PERJUANGAN RAKYAT BAWAHAN

Tidak seperti laman reformasi lain, yang berkisar di kalangan elit masyarakat Malaysia, Minda Rakyat adalah cetusan hati nurani sebahagian besar rakyat bawahan negara ini. Mengapa perlu cetusan dan suara hati rakyat bawahan disatukan melalui ruangan sekecil dan sehina ini?

Ini adalah kerana kita tidak boleh melupakan bahawa rakyat golongan bawahan seperti kakitangan kerajaan kelas B, C dan D, kakitangan swasta pangkat rendah, para penganggur, pemandu teksi, lori serta bas, para peniaga, pesara dan lainnya mewakili sebahagian besar majoriti rakyat negara ini. Mereka telah berjinak-jinak dengan internet walau bilangan yang memilikinya masih ditahap rendah.

Mereka mungkin hanya menerima pendidikan rendah, tercicir dalam pelajaran di sebabkan kedhaifan keluarga atau tidak menerima sebarang pelajaran formal. Namun mereka mempunyai kuasa undi yang kuat sekaligus mampu menumbangkan seseorang calon dalam pilihanraya. Kuasa bercakap dan berpolitik mereka amat besar dan tidak ini boleh dinafikan. Seringkali medan politik mereka adalah kedai kopi, seolah-olah mereka tidak mempunyai kuasa untuk menegur atau mengkritik pimpinan yang salah, penuh korupsi dan mementingkan kroni sahaja.

Menyedari bahawa kuasa internet masa kini hanya berlegar di sekitar golongan elit masyarakat Malaysia, maka acapkali pandangan positif mereka serta berita yang dibawa secara langsung oleh penglibatan mereka perlu dihargai. Minda Rakyat tidak bermaksud untuk menghina mereka atau menyanjungi sesiapa, namun sebagai seorang warga negara di bumi tercinta ini, setiap kita mempunyai hak yang sama walau dari golongan mana kita berada.

Wahai saudaraku, bangunlah dari tidurmu yang panjang. Marilah kita berganding bahu meneruskan perjuangan. Medan ini adalah jihad alaf baru yang memerlukan kekentalan dan iltizam yang berpanjangan!

MINDA RAKYAT - polong_cyber@email.com

Teringat sepotong ayat bermaksud:"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara…"