UMNO BENTENG ORANG MELAYU SEBAGAI SATU METOS
Sesungguhnya pemimpin Umno kini menongkah arus yang deras, sukar dibendong lagi. Maka sudah pasti pemimpin yang korup, oportunis dan zalim akan jatuh tersungkur menerima padahnya di tangan rakyat
M
ETOS suatu dongeng rakyat purba yang diajar dan ditanam dalam kepercayaan orang awam sebagai suatu yang benar dan perlu diyakini. Dalam masyarakat Melayu purba dan Nusantara mereka diajar bahawa pemimpin orang Melayu pada zaman tradisional (yang raja; iaitu istilah pinjaman dari bahasa saskrita) berketurunan dari dewa-dewa yang mendiami alam kayangan.Dongeng ini walaupun berlawanan dengan pemikiran yang logik namun di terima oleh rakyat kerana mereka sering didedahkan dan dipropagandakan sebagai suatu yang benar. Akhirnya orang Melayu purba terpengaruh dengan dongeng itu dan diyakini sebagai suatu yang realiti.
Dengan keyakinan seperti itu menjadi orang Melayu amat patuh kepada pemimpin mereka dengan sukarela dan bersedia untuk memperhambakan diri. Maka dengan itu lahirlah suatu nilai dalam kehidupan orang Melayu, iaitu pantang Melayu menderhaka kepada pemimpin mereka.
Kini dalam zaman moden, tradisi yang sama di pergunakan oleh pemimpin Melayu Umno, suatu organisasi politik Melayu yang ingin mengekal pengaruh dan kepimpinan mereka dalam masyarakat. Walaupun pemimpin itu sudah menjadi zalim dan korup seperti raja-raja Melayu pada zaman dahulu.
Untuk menyesuaikan dengan situasi politik dewasa ini. Maka metos yang ditanam dalam masyarakat Melayu khususnya di kalangan orang Melayu di kampung-kampung bahawa Umno satu-satunya pertubuhan politik yang menjadi tonggak dan benteng orang Melayu. Jika sekiranya Umno kecundang maka orang Melayu akan menerima nasib yang malang.
Metos seperti ini dipropagandakan dan ditanam dalam jiwa masyarakat Melayu dengan berulang-ulang sehingga ia menjadi suatu keyakinan yang mendalam. Justeru itu walaupun orang Melayu menyedari berbagai penyelewengan dalam Umno, mereka masih menaruh taat setia seperti kata peribahasa Melayu 'sayang-sayang buah kepayang dimakan mabuk dibuang sayang'.
Dengan perkembangan ilmu pengetahuan di kalangan orang Melayu dipertengahan akhir abad-20 maka lahirlah golongan terpelajar dan elit dalam masyarakat Melayu. Mereka mempunyai fikiran yang rasional tidak mudah diperbodoh-bodohkan dengan berbagai dongeng palsu oleh pemimpin demi untuk mengekal kekuasaan mereka yang korup.
Bagi generasi yang tua mereka masih mempunyai sentimental dengan metos palsu yang ditanam dalam diri mereka sejak beberapa lama bahawa Umno sahaja sebagai pelindung masyarakat Melayu. Dengan muncul generasi muda yang kini mewakili kira-kira 60 peratus masyarakat Melayu, maka satu perubahan besar dijangka akan berlaku dalam masyarakat Melayu moden menjelang alaf baru.
Bagi golongan yang terpelajar mereka tidak mudah lagi diperbodoh-bodohkan dengan segala metos, palsu sedang pemimpin mereka menikmati berbagai keistimewaan dalam kekayaan melalui amalan yang korup seperti raja-raja pada zaman dahulu.
Sesungguhnya Umno itu hanya sebagai suatu wadah atau instrumen gerakan politik orang Melayu. Jika parti itu sudah kehilangan arah dan idealisme yang sebenar, maka sudah sewajarnya pengikutnya mempergunakan wadah yang baru; iaitu pertubuhan politik yang lain.
PAS merupakan sebuah organisasi politik yang dianggotai oleh orang Melayu, maka sudah tentu parti itu boleh memainkan peranan yang sama yang di ingini oleh orang Melayu yang kecewa dengan tindak-tanduk dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin Umno.
PAS boleh mengambil alih tugas yang selama ini dimainkan oleh Umno untuk memenuhi inspirasi orang Melayu di samping memperjuangkan untuk menegak ideologi Islam yang diredhai Allah.
Apatah lagi seperti kata Dato' Musa Hitam bahawa PAS sudah berkembang menjadi sebuah pertubuhan yang matang. Dato' Dr Rais Yatim juga melihat PAS kini sudah mencapai tahap kematangannya (Pandangan Dr Rais memperlihat suatu perubahan baru ke arah pandangan realistik dan ilmiyyah sesudah cadangan supaya Tengku Razaleigh Hamzah dilantik menjadi TPM ditolak oleh Dr. Mahathir).
Parti rakyat juga merupakan sebuah lagi wadah gerakan politik yang dianggotai oleh majoriti parti rakyat boleh juga memainkan peranan yang sama disamping parti PAS untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan juga kaum-kaum yang lain di Malaysia.
Pilihan raya di peringkat kebangsaan semakin hampir. Maka berbagai dongeng palsu diciptakan untuk menarik perhatian orang Melayu untuk mengekalkan kesetiaan mereka kepada pemimpin Umno.
Salah satu lagi dongeng yang dihebahkan melalui media elektronik, iaitu semangat cinta negara. Apabila lagu cinta negara dimainkan, maka gambar pemimpin ditayangkan.
Maka semangat cinta negara itu dimaksudkan cinta kepada pemimpin maka rakyat harus menumpu taat setia dan memberi sokongan penuh kepadanya. Supaya ia terus berkuasa memerintah negara.
Apabila pilihan raya menjelang tiba maka berbagai metos dan dongeng lagi akan direka dan dihebahkan melalui media. Akhbar-akhbar berbahasa Melayu ghairah memainkan peranan menonjolkan berbagai dongeng palsu dan gimik politik.
Akhbar-akhbar berbahasa Melayu mempunyai dua fungsi; disamping ia memain peranan sebagai penyampai maklumat, tetapi pada waktu-waktu yang lain berfungsi sebagai agensi propaganda.
Cadangan Sdr Rustam Sani supaya membaca akhbar-akhbar yang dikuasai oleh Umno dan BN agar mengambil inisiatif memulakan media yang bercorak propaganda seperti itu. Jika pembaca terus berlanggan dengan akhbar-akhbar seperti itu bererti kita turut bersengkokol dengan pelakuan pembohongan kepada rakyat umum.
Dengan kemunculan generasi muda yang berilmu dalam masyarakat Melayu pada masa kini dan dengan pengenalan media baru yang tidak boleh dikongkong lagi oleh pemerintah, iaitu media internet maka rakyat akan mendapat ruangan yang luas bagi mendapat maklumat tanpa sekatan lagi.
Media elektronik dan media cetak kini dipenuhi dengan berbagai maklumat propaganda dan dongeng palsu, maka rakyat khususnya di kalangan generasi muda tiada pilihan lain kecuali mengalih kepada media internet untuk mendapat maklumat yang benar.
Sesungguhnya pemimpin Umno kini menongkah arus yang deras, sukar dibendong lagi. Maka sudah pasti pemimpin yang korup, oportunis dan zalim akan jatuh tersungkur menerima padahnya di tangan rakyat yang sudah hilang kesabaran mereka terhadap tindak tanduk yang amat mengecewakan itu.
DR ISMAIL HAMID
Ehsan: Harakah