NAJIB…!! TEPUKLAH DADA, TANYALAH SELERA!! (bah.1)

…peritiwa dan kegagalan menangani masalah ini, bukan sahaja memusnahkan masa depan pelajar-pelajar, tetapi juga memusnahkan imej kerajaan sebagai tidak arif mengangani isu rakyat!!

Jika pemimpin Kerajaaan yakin bahawa tindakan mereka adalah betul dan adil, maka penentu muktamad bukan lah sebuah mahkamah yang hakimkan oleh seorang hakim yang diugut, tetapi berjuta-juta hakim-hakim yang terdiri dari rakyat

Sebagai bapa murid dan bekas guru, diperhatikan seluruh kaum guru di negara ini merasa sangat gusar, kesal dan pasti ramai yang marah dengan penahanan sejumlah murid sekolah menengah yang dituduh terlibat dengan demo di KL pada 14 April lalu. Antara kami, ramai yang merasa sedih dengan statement Datuk Seri Najib yang lantang lagi keras terhadap kaum guru yang dituduh terlibat guru dalam isu "konfrontasi politik" antara UMNO dan Pembangkang -- sehubungkait dengan isu REFORMASI.

Isu Penahanan 32 Orang Murid

Berhubung dengan insiden ini, kami sebagai guru adalah juga anggota masyarakat. Ramai antara kami yang tidak langsung yakin pembabitan murid-murid berkenaan dalam demo berkenaan (andainya terjadi) dapat disamakan dengan pembabitan mana pihak orang-orang dewasa. Rata-rata, murid-murid yang ditahan adalah dalam kategori menengah rendah (ada antaranya Tingkatan 1). Datuk Seri Najib perlu berhemat dalam menangani perkara ini. Disepanjang pengalaman saya bertahun-tahun (waktu itu Datuk Seri Najib masih belum bersekolah lagi), Kementerian dan sekolah mampu membuat penyiasatan sendiri, dan tidak pernah melepaskan sebarang kes disiplin kepada pihak Polis. Kementerian Pendidikan (dulu Kementerian Pelajaran) mempunyai badan penyiasat sendiri hingga ke peringkat sekolah. Mengapa perlu melepaskan perkara seumpama ini kepada polis dan mahkamah? Jika didapati bukti-bukti sahih, tindakan disiplin boleh dikenakan keatas murid terbabit. Ini adalah jalan tengah yang paling berkesan.

Ramai pihak (ibubapa dan guru) merasa yakin bahawa pembabitan murid-murid berkenaan berkemungkinan besar atas pujuk-rayu, penipuan - atau mungkin juga desakan oleh pihak-pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan demi kepentingan politik mereka. Kita tidak boleh menafikan kemungkin ada golongan yang menggunakan imbuhan wang untuk memujuk murid-murid yang ditahan itu supaya melibatkan diri. Cuma soalnya siapa?

Datuk Seri Najib wajar ambil tahu bahawa ramai ibubapa yang merasa sangat gusar dan membantah keras insiden yang membabitkan YB Ibrahim Ali melibatkan murid sekolah rendah berpiket di jalanraya di hadapan Kedutaan Filipina beberapa bulan dulu (terdapat bukti-bukti bergambar dan ratusan saksi-saksi sah). Ini menunjukkan parti politik mana dan siapa diantara individu politik yang sangat-sangat ingin memperbesarkan isu 'Demo' dan 'Reformasi' itu. Insident di Kedutaan Filipina itu terang-terang menunjukkan betapa 'desperado'nya pihak/parti politik tertentu hingga sanggup menggunakan murid-murid "sekolah rendah" untuk kepentingan mereka. Mengapa pemimpin-pemimpin dan individu-individu politik terbabit tidak ditahan dan isu itu tidak diperbesar-besarkan. Walhal mereka itu patut mempunyai rasa tanggungjawap keatas imej sekolah, murid, guru, parti dan rakyat negara ini.

