KONSEP PECAH DAN PERINTAH DIMULAKAN SEKALI LAGI
Saya adalah seorang rakyat Malaysia peringkat bawahan yang boleh dikatakan sudah lama berjinak-jinak dengan politik tanahair sejak tahun 1987 lagi. Memang saya boleh dikatakan masih baru didalam arena politik tempatan, akan tetapi kebanyakan dari idea serta pandangan saya menjadi satu panduan untuk sebuah organisasi Politik Utama Tempatan (Pembangkang).
Tujuan saya menulis serta memberikan pandangan kali ini adalah semata-mata kerana keikhlasan saya didalam menjayakan satu ISLAH didalam politik tempatan masakini. Baru-baru ini kita semua dikejutkan dengan berita penubuhan dan kelulusan leh Pendaftar Pertubuhan mengenai Parti Keadilan Nasional (PKN).
Semua sedia maklum bahawa ada beberapa agenda yang kurang menyakinkan terhadap keujudan PKN ini. Nampaknya ada pihak semacam berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan penubuhan (mungkin kehidupan semula parti lama) PKN ini atas sebab-sebab yang tidak realistik. Maafkanlah saya jika saya seakan prejudis terhadap penubuhan PKN ini.
Apa yang saya nampak dengan tertubuhnya PKN ini maka semua rakan-rakan yang masih terumbang-ambing dengan kejadian pemecatan DSAI mungkin akan menyertai parti ini.Jika inilah yang berlaku maka kuasa undi (kekuatan pengaruh serta pemilihan masa pilihanraya) akan terpecah dan akan menyebabkan BN masih boleh berkuasa. Ini boleh kita lihat sebagai contoh seperti yang telah berlaku di negeri Sabah semasa pilihanraya DUN yang baru selesai.
Seandainya semua parti pembangkang cuma meletakkan satu calun pembangkang (mewakili semua parti pembangkang) bagi menghadapi calun BN. Apa yang terjadi di Sabah berkemungkinan besar akan berlaku di Seluruh Malaysia jika ikhtibar tidak diambil dari apa yang berlaku di Sabah. Kalaupun rakan-rakan Reformist sekelian ingin untuk menunjukkan pengaruh mereka di dalam persada politik tanahair, maka seeloknyalah mereka memperkukuhkan kekuatan parti-parti pembangkang sedia ada.
Alangkah bagusnya jika berlakunya persaingan 'Satu Lawan Satu' pada masa pilihanraya nanti. Jika ini berlaku maka pengaruh BN dalam membentuk kerajaan akan dapat ditumpaskan. Akan tetapi jika ini tidak berlaku, maka amatlah mustahil kerajaan BN sedia ada dapat ditumbangkan.
Kita semua mahukan Islah yang menyeluruh, bukannya mengikut suku. Amatlah menyedihkan jika berlakunya perbalahan sehingga para pengundi terpecah dan tidak tahu siapa yang patut mereka pilih dimasa pilihanraya. Saya sendiri juga terlibat didalam memperjuangkan Islah ini secara agresif. Bukannya saya melakukan ini kerana dipengaruhi oleh individu-individu tertentu seperti DSAI atau DSWA mahupun yang lain, akan tetapi saya melakukan Islah kerana saya percaya dengan cara ini sahaja yang membolehkan pembukaan minda dengan lebih meluas pada semua rakyat Malaysia.
Saya amatlah berharap konsep 'Pecah Dan Perintah' yang pernah dilakukan oleh penjajah dahulu agar tidak dapat dijalankan oleh Kerajaan BN. Saya katakan begini kerana saya khuatir jika penubuhan PKN ini akan menyebabkan mudahnya Kerajaan BN melakukan konsep 'Pecah Dan Perintah' tersebut.
Harapan yang tinggi juga saya letakkan kepada DSWA agar tidak menjadikan penguasaannya didalam PKN menjadi satu batu loncatan oleh Menteri Perdana melakukan agendanya. Harapan saya agar janganlah hendaknya DSWA dan DSAI menjadi orang yang gilakan kuasa supaya gerakan Islah mendapat tempat dihati rakyat marhaen. Semoga dengan berjalannya pilihanraya Umum yang akan datang ini kita semua dapat melakukan satu gerakan Islah yang berkesan dimana Sistem Kerajaan yangMungkar digantikan dengan Sistem Kerajaan yang diredhoi oleh Allah s.w.t.
Saya lebih menyetujui cadangan untuk menubuhkan Barisan Keadilan (merangkumi semua parti pembangkang) dimana dengan cara ini kita dapat menyaingi kekuatanBarisan Nasional dimasa pilihanraya ini. Dapatlah kiranya Barisan Keadilan ini dibentuk seberapa segera supaya dapat meletakkan seorang calun melawan seorang calun Barisan Nasional (konsep Satu Lawan Satu).
Dengan cara ini kitapastinya dapat membentuk satu kerajaan yang bebas dari unsur-unsur lama (karut dan kurafat) yang telah ditanamkan di dalam minda kita selama ini oleh Kerajaan Barisan Nasional. Semoga Allah meredhoi dan memberkati segala usaha baik kita ini.~MR
Sumber: Ketua Perusuh - ISIS. TerimaKasih.