SURAT PERLETAKKAN JAWATANNYA!
En. Mohd Azman Bin Hj Harun, exco Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh merangkap Pengerusi Majlis Khidmat Guaman Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh, telah meletakkan jawatannya pada 8 April 1999 dan penarikan diri sebagai ahli UMNO. Marilah kita bersama menghayati kandungan suratnya.~MR
MOHD AZMAN BIN HJ HARUN
Ketua Pemuda Umno Caw. Sungai Ara
AJK Per. Pemuda Umno Bahagian Pmtg Pauh
merangkap Pengerusi Majlis Khidmat Guaman
Per. Pemuda Umno Bahgian Pmtg Pauh.
8 HB.APRIL 1999
1. YB DATUK AHMAD BIN SAAD
Pemangku Ketua Umno Bahagian Pmtg Pauh.
2. Y Bhg SDR ZULKIFLI BIN BAKAR
Pemangku Ketua Per Pemuda Umno
Bahagian Pmtg Pauh.
Tuan, Assalamualaikum wbt.
PER: PERLETAKAN JAWATAN DAN MENARIK DIRI DARIPADA KEAHLIAN UMNO
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani dan dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara yang tersebut di atas.
Pertamanya saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah azzawajalla kerana telah dibukakanNya pintu hati saya dan diberikanNya kepada saya sedikit kecekalan dan keberanian untuk membuat keputusan ini setelah saya beristikharah dan bermunajat kepadaNya.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terimakasih kepada rakan-rakan seperjuangan saya di dalam Umno dan juga kepada ahli-ahli dan pimpinan-pimpinan Umno Bahagian Pmtg Pauh khasnya yang selama ini sentiasa saya hormati sebagai orang-orang yang terlebih dahulu makan garam daripada saya dan telah menjadi guru kepada saya samada secara langsung ataupun tidak yang mana akhirnya telah menjadikan saya insaf akan matlamat sebenarnya perjuangan politik kita, bangsa Melayu.
Sesungguhnya segala episod hitam yang berlaku mutakhir ini terutamanya selepas pemecatan Dato' Seri Anwar bin Ibrahim telah membuka mata hati saya untuk menilai sejauh mana keberkesanan Umno di dalam mendidik dan membimbing anak bangsa kita .
Saya telah memilih Umno sebagai wadah perjuangan saya kerana saya yakin pada waktu itu bahawa Umno akan dapat membawa umat Melayu Islam kearah kegemilangan duniawi dan ukhrawi.Ini dapat dilihat melalui susur galur perjuangan pejuang-pejuang Umno dahulu yang suci dan ikhlas tanpa sebarang agenda peribadi sebaliknya semata-mata untuk kesejahteraan anak bangsa.
Namun begitu, apa yang telah berlaku dan diterjemahkan melalui kegawatan politik mutakhir ini jelas menampakkan bahawa Umno di bawah kepemimpinn yang ada sekarang telah jauh tersasar daripada semanagat dan dasar Umno yang asli. Dasar-dasar dan polisi-polisi yang ada di dalam Umno cuma menjadi halwa telinga ,kita dibuai lena dengan dodoian lagu-lagu retorik.
Adalah amat jelas walau apapun agenda yang cuba dibawa oleh pimpinan-pimpinan Umno, matlamatnya hanyalah wang dan kemewahan serta keghairahan untuk merebut segala jenis kuasa yang bakal disalahgunakan pula kemudiannya nanti. Sebagai seorang manusia biasa yang sentiasa lemah,saya mengakui bahawa saya juga cintakan wang dan kemewahan dunia, namun begitu tidak sekali-kali saya akan menjadikan wang dan kemewahan dunia itu sebagi satu alasan untuk saya melakukan perbuatan-perbuatan yang dilaknat Allah apalagi sehingga tega menggadaikan maruah, nasib dan masa depan anak-anak bangsa kita yang tercinta.
Apa yang sangat-sangat saya kesalkan ialah di dalam menghadapi krisis-krisis yang telah dan sedang berlaku ini boleh dikatakan hampir-hampir tiada langsung pimpinan-pimpina Umno di peringkat atasan yang berani bersuara untuk menegur segala ketidakadilan dan seribu satu kebobrokan yang semakin membarah dan membudaya di dalam Umno itu sendiri. Malahan Pergerakan Pemuda Umno sekalipun tidak mempunyai walau sekelumit keberanian untuk menegur apatah lagi membantah ketidakadilan demi maslahah bangsa walaupun Per. Pemuda Umno acapkali mendabik dada bahawa merekalah sayap kanan Umno,merekalah kumpulan pendesak di dalm Umno untuk memastikan adanya sistem 'check and balance'. Berlalu sudah kegemilangan Pemuda Umno di bawah pimpinan Syed Jaafar Albar, Harun Idris dan Anwar Ibrahim. Singa-singa Umno ini serta pejuang-pejuang bangsa kita yang telah kembali ke rahmatullah sudah pasti menangis meraung-raung di alam barzakh melihatkan tingkah laku dan telatah pemimpin-pemimpin Umno dewasa ini.
