APA ASASNYA HISHAMUDDIN BERKATA DEMIKIAN?

Rajin-rajinlah turun ke jalanan. Lihat bagaimana rakyat menyambut anda. Selepas itu baru membuat kenyataan

Dato' Hishamuddin Tun Hussein melalui kenyataan medianya hari ini, beriya-iya benar mahu mempertahankan UMNO dengan mengatakan bahawa majoriti rakyat masih setia kepada UMNO. Apakah Hishamuddin tahu akan perkembangan politik bawahan sebelum berkata demikian?

Jika kenyataan Hishamuddin diukur melalui kehadiran ahli-ahli dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, saya katakan saya juga bersetuju dengan kenyataan beliau. Namun Hishamuddin perlu mengkaji, di mana letakkan sesebuah organisasi jika tiada lagi yang mahu menjadi ahlinya. Inilah yang Hishamuddin perlu tahu. Memang benar diperingkat MT mesyuarat masih boleh berjalan. Tetapi apa nasib di peringkat negeri, bahagian dan cawangan?

Tahukah Hishamuddin berapa banyak cawangan UMNO yang sudah gagal mengadakan mesyuarat bulanan mereka? Adakah Hishamuddin mendapat maklumat sebenar kegagalan di peringkat cawangan dan bahagian? Jika hanya berada dibangku empuk dan duduk dalam bilik berhawa dingin, Hishamuddin sebenarnya jauh ketinggalan zaman. Orang sudah berlari, Hishamuddin sangkakan mereka masih menapak!

Berapa banyak cawangan UMNO yang sudah lumpoh akibat ahlinya melompat ke parti lain. Berapa banyak bahagian yang hanya tinggal nama sahaja. Tanyalah kepada Ketua-ketua Bahagian. Bahagian manakah yang ahlinya setia membayar yuran keahlian sebelum mesyuarat Agong UMNO yang lalu? Maklumat yang kita tahu, Ketua Bahagian masing-masing keluar duit kocek untuk menjelaskannya? Ini bukti bahawa UMNO sedang nazak dan lumpoh. UMNO sebenarnya hanya tinggal nama dengan tak berapa kerat ahlinya yang masih setia. Hishamuddin, jangan anda berharap kepada undi ahli seramai 2.5 juta itu lagi. Jika Hishamuddin masih tak percaya cuba tanya Tan Sri Ramli selaku Pengerusi BN Negeri Perak. Mengapa sudah hampir satu tahun beliau tak dapat mengadakan masyuarat peringkat Cawangan Changkat Lada? Kemana pergi ahlinya lebih 500 orang yang dulu setia pada UMNO?

Harap-harap bila berada di atas, rumput di bawah dilupakan jangan. Hishamuddin perlu lebih banyak mengkaji fakta. Rajin-rajinlah turun ke jalanan. Lihat bagaimana rakyat menyambut anda. Selepas itu baru membuat kenyataan. Jadi apa asas-asasnya Hishamuddin berkata demikian?

Pemerhati Politik Tempatan P.P.T