KHAS UNTUK WEBMASTER: JANGAN BERSEDIH JIKA HOMEPAGE ANDA DISERANG siri 1

Terlebih dahulu saya mohon maaf dari para webmaster sekelian. Saya menulis kali ini adalah atas permintaan. Walau bagaimana pun, tulisan ini berasaskan pengalaman semata. Saya bukanlah webmaster handalan. Tidak terdangkal saya lautan yang dalam. Apa lagi ilmu IT yang baru sejengkal joran. Kata orang, kalau jorang panjang sedengkal, lautan dalam diselam jangan. Namun saya ucapkan jutaan terima kasih di atas pandangan Ketua Perusuh terhadap saya. Saya tidaklah sehebat mana yang saudara sangkakan!

Namun tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Hanya hidup dan mati sahaja ketentuannya datang dari Allah. Selebihnya, kita sebagai khalifah di bumi ini, insyaAllah diberikan kuasa untuk menentukan sesuatu. Mengapa anda bersedih jika laman web anda diserang?

Soalan ini saya tanyakan kerana saya sendiri pernah mengalaminya suatu ketika dulu. Laman web pertama saya melalui Minda Rakyat di alamat https://members.tripod.com/jembalang2 telah berada di dunia globalisasi ini sejak awal tahun ini. Namun mungkin kerana kepanasan isunya (yang juga tak seberapa panas) jika dibandingkan dengan Mahazalim atau lain-lain laman refromasi menyebabkan ada pihak irihati dan berusaha menjahanamkan laman web saya.

Hasil daripada kerja-kerja 'profesional hackers' yang berjaya memecah masuk ke laman web saya kesemua fail-fail html dalam 'directory' musnah sama sekali. Saya rasa amat sedih sekali disebabkan saya tidak menyimpan fail-fail tersebut dalam bentuk disket atau seumpamanya. Saya tidak dapat berbuat apa-apa tatkala itu. Kejadian ini berlaku secara tiba-tiba kerana beberapa ketika sebelumnya laman itu masih berfungsi.

Pada mulanya saya menyangka tripod server yang 'down'. Saya buka laman Mahazalim dan mendapati laman itu berfungsi. Kejadian ini berlaku pada 28 Februari 1999. Keesokan harinya saya cuba lagi namun hampa. Saya tidak tahu di mana saya mahu minta pertolongan. Tiada rakan yang tahu (handal) dalam kerja-kerja sebegini.

Akhirnya saya minta pertolongan kepada 'members' tripod yang lain iaitu melalui http://www.tripod.com . Mereka siasat mengenai hal ini dan mereka juga tidak menemui apa-apa fail dalam 'members directory' dan perkara ini sah sehingga tiada satu fail lagi dalam tripod members directory.

Kehampaan saya berlarutan selama beberapa hari dan saya rasa sungguh menyesal kerana tidak 'save' fail-fail saya. Saya bukan sayangkan laman web itu, kerana seratus laman web mampu saya bina tetapi segala maklumat mengenai penyelewengan dan pandangan para netters tidak dapat diselamatkan! (bersambung)

Polong cyber