CAWANGAN UMNO TITI TIMBUL DIBUBARKAN!
10 April 1999 - UMNO menerima tamparan lebih hebat apabila kesemua AJK dan ahli seramai 365 orang dalam cawangan Titi Timbul menarik diri dan mengistiharkan diri mereka keluar dari parti itu. Perkara ini ditegaskan oleh En. Mohamad Jamil bin Che Din sempena perletakan jawatannya sebagai Ketua Cawangan UMNO merangkap exco Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh. Berikut adalah versi penuh surat perletakan jawatan En. Mohamad Jamil bin Che Din untuk tatapan bersama.~MR
MOHAMAD JAMIL BIN CHE DIN
Ketua Umno Cawangan Titi Timbul,
merangkap Exco Per Pemuda Umno Pmtg Pauh,
merangkap Pengerusi Majlis Sukan & Briged Putera
Per Pemuda Umno Bahagian Pmtg Pauh.
10 hb.April 1999
1.YB Datuk Hj Ahmad bin Saad
Pemangku Ketua Umno Bahagian Pmtg Pauh.
2. Ybhg Sdr Zulkifli bin Bakar
Pemangku Ketua Per Pemuda Umno Bahagian Pmtg Pauh.
Tuan,
Per: Perletakan Jawatan dan penarikan diri daripada menjadi ahli Umno
Bismillahirrahmanirrahim.Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara yang tersebut di atas.
Sebagai muqaddimah,izinkan saya,sebagai seorang anak Melayu dan sebagai seorang Pemuda Umno Pmtg Pauh yang telah dididik dan dipimpin oleh bekas Ketua Bahagian kami Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dengan penuh sopan santun untuk menjadi pemuda yang berakhlak dan berani,membahasakan diri saya sebagai anakanda sahaja.Terutama sekali kerana saya begitu menghormati mereka yang lebih tua usianya mahupun kematangannya di dalam berpolitik berbanding saya yang masih lagi jahil dan bodoh di dalam berpolitik ini,maka selayaknyalah saya merujuk kepada mereka sebagai ayahanda dan bonda.
Ayahanda & bonda,
Semenjak tarikh 2.9.1998 sehinggalah sekarang kita telah dihidangkan dan menyaksikan detik-detik sejarah hitam Malaysia moden…detik-detik kehancuran bangsa Melayu. Pada fikiran anakanda,tidak ada seorang manusia pun yang waras dan sihat akal fikirannya yang akan cuba menyatakan bahawa Anwar Ibrahim tidak dianiaya.Sungguhpun begitu,apa yang menjadi persoalan dan juga kekesalan pada diri anakanda ialah kenapakah tidak kedengaran langsung suara di kalangan kita yang cuba menegur atau mencegah kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan dengan wewenang di hadapan mata kepala kita itu.Sesungguhnya segala apa yang telah berlaku melalui episod hitam pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mencelikkan mata hati saya,ianya telah membongkarkan seribu satu rahsia kejelikan pimpinan Melayu kita. Namun begitu,adakah kita harus merelakannya?Bolehkah kita katakan bahawa kita berdiam diri dan tidak bangun menentang semua kemungkaran ini kerana kita sayangkan Umno?Bolehkah kita berbuat demikian dan menyatakan bahawa kita berdiam diri itu demi penyatuan bangsa Melayu?Logika apakah yang ?telah meresap dan berkudis di dalam hati perut kita?Bukankah dengan tidak berbuat apa-apa itu kita sebenarnya sedang merobek-robekkan amanah para datuk nenek dan pejuang-pejuang bangsa kita lantas kita juga sebenarnya sedang di dalam proses menghancurkan masa depan generasi anak-anak Melayu sebangsa kita.
Seperti juga ayahanda & bonda,anakanda juga sesungguhnya sangat-sangat menyayangi Umno.Namun begitu sebagai makhluk yang tidak kekal,sayang kita kepada Umno perlulah berpada-pada.Ada di kalangan rakan-rakan anakanda yang berkata bahawa jangan dihukum Umno hanya kerana marahkan sikap pimpinan atasan kita.Bagi anakanda yang jahil ini, alangkah lemahnya hujjah mereka ini.Adakah kita ini dianggap begitu dangkal pemikirannya sehingga dilayan seperti budak-budak bodoh yang tidak tahu berfikir layaknya? Atau adakah sememangnya menjadi perancangan pimpinan kita yang telah kita amanahkan dengan kuasa kita…kuasa rakyat itu,untuk memprogramkan umat bangsa kita ini menjadi robot yang hanya melaksanakan sebarang arahan walaupun arahan itu jelas akan merosakkan diri sendiri dan generasi mendatang.
