BALA MERUPAKAN PERINGATAN ALLAH
Umat manusia dijadikan Allah hidup berpuak-puak, mengikut suku bangsa masing-masing dengan tujuan untuk diuji apakah mereka mahu beriman dengan Allah dengan sebenar-benarnya. Perpecahan kelompok ini adalah kehendak dan ciptaan Allah dalam menguji sejauh mana seseorang itu beriman terhadapNya. Demikian antara huraian yang dibuat oleh Ustaz Termizi bin Abdul Rahman selaku Ketua Penerangan PAS Perak dalam ceramah umum yang diadakan di Batu 5, Ulu Kinta, Perak.
Allah menguji sesebuah kelompok dengan memberikannya kelebihan dari kelompok yang lain. Kelebihan itu mungkin adalah kuasa. Apakah kuasa yang dimiliki oleh kelompok tertentu itu menyebabkan mereka mendekatkan diri kepada Allah dan mengambil Al-Quran sebagai pedoman perjalanan hidup mereka, perjalanan pentadbiran mereka, sistem hidup mereka dan kepada seluruh kehidupan yang sebenarnya.
Keingkaran kelompok yang berkuasa melaksanakan sistem yang mentauhidkan Allah (atau lebih tepat dikenali sekarang sebagai sistem sekular) menyebabkan berbagai bala dan bencana Allah turunkan ke atas negara di mana pemerintahan itu berlaku.
Akhirnya sebelum menutup ceramahnya, Ustaz Termizi mengajak para hadirin merenung kembali sumpahan mereka dalam amalan sembahyang dan ibadat lain, yang memohon diberikan petunjuk untuk kehidupan yang sempurna dan dijauhkan jalan yang sesat. Namun disebaliknya manusia tidak menyedari bahawa apa yang dipohon tidak selari dengan apa yang dilakukan. Sebelum terlambat para hadirin digesa menilai kembali perjuangan PAS yang tidak jemu-jemu memperingatkan bahawa hanya sistem yang dianjurkan oleh Islam mampu untuk dijadikan pedoman dalam perjalanan hidup samada berpolitik, bersosial dan berekonomi.~MR
Sumber:agen MR