BERAKHIRNYA DEMOKRASI DI MALAYSIA
15 April, 1999 - Keputusan 6 tahun penjara ke atas pertuduhan yang dihadapkan ke atas bekas TPM semalam disifatkan oleh kebanyakan rakyat sebagai berakhirnya era demokrasi di Malaysia. Justeru itu, penjajahan baru oleh rejim Mahathir terus berleluasa dan menguasai bukan sahaja arena politik negara, malahan penekanan ke atas semua jentera kerajaan terutamanya pasukan polis, institusi kehakiman dan Badan Pencegah Rasuah sendiri.
BPR seperti harimau yang kehilangan kuku dan taringnya hanya melihat kancah permainannya dimonopoli oleh pasukan polis di bawah telunjuk rejim Mahathir. Apabila campurtangan sebegini berlaku, secara tidak langsung kedua-dua institusi itu hilang martabatnya dan tersungkurlah kredebilitnya di kaca mata rakyat.
Rakyat majoritinya yang sedar tindakan rejim Mahathir amat keterlaluan. Namun bukan semuanya sanggup berhadapan dengan risiko. Namun cukuplah sekadar keluhan sebagai membuktikan bahawa kezaliman rejim Mahazalim itu tidak direstui mereka.
Manakala media terus bersekongkol dengan rejim Mahathir dengan menyebar berita yang lebih condong kepada fitnah dan memihak kepada pemerintahan Mahazalim. Namun dengan kecanggihan media hari ini, tohmahan dan berita palsu itu dapat disangkal. Rakyat majoritinya masih menerima berita internet dan lebih berminat mengetahui 'khabar angin' yang nampaknya lebih bererti dengan maksud tersendiri.
Pasukan polis pula dilihat seperti orang yang hilang akal. Tanpa memperlihatkan suasana 'mesra'nya pasukan itu di bawah pimpinan Dato' Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi terus mengganas, memukul dan menyiksa para demontrator yang berhimpun dalam perhimpunan aman semalam. Pak Lah sebagai Menteri Dalam Negeri harus bertanggungjawab dalam keganasan polis itu. Adalah dipercayai juga tindakan ganas yang diperlihatkan oleh media sebagai cetusan para penyokong DSAI semalam juga hasil dari provokasi pasukan rejim Mahathir untuk memburuk-burukkan gerakan refromasi di negara ini.
Malaysia mestilah segera diselamatkan dari penjajahan rejim Mahathir dan UMNO. Rakyat selamanya tidak akan merasai nikamt hidup berdemokrasi dan menikmati ekonomi seimbang, jika UMNO dan rejim Mahathir terus berkuasa.
Langkah yang tersusun dengan semangat perjuangan yang kental hendaknya terus dijadikan komitmen kepada rakyat yang sedar implikasi penjajahan ini. Kemerdekaan Malaysia perlu ditebus sekali lagi setelah penjajahan bermula pada detik 14 April, 1999. Biar apa pun, titik hitam sudah tercatat dalam sejarah politik negara ini, bahawa kebebasan, demokrasi sudah berakhir. Para pejuang keadilan serta rakyat keseluruhan perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam merealisasikan kemerdekaan semula Malaysia dari penjajahan baru di tanah air sendiri.
MINDA RAKYAT