Saya juga pernah dinasihatkan untuk terus kekal di dalam Umno dan terus memperjuangkan idealisma politik saya dari dalam Umno. Terus terang saya katakan, bagaimana lagi harus kita berjuang dari dalam Umno untuk memperbetulkan segala kejelikan ini sedangkan hatta untuk membuka mulut dan menyatakan pendapat yang bertentangan sekalipun kita tidak mempunyai keberanian untuk melakukannya.
Oleh yang demikian saya merasakan dengan yakin bahawa Umno yang ada sekarang ataupun lebih tepat lagi dirujuk sebagi Umno Baru atau Umno Mahathir telah gagal memimpin bangsa Melayu generasi baru sekarang mahupun membentuk generasi akan datang yang mantap.Bagi saya, kejayaan Umno Mahathir ini hanyalah dari segi mengumpulkan kekayaan.Namun begitu wabak JE,Hendra dan sejenis virus baru yang melanda negara kita sekarang akibat daripada penternakan babi yang tidak terkawal ataupun sengaja tidak mahu dikawal telah membuka mata semua rakyat tidak terkecuali saya tentang betapa rakusnya pemimpin-pemimpin Umno di bawah didikan Presiden Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad yang sanggup bersekongkol dengan perniagaan yang jelas haram itu malahan menikmati pula hasil keuntungan haram itu tanpa ada rasa bersalah,apatah lagi setelah mereka sanggup mengorbankan tanah-tanah TOL dan tanah-tanah Simpanan Melayu semata-mata untuk memenuhi nafsu serakah mereka. Jika beginilah caranya kita menmanfaatkan tanah Simpanan Melayu, maka saya lebih rela menjadi seperti penduduk pribumi Red Indian di Amerika.
Atas kesedaran inilah maka saya merasakan bahawa Umno tidak mampu lagi untuk membawa hasrat dan aspirasi bangsa Melayu dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya sebaliknya jika saya terus bersama-sama Umno maka saya juga akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak sebagai orang yang sama-sama bersekongkol untuk memusnahkan bangsa sendiri demi kepentingan peribadi dan kroni-kroni. Maka saya dengan ini dengan rasminya mengisytiharkan bahawa saya meletakkan semua jawatan saya di dalam Umno dan mulai tarikh surat ini saya tidak lagi menjadi ahli Umno.
Sebagai pengakhir kata, sekali lagi saya mengucapkan ribuan terimakasih kepada rakan-rakan saya di dalam Umno yang telah bersama-sama mengharungi susah dn senang di dalam perjuangan ini, begitu juga kepada pimpinan-pimpinan Umno Bahagian Permatang Pauh yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan bertindak sebagai guru kepada saya yang sesungguhnya tersangat jahil dan bodoh di dalam berpolitik ini. Jasa tuan-tuan semua tidak mungkin dapat saya balas dan akan dibawa mati. Saya sentiasa berdoa ke hadrat Allah agar suatu hari nanti kita akan dipertemukan semula oleh Allah Subhanahuwataala dan kembali berjuang bergandingan bahu demi masa depan anak cucu kita di dalam satu wadah yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk menjadikan segala pembangunan dan kemajuan di negara kita ini lebih bermakna. Saya juga berharap agar rakan-rakan yang masih lagi bersama-sama Umno untuk terus berjuang dan menentang segala ketidakadilan tanpa rasa takut dan gentar. Sya berharap agar rakan-rakan ini mampu untuk memulihkan imej dan keyakinan umat Melayu kepada Umno sebagaimana sejarah gemilangnya dahulu.Usah biarkan anak cucu kita menderita di kemudian hari kelak, orang-orang Melayu adalah bangsa yang berani.....tunjukkan dan zahirkan keberanian itu agar kubur kita nanti tidak dikotori dengan air kencing anak cucu kita yang marah dengan generasi terdahulunya .Biar putih tulang jangan putih mata.Sesungguhnya jihad yang paling besar itu adalah berkata benar kepada pemerintah yang zalim..
Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum wbt.
Yang ikhlas,
MOHD AZMAN BIN HJ HARUN
S.K: 1. Tuan Setiausaha
Umno Bahagian Pmtg Pauh
2. Sdr Pen.Setiausaha
Per.Pemuda Umno Bahagian Pmtg Pauh
3. Keta Wanita Umno
Bahagian Pmtg Pauh
4. Pen.Setiausaha Wanita Umno
Bahagian Pmtg Pauh
5. Semua Ketua-Ketua Cawangan Umno
Bahagian Pmtg Pauh
6. Semua Ketua-Ketua Pemuda Umno Cawangan
Bahagian Pmtg Pauh
7. Semua Ketua-Ketua Wanita Umno Cawangan
Bahagian Pmtg Pauh.