UGUTAN KE ATAS LAMAN WEB REFORMASI
Saya telah membaca, bukan sekali, malah beberapa kali, surat yang dikatakan mengugut sebuah laman Reformasi. Penