MENGAPA HATI MELAYU TERLALU MURAH?

Pemecatan DSAI dilihat sebagai titik tolak era baru politik negara. Jika selama ini UMNO sebagai parti terbesar mewakili kaum Melayu, sering dikaitkan dengan pelbagai tohmahan seperti rasuah politik, budaya surat layang, membeli undi dengan berbagai tarikan dan janjian, dan berbagai lagi, maka bermula dari 2 September, 1998 tohmahan-tohmahan ini dibuktikan pula melalui pelbagai cara terutama internet.

Biar bagaimana buruk sekali UMNO yang dikaitkan dengan pelbagai tohaman itu, namun mengapa orang Melayu masih bergantung harapan dengan pertubuhan politik itu? Adakah ianya disebabkan sememangnya benar hanya UMNO yang mampu menerajui negara ini atau parti pembangkang (khususnya PAS) tidak berwibawa, atau adakah rakyat yang buta hati menilai kebenaran?

Rahmat disebalik pemecatan DSAI dilihat sebagai kebangkitan orang Melayu khususnya golongan elit yang sedar tentang wujudnya perpecahan dalam pertubuhan terbesar di negara ini. Dalam desas desus pertelingkahan antara team A dan team B, akhirnya penafian itu berakhir dengan kebenaran. Jika selama ini Dr M sering menafikan hubungan beliau dan DSAI beransur renggang, namun hakikatnya sejak detik 2 September, 1998, penafian Dr. M dilihat sebagai pendusta maha agong dalam sejarah politik negara orang Melayu.

Implikasi yang berlaku selepas itu maka lahirlah apa yang dinamakan sebagai gerakan reformasi. Reformasi yang dituntut ialah bermula dengan pembaharuan dalam politik. Kemudian ianya merebak dalam semua bidang kerana pengaruh UMNO sangat meluas, hingga melangkaui batasan hukum, agama dan adat.

Satu-satunya 'peluru' yang digunakan untuk menuntut pembaharuan ialah pendedahan tentang penyelewengan yang berlaku hari ini kepada seluruh masyarakat. Penyelewengan itu sudah cukup lama, berakar umbi dan menjadi teras keutuhan UMNO selama ini. Rakyat yang selama ini dibohongi dengan pelbagai agenda pembangunan, mulai sedar tentang perlunya pembaharuan hingga memaksa masyarakat kota turun ke jalanan sebagai bukti kekuatan kepada reformasi yang dituntut.

Kepada warga negara yang sedia ada asas kerohanian yang kuat dan pegangan agama yang sederhana sudah cukup menyemarakkan semangat reformasi tulin seperti yang diharapkan. Golongan ini sedar bahawa peranan mereka adalah penting dalam penentu generasi masa depan dan tanpa melengahkan waktu mahu menyertai perjuangan PAS bukan sahaja sebagai parti alternatif tetapi lebih dari itu mahu mengembalikan semula maruah agama yang sedang dan kian tercemar akibat pertembungan arus politik negara.

Namun bagi yang lemah perjuangannya, mereka tidak sekental yang diharapkan. Apabila bara sudah mulai sejuk dan api kemudiannya dijirus, sudah semestinya akan kembali semula dalam perjuangan lama yang bermotifkan kebendaan dan tuntutan dunia semata.

Ini juga berlaku di peringkat bawahan. Kita tidak boleh lupa rakyat golongan bawahan merupakan majoriti undi penentu arus politik negara. Jika semangat reformasi membara di ibukota kerana ia sentiasa panas dan dipanaskan dengan isu-isu penyelewengan yang dibongkar dan pendedahan yang sensasi, maka ia juga sedikit sebanyak melanda masyarakat bawahan dan golongan majoriti rakyat seperti pesara, petani, pemandu teksi, lori serta bas, kakitangan rendah kerajaan dan swasta. Kecanggihan media hari ini banyak membantu mereka mendapat maklumat terkini apa yang sedang berlaku di kota besar seperti Kuala Lumpur. Namun berapa keratkah di antara mereka yang memiliki internet?

Bandaraya Ipoh umpamanya pemilik internet majoritinya, adalah kaum Cina di peringkat umur 17 hingga 25 tahun. Kecanggihan komunikasi ini lebih banyak dinikmati oleh mereka untuk berhibur dan lari dari ketegangan (tension). Mereka adalah golongan yang terkeluar dari sasaran reformasi. Namun begitu undi mereka amat bernilai.

Masyarakat Melayu bawahan juga sedikit sebanyak menerima maklumat melalui akhbar. Itulah sebabnya Harakah laris dijual dan terus mendapat sambutan hingga hari ini. Maklumat merupakan asas penting dalam startegi perjuangan. Jika dalam sesebuah peperangan, tersalah maklumat akan membawa padah yang besar.

Untuk apakah sebenarnya tujuan pendedahan dibuat adalah untuk menyatakan peri pentingnya reformasi dituntut oleh ahli masyarakat dan dilaksanakan oleh pemimpinnya. Matlamat pertama ini telah mencapai sasarannya. Namun strategi selanjutnya tidak berarah hingga ada di antara mereka yang dahulunya panas apabila disogokkan dengan skandal penyelewengan pemimpin UMNO, kini senyap seribu bahasa. Situasi ini amat bahaya kerana ia memberikan ruang kepada pemimpin UMNO untuk mencucuk jarum dan mengizinkan rakyat sekali lagi diperdaya.

Sesungguhnya tektik UMNO amat jahat! Pertelingkahan yang maha dahsyat boleh berakhir dengan kemaafan. Begitulah hati Melayu yang boleh dibeli. Tiga buah komputer dan sedikit projek kampungan mampu menambat hati Melayu untuk memilih mereka kembali sebagai calun. Orang Melayu sekali lagi gagal belajar dari kesilapan lalu. Lahirnya Melayu sebegini dilihat bermula dari dasar pendidikan yang bersifat sekular. Amat beruntung kepada golongan yang membawa lari anak-anak mereka dari sekolah Kerajaan ke sekolah pondok atau sekolah ugama dan natijahnya amat lumayan.

Generasi yang lahir dari pendidikan tersebut tidak mahu menyertai perarakan jalanan, sebaliknya terus keluar berjuang dalam apa jua pertubuhan yang bersistem mentauhidkan Allah. Hati mereka amat kental dan tidak boleh dibeli oleh material dan syahwat. Kegagalan umat Melayu hari ini menerima PAS dilihat sebagai kesinambungan kejayaan UMNO meliwat sistem pendidikan hingga berakar umbi di hati orang Melayu.~MR

Sumber 'Pemerhati Politik Tempatan P.P.T.'. Terima kasih.