RAMLI CAKAP TAK SERUPA BIKIN!

Dalam kenyataan akhbarnya semalam, Tan Sri Ramli memberitahu akan mendirikan lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana bagi membantu golongan miskin di negeri ini memiliki rumah. Minda Rakyat perlu membuat komen berhubung dengan kenyataan TSR itu.

Memang benar bahawa negeri Perak masih mempunyai kawasan yang luas untuk dimajukan sebagai kawasan penempatan penduduk. Namun begitu masalah setinggan seramai 15,000 orang yang bertaburan di kawasan bekas lombong, tanah kerajaan, tanah rezab kerajaan, tanah rezab agensi lain seperti KTMB dan lainnya, belum diselesaikan.

Jika ditinjau dan diselidiki, majoriti rakyat negeri ini masih berada di bawah paras kemiskinan dan tidak mampu membayar sehingga RM25,000 bagi memiliki sebuah rumah kos rendah. Jika benar kerajaan amat prihatin dengan masalah penempatan penduduk, seharusnya setinggan yang berada di luar kawasan bandar telah menerima hakmilik masing-masing. Namun sebaliknya masih didapati ramai setinggan itu, ada di antaranya telah menetap sehingga 30 tahun, masih belum menerima apa-apa hakmilik.

Minda Rakyat menyedari niat buruk kerajaan yang mahu menangguhkan pemberian lot-lot tapak rumah tersebut, disebabkan sedang merancang untuk mengambil kesempatan disebalik membantu golongan ini. Jika ia dimajukan secara berkelompok seperti Rancangan Perkampongan Tersusun, ia lebih menguntungkan syarikat tertentu (yang sudah semesti kroninya) kerana bayaran pembangunan antara RM8,000 hingga RM12,000 akan dikutip dari kocek rakyat. Kerajaan sepatutnya membantu dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas membuat bancian dari setiap warga negeri ini, siapa yang benar-benar perlu dibantu dan menawarkan penempatan dengan harga premium tanah paling minima.

Persoalannya di manakah kejujuran kerajaan negeri dalam menangani permasalahan ini dan ikhlas mahu membantu golongan susah dan dhaif di negeri ini? Hanya yang terpamir ialah pihak-pihak tertentu mendapat restu kerajaan negeri merompak secara halus wang rakyat yang terpaksa mencari sesuap nasi dan mengikat perut mereka, untuk mendapatkan perlindungan dari panas dan hujan!~MR