KAJI KENAPA RAKYAT BERDEMONTRASI

Haji Mohamad Sabu (PAS-Kubang Kerian) menyifatkan kerajaan tidak boleh menghukum orang yang berdemonstrasi selagi rakyat hilang keyakinan kepada sistem kehakiman dan sikap Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sendiri mula menghentam keputusan hakim pada 1987.

Katanya selagi sistem kehakiman tidak diperbetulkan dan mengembalikan kewibawaannya bebas daripada pengaruh lain selama itu rakyat akan hilang kepercayaan.

Ketika membahaskan Ucapan Terima Kasih Kepada Seri Paduka Baginda, di sidang Dewan Rakyat, Isnin lalu, beliau berkata ia bukan soal menghukum mereka yang berdemonstrasi tetapi kerajaan sepatutnya sedar punca berlakunya demonstrasi.

"Saya pun suka demonstrasi tetapi ganas jauh sekali. Tetapi soalnya kita kena kaji, mengapa mereka berdemonstrasi. Bukan soal hukum. Rakyat hilang keyakinan kepada sistem kehakiman," ujarnya.

Beliau berkata, Perdana Menteri pernah menghentam keputusan hakim pada 1987 kes tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap Karpal Singh, diikuti kes Vijandran yang menyebabkan rakyat hilang keyakinan ditambah lagi surat layang pembabitan hakim dalam rasuah.

Tambah beliau, kerajaan mengenal pasti penulis surat layang, Syed Ahmad Aidid manakala pembangkang mendesak kerajaan mendakwa beliau tetapi kerajaan bersikap diam.

Katanya kes Wee Che Keong, hakim boleh dibeli, rakyat juga terkejut bila Ahli Parlimen Kota Melaka tidak diampun sedangkan dia pembela gadis Melayu.

"Perkara yang terkumpul ini yang menyebabkan orang hilang keyakinan. Akhirnya keputusan tepat atau tidak tepat rakyat sudah hilang keyakinan terhadap sistem kehakiman," ujarnya.

Beliau juga memuji wujudnya budaya baru dalam ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bila mereka berani bersuara seperti meminta kerajaan memansuhkan ISA.

"Jika trend ini berterusan ia akan mengembalikan kebaikan kepada Parlimen. Iaitu mereka bersuara mengikut sikap mereka terhadap perkara yang dibangkitkan bukan mengikut parti", katanya.

Ihsan: Harakah