JUMLAH PERUNTUKAN KHINZIR CUKUP MEMBEBANKAN!

Di negeri Perak, jumlah khinzir yang dimusnahkan berakhir pada 16 April 1999 lalu ialah sebanyak 106,095 ekor. Semua khinzir yang dimusnahkan ini adalah daripada 42 buah ladang ternak yang terdapat di Ampang, Ulu Piah dan Tambun yang merupakan kawasan utama ternakan itu.

Walau bagaimana pun sebanyak 24 buah ladang lagi juga telah menyempurnakan pemusnahan khinzir berjumlah 14,145 menjadikan khinzir yang dimusnahkan berjumlah 120,239 ekor. Jumlah keseluruhan khinzir yang dimusnahkan di seluruh negeri ini ialah 152,840 ekor. Perbelanjaan dijangka terlibat bagi pembayaran pampasan ialah tidak kurang RM7.6 juta.

Ini tidak termasuk jumlah elaun petugas berjumlah RM55 sehari. Seramai 500 orang petugas dalam dua kumpulan menyertai operasi ini sebulan lalu. Jumlah pembayaran elaun petugas dijangka melebihi RM825,000.00.

Sementara itu pakaian khas yang dilengkapi dengan peralatan pernafasan seorang hampir mencapai RM500. Peruntukan membeli pakaian dianggarkan sepenuhnya melebihi RM250,000. Ini bermakna kos operasi keseluruhan tidak kurang RM10 juta. Walau bagaimana pun ini adalah anggaran dan kos sebenar masih dalam pengiraan Jabatan yang terlibat.