FITNAH TERHADAP UGAMA SANGAT BAHAYA

(Petikan ucapan Haji Wan Mohd Jamil bin Wan Mahmood [PAS-Tumpat] membahas usul titah ucapan Diraja minggu lalu)

Saya hendak sebut kepada para penceramah Umno yang sering mendakwa sekiranya Kelantan mahu maju, pilihlah Barisan Nasional. Tetapi saya menjemput penceramah ini untuk melawat Ke Sarawak, melihat bagaimana pembangunan di Sarawak, sebagaimana yang disebut oleh wakil Ranau, iaitu sejak BN berkuasa di Sarawak cuma 30% saja, 70% belum lagi dibangunkan.

Akhir-akhir ini banyak jabatan kerajaan yang telah digunakan sebagai kuda tunggangan. Barangkali tidak semua, oleh pihak tertentu untuk mencapai matlamat politik mereka dengan berselindung di sebalik alasan demi keselamatan negara. Sebagai contohnya, apa yang berlaku ke atas bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Rahim Noor, dalam keterangan beberapa orang saksi di depan Suruhanjaya Diraja bahawa beliau telah bertanggungjawab terhadap kecederaan Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa berada dalam lokap polis. Tetapi malangnya hingga ke hari ini tidak ada report ke atas Rahim Noor tentang tangkapan dan pendakwaannya di mahkamah.

Kalau seorang bekas Timbalan Perdana Menteri boleh diperlakukan begitu sekali, apa pula jaminan keadilan kepada rakyat marhaen, di dalam hal ini? Apakah polis boleh diharap untuk menjamin keselamatan rakyat biasa di masa akan datang? Adalah sangat jelas kegagalan menangkap dan mendakwa bekas KPN itu menunjukkan institusi polis yang baru merayakan hari jadi ke-47 tahun, sudah terjejas, sekali lagi polis bertindak double standard.

Selain itu, laporan yang kita terima bagaimana polis menggari penunjuk perasaan, membuktikan betapa polis telah bertindak ala Mosad sepertimana yang didakwa oleh bekas TPM.

Saya berharap Peguam Negara tidak akan teragak-agak mendakwa bekas KPN dengan tuduhan serius seperti kesalahan bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang melibatkan cubaan dan dibaca dengan Seksyen 511 kanun keseksaan yang boleh dipenjara 10 tahun atau setidak-tidaknya di bawah Seksyen 325 Kanun keseksaan dengan cubaan atau membawa hukuman 7 tahun penjara.

Semua ini berlaku berlaku di dalam institusi kepolisan di negara kita. Pihak polis hanya nampak kuman di seberang laut tetapi tidak nampak gajah di kelopak mata.

Selain Jabatan Polis satu lagi jabatan yang berteduh di bawah bumbung Jabatan Perdana Menteri juga terjejas kerana wibawa dan peribadi ketuanya yang tidak profesional dan lemah ialah Jabatan Peguam Negara. Kita persoalkan kepada laporan perubatan Anwar daripada beberapa orang doktor dihantar kepada doktor A. Rahman Yusof dan diteliti oleh beliau sedangkan ini bukan kes jenayah yang telah diputuskan dan mendedahkan segala bentuk peribadi orang lain atau rakyat lain kepada orang lain.

Keizinan Anwar tidak pernah diminta, banyak afidavit yang memburukkan Anwar tetapi pembuktiannya tiada disumpah oleh Peguam Negara. Tetapi bila tiba pendakwaan, tiada bukti.

Saya menyarankan di masa akan datang kerajaan berhati-hati untuk melantik Peguam Negara kerana ia menggambarkan maruah negara.

Hari ini fitnah sudah menjadi suatu mainan yang menyeronokkan, menjadi satu ancaman baru. Fitnah ini bukan saja terhadap pemimpin parti pembangkang tetapi termasuk juga fitnah ke atas agama dan Nabi Muhammad s.a.w dan para ulama' dan institusinya dan paling baru dan masih hangat ialah ke atas Dato' Seri Anwar dan ke atas pemimpin parti PAS.

Fitnah ke atas agama yang bertujuan untuk memecahkan perpaduan ummah Islam adalah sangat merbahaya. Ia tidak syak lagi dilakukan oleh mereka yang anti-Islam, secara langsung ataupun tidak langsung. Suatu masa dulu tersebar kaset yang mengandungi ucapan pemimpin negara ini yang mempersoalkan sunnah Nabi s.a.w. menyimpan janggut. Kata pemimpin itu mengapa Nabi Muhammad s.a.w. menyimpan janggut ialah kerana di zaman itu tidak ada pisau cukur atau 'Gillete'.

Pada masa yang sama juga pemimpin itu telah menfitnahkan seorang tokoh ulama', katanya, dia menjual air sejuk untuk mendapatkan rezeki.

Selain daripada fitnah itu, yang terbaru ialah fitnah ke atas Dato' Seri Anwar, ini adalah satu fitnah yang paling kejam di abad ini.

Selepas itu menyusul pula fitnah konon parti pembangkang bertanggungjawab mengedarkan kaset ucapan untuk membunuh Perdana Menteri.

Kes yang dikemukakan oleh Senator Timbalan Menteri tersebut masih dalam siasatan polis. Saya berharap polis dapat menjalankan siasatan secara profesional untuk mengenal pasti siapakah yang bertanggungjawab mengedar dan membuat kaset yang berkenaan.

Saya telah dengar kaset itu dan saya check tidak adapun orang PAS yang bersuara seperti itu. Barangkali itu adalah ceramah yang kita biasa mendengar, boleh mendengar suaranya tetapi tidak boleh melihat wajahnya. Itulah fitnah yang berlaku sekarang ini.

Setahu saya tidak ada apa-apa siasatan terhadap orang yang menfitnah Nabi Muhammad s.a.w. mengenai janggut, baik oleh pihak polis ataupun pihak penguasa undang-undang. Fitnah itu terlalu banyak, di dalam Parlimen ini pun kita mendengar dan melihat orangnya yang telah menaburkan fitnah, saya sengaja mendiamkan diri.

Ihsan: Harakah