Ramai ibubapa dan guru sungguh-sungguh gusar dengan tidakan tidak bermaruah orang politik dan parti politik terbabit. Tidakkah berkemungkinan besar orang yang sama atau mereka-mereka dari kelompok 'desperado' sekongkol yang sama menggunakan taktik yang sama? Dengan itu mereka berharap orang ramai/rakyat akan melihat isu ini sebagai suatu unsur yang merosak dan mengancam negara dan masyarakat. Apakah mereka berharap akan terlaksanalah agenda parti tertentu untuk mewajarkan tindakan menuduh parti politik saingan sebagai 'instigator' insiden tersebut? Dan dengan itu, mereka berharap akan berjaya mewajarkan memburuk-buruk imej parti sainagnnya supaya ditolak rakyat, dimansuhkan atau apa jua yang telah mereka rancangkan.

Sebenarnya, rakyat tidak peduli bagaimana mana-mana parti politik hendak meyakinkan rakyat. Itu bergantung kepada kemampuan mereka berdakyah meyakinkan rakyat. TETAPI rakyat akan membantah keras jika ia merosakkan kesejahteraan masa depan anak-anak rakyat. Diketahui umum sekarang bahawa murid-murid itu dikehendaki ikat jamin RM1,000 seorang. Khabar angin mengatakan ada arahan dari pihak atasan supaya murid-murid terbabit didakwa dimahkamah dan DIPASTIKAN mereka disabitkan. Ini bukan sahaja menyulitkan ibubapa (rata-rata merek bukan orang berada), malah menyulitkan kedudukan murid-murid berkenaan.

Dengan itu nampak sekarang sementara agenda pihak tertentu berjalan dengan baik, ibubapa dan murid diletakkan dalam risiko yang amat tinggi. Tidakkah, sebagai alternatif yang terbaik, isu ini ditangani saja di peringkat kementerian/sekolah. Kemungkinan besar, kerana ia sebahagian dari agenda pihak yang berkepentingan, maka keseluruhan insiden dan mereka yang terlibat diambil kesempatan oleh pihak yang berkepentingan. Dalam waktu yang sama rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa oleh pihak yang berkepentingan itu. Ini amat tidak adil malahan sangat-sangat jelas bertujuan busuk lagi jahat!

Tahukah pihak Kementerian/Kerajaan apakah tanggapan, persepsi dan riaksi ibubapa (anak-anak mereka yang dijadikan mangsa), orang ramai/masyarakat yang prihatin dan seluruh rakyat negara ini terhadap sikap melulu kerajaan ini? Fikirlah sendiri!

Keyakinan yang diharap oleh kerajaan dengan membesar-besarkan isu ini (dengan membawa murid-murid terbabit ke mahkamah) dianggap sebagai "menanggok di air yang keruh' dan bertujuan politik. Dengan berbuat demikian, kebijaksanaan pihak Kementerian dan keyakinan ralyat terhadap sikap kerajaan dan Kementerian Pendidikan menangani isu rakyat secara "Adil dan Saksama" kini makin luntur dan jatuh merudum ketahap paling rendah!!

Jangan salahkan rakyat jika dengan membesar-besaran isu ini (hingga menyusahkan ibu bapa terbabit) akan mengimbau lebih ramai rakyat membenci dan mengutuk bahawa Kementerian/ Kerajaan sekarang memang SENGAJA tidak mahu berlaku adil kepada rakyat; sebaliknya mencipta pelbagai angkara dan perkara yang menyusah dan merosakkan kesejahteraan rakyat, ibubapa, pelajar-pelajar dan anak yang tidak berdosa. Sekaligus peritiwa dan kegagalan menangani masalah ini, bukan sahaja memusnahkan masa depan pelajar-pelajar, tetapi juga memusnahkan imej kerajaan sebagai tidak arif mengangani isu rakyat!! Itulah imej yang terhasil dari kesilapan tindakan yang tidak menggunakan fikiran panjang seperti ini.

Jika pemimpin Kerajaaan yakin bahawa tindakan mereka adalah betul dan adil, maka penentu muktamad bukan lah sebuah mahkamah yang hakimkan oleh seorang hakim yang diugut, tetapi berjuta-juta hakim-hakim yang terdiri dari rakyat yang sentiasa memerhatikan karenah tuan-tuan. Harinya akan tiba, tuan-tuan akan dihakimi. Waktu itu, tuan-tuan akan 'ditanjul' oleh rakyat dan diheret ke mahkamah rakyat.

Tunggulah! Masa akan menentukannya, dan masa itu pasti tiba.

Cikgu Haji Abdul Muluk Md. Noh
(Guru Tua - anak Kg. Seruntum)

MELAKA.