raya umum kali ini dengan menang satu kerusi DUN iaitu Tangkak di Johor dan kerusi Parlimen Betong di Sarawak pada hari penamaan calon, 20 November lalu.

Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainuddin mengekalkan kerusi Parlimen Merbok, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Datuk Seri Rafidah Aziz (Kuala Kangsar).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik pula berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Labis; Presiden MIC, Datuk seri Samy Vellu (Sungai Siput) dan Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Datuk Amar Leo Moggie di Tadong.

Turut menang ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud (Kota Samarahan); Ketua Menteri Sabah, Datuk Osu Sukam (Papar); Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Abu Hassan Omar di Dun Permatang; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Junid (Dun Kuah).