Tidakkah kita menyedari bahawa tindakan pimpinan-pimpinan atasan kita tersebut juga mencerminkan pendirian dan jati diri ahli-ahlinya?Lebih mengaibkan lagi,Umno itu sepatutnya melambangkan Melayu dan keMelayuan yang sejati sepatutnya.Tidakkah kita sebagai ahli-ahli Umno mempunyai tanggungjawab bersama secara kolektif untuk menghasilkan suatu Umno yang mantap dan dihormati dunia? Adakah kita berfikir bahawa tindakan pimpinan-pimpinan kita di peringkat atasan itu akan dapat memantapkan Umno dan menjadikan rakyat khususnya,menghormati Umno? Jadi….. kenapakah lagi kita masih berdiam diri berpeluk tubuh sementara maruah Melayu itu sedang diinjak-injak oleh orang-orang yang berani mengakui diri mereka sebagai pemimpin bangsa.? Adakah kita takut dipecat dan kehilangan segala jawatan? Lantas saya jadi teringat kepada kata-kata Dato’ Seri Anwar Ibrahim di dalam amanatnya kepada kami selepas kami sama-sama berjemaah solat Subuh pada hari akhir beliau di kediaman rasminya….katanya pimpinan-pimpinan kita yang ada ini semuanya telah menjadi manusia-manusia yang kaya raya,dilimpahi kemewahan dunia….lantas mereka juga turut menjadi penakut,takut kehilangan segala kuasa dan jawatan telah menjadikan mereka bacul sedangkan jika diukur dari segi wang ringggit dan harta dunia, kekayaan mereka itu cukup sehingga ke anak cucu mereka.Justeru itu, beranikah kita kelak menatap ke dalam mata anak-anak kita suatu hari nanti sambil berkata,"Ayahmu telah melakukan segalanya demi mengangkat martabat bangsa kita,nak"? Tidak malukah kita sedangkan kita tidak berani langsung untuk melontarkan teguran ataupun nasihat kepada mereka yang telah terpesong daripada landasan perjuangan bangsa kita sambil mengakui bahawa kita telah melakukan segalanya?
Ada juga di kalangan rakan-rakaan anakanda yang menyatakan sekiranya tidak di dalam Umno, kita tiada platform untuk berjuang. Itu dahulu…..tetapi sekarang kita telah disajikan dengan satu lagi wadah baru yang juga merupakan sebahagian daripada darah dan airmata Dato’ Seri Anwar Ibrahim,yang lebih relevan untuk kita perjuangkan bersama-sama.Ayohlah kawan dan rakan….ayahanda dan bonda…abang-abang,kakak-kakak dan adik-adik, apa lagi yang ditunggu.Sekiranya isyarat jelas daripada Dato’ Seri Anwar yang ditunggu, maka baca dan hayatilah kata-kata beliau di dalam warkah terbukanya buat bekas rektor UIA,Dr Abdul Hamid Abu Sulaiman pada perenggan 8 yang berbunyi,"Pengalaman saya ketika berada di kem tahanan pada tahun 1974 telah mengajar saya bahawa adalah tidak dapat diterima sama sekali untuk terus hidup sebagai seorang pengikut yang tunduk dan pada masa yang sama terpaksa pula memerangi rasuah dan penindasan".
Tidak cukup jelas lagikah isyarat tersebut?Bagaimana pula dengan penubuhan wadah baru tersebut? Bukankah itu satu isyarat jelas bahawa Dato’ Seri Anwar sedang menyeru kita semua yang cintakan kebenaran untuk berhijrah daripada keburukan kepada kebaikan.
Ayahanda & bonda,
Anakanda tidak menafikan segala jasa-jasa dan kegemilangan Umno terhadap bangsa kita,namun begitu adakah itu bererti kita harus terus hidup dengan sekadar membanggakan "Umno lama" yang telah luput telah ditelan masa sedangkan sumbangan kita atau lebih tepat lagi sumbangan "Umno baru" terhadap bangsa Melayu di kala ini sedang dan terus dipertikaikan. Mengapakah tidak ada di kalangan pimpinan kita di peringkat atasan yang dapat memberikan jawaban-jawaban yang bernas dan bijaksana terhadap segala persoalan yang timbul ini dan adakah kita ini semua telah menjadi begitu bersedia untuk menelan bulat-bulat segala jawaban itu walaupun kita sendiri tahu alangkan anak-anak sekolah sekalipun tahu siapa yang benar dan siapa yang salah di dalam episod ini.
