EMPAT CABARAN PAS HADAPI BN
Antaranya Kemas, media dan wang….
PAS perlu berhadapan empat perkara besar sebelum memperolehi kemenangan dalam pilihan raya tidak lama lagi iaitu kepimpinan Diktator Mahathir, gerakan Kemas, wang dan kuasa media massa, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian, Haji Mohamad Sabu.
"Perkara tersebut terpaksa dihadapi PAS, justeru itu petugas PAS terpaksa bekerja dengan kuat jika mahukan kemenangan," katanya.
"Di bawah kepimpinan Dr Mahathir, beliau melakukan apa saja perkara yang dia mahu, beliau seorang yang berani hatta kepada menolak hukum hudud, menghina sunnah nabi," kata nya ketika berucap pada program penerangan PAS Paya Besar, di Kampung Ubai, Sabtu lalu.
Beliau menambah, Umno sebenarnya tidak berkemampuan berhadapan dengan PAS secara terbuka sebab itu Umno menggunakan jentera kebajikan dan Kemas.
"Pemimpin Umno tak bincangkan masalah politik, mereka swastakan (masalah politik) kepada Kemas. Mereka hanya bincang soal harta dan kekayaan," jelasnya.
Kekuatan Umno katanya kerana mereka menggunakan wang untuk naik dalam politik."Semua perkara gunakan wang, sebab itu pemimpin Umno rapat dengan tauke. Apabila bertembung kepentingan tauke dan rakyat maka mereka memihak kepada kepentingan tauke. Masa pilihan raya BN banyak terima duit dari tauke, jadi mereka terhutang budi.
"Umno tak macam PAS yang bergerak menggunakan wang ahli seringgit dua, ahli PAS ikhlas berjuang," katanya. Jelas beliau lagi, penggunaan media amat berkesan mempengaruhi pemikiran rakyat khususnya di luar bandar.
"Media massa digunakan untuk menyerang Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato 'Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam isu wanita. Mereka memutarbelitkan kenyataan menjadikan masyarakat kelam kabut," katanya. Tambahnya, rakyat boleh melihat sesuatu yang buruk itu menjadi baik akibat pengaruh media sebab itu artis boleh berpelukan dalam keadaan berpakaian mandi kerana ia sudah menjadi kebiasaan.
Mengenai Menteri Besar Kelantan, Mohamad Sabu menyatakan pemimpin PAS itu adalah seorang tokoh yang mendahului zaman.
"Dia buat benda yang orang tak buat lagi, beliau beri cuti 60 hari kepada wanita bekerja, sekarang orang (Kerajaan Pusat) tiru.
"Tok Guru beri cuti dua hari seminggu, Jumaat hari menuntut ilmu dan Sabtu hari keluarga,"
katanya.
Katanya lagi, akibat terlalu menumpukan ekonomi maka Pusat Serenti dipenuhi berpuluh ribu penagih dadah."Kini, berlaku buang bayi, lari dari rumah, cerai berai, seksa isteri, seksa suami dimana masyarakat jadi pincang," jelasnya.
Sumber:Harakah