Anakanda pohon ribuan keampunan sekiranya luahan hati anakanda ini menyinggung perasaan ayahanda & bonda….akan tetapi, masih belum nampakkah kita, masih belum sedarkah kita bahawa Umno yang ada sekarang bukan lagi Umno yang dahulu……bukan lagi Umno yang asli.Umno yang ada sekarang adalah "Umno baru" yang telah dicorakkan semahu-mahunya oleh segelintir pemimpin yang rakus kuasa dan lahap harta tanpa langsung ada rasa kesedaran terhadap nasib anak bangsa yang semakin hari semakin kita tidak tahu ke mana arah halatujunya.
Ayahanda & bonda, anakanda akan merasa sangat berbesar hati dan berbangga sekiranya dapatlah apa kiranya ditunjukkan kepada anakanda di manakah gerangannya dan siapakah gerangannya di antara pimpinan-pimpinan atasan kita yang masih lagi bercakap tentang nasib dan masa depan anak bangsa kita dengan sejujurnya. Masih adakah lagi pemimpin-pemimpin Melayu kita yang lantang bercakap tentang nasib nelayan,petani dan penoreh mahupun tentang mereka yang hidup miskin,susah dan melarat?
Kenapakah setelah lebih 40 tahun kita merdeka masih ada lagi anak-anak bangsa kita yang masih lagi tinggal di pondok-pondok yang selayaknya dipanggil reban ayam, masih ada lagi kampung-kampung yang tiada kemudahan asas yang sempurna dan masih ada lagikah pemimpin-pemimpin kita yang mengambil berat akan nasib dan masalah golongan–golongan janda dan anak-anak yatim.Lihat sahajalah kedaifan bangsa kita di kawasan-kawasan pedalaman seperti di Baling, Grik,Kelantan dan sebagainya.Adakah lagi pemimpin atasan kita yang mengambil tahu samada si polan janda beranak sembilan itu,yang tinggal dirumah yang tidak lagi layak didiami manusia itu, mampu ataupun tidak memberikan pendidikan mahupun makanan yang berzat kepada kesemua anak-anaknya itu. Bukankah mereka yang malang itu kesemuanya anak-anak cucu kita juga? Bukankah mereka itu sebangsa dan seagama dengan kita? Bukankah anak-anak itu penyambung generasi kita? Tetapi kenapa pula pemimpin-pemimpin kita yang ada sekarang begitu berani dan cabul bermewah-mewah dan berleluasa merompak wang rakyat….wang kita ayahanda!…..wang kita bonda!Kenapa pula harus ada Pak-Pak Menteri kita yang berkereta "Porsche", mempunyai akaun simpanan wang di luar negara yang bernilai berjuta-juta dolar? Adakah mereka ini berniaga atau bekerja sebagai menteri? Adakah kita merasakan bahawa pemimpin-pemimpin kita ini telah mentadbirkan amanah bangsa yang telah kita pahatkan pada susur galur perjuangan bangsa kita ini dengan baik,amanah dan jujur?
Anakanda berharap kita semua dapat berfikir dan menjawab semua persoalan-persoalan ini dengan sejujur-jujurnya. Hanya ada satu sahaja penyelesaiannya….tegakkanlah yang haq dan perangilah yang bathil.Di dalam sesebuah negara itu yang membahayakannya bukanlah orang-orang jahat di dalamnya, tetapi orang-orang yang melihat kejahatan tetapi tidak membetulkannyalah yang lebih merbahaya.
Pada pandangan anakanda yang jahil ini, sesungguhnya maruah dan jati diri kita adalah lebih tinggi nilainya daripada kesetiaan yang membuta tuli. Sesungguhnya juga orang-orang Melayu itu lemah lembut dan pemaaf, namun lembut Melayu itu adalah lembut Silat Pulut, bunganya indah mengasyikkan, buahnya padu memusnahkan. Jika dikatakan Melayu itu terkenal dengan sifat sopan santun dan sifat mudah memaafkan,sebenarnya Melayu lebih terkenal dengan sifat pendendam dan amuk.
Sebagai pengakhir kata, sekali lagi anakanda pohon ribuan ampun dan maaf kepada ayahanda dan bonda yang telah banyak memberikan anakanda ilmu-ilmu yang berguna. Halalkanlah makan dan minum anakanda, gurau dan senda serta terkasar bahasa anakanda harap dimaafkan.
Anakanda dengan ini dengan rasminya mengisytiharkan bahawa berkuatkuasa pada tarikh surat ini maka anakanda dan 99.9% daripada ahli-ahli Umno Cawangan Titi Timbul yang berjumlah seramai 365 orang kesemuanya dengan ini meletakkan semua jawatan kami di dalam Umno dan kami juga dengan ini mengisytiharkan menarik diri daripada keahlian Umno.
Sekian,wassalamualaikum wbt.
Ikhlas dan pasrah,
MOHAMAD JAMIL BIN CHE DIN
S.K - Tuan Setiausaha Umno Bhg Pmtg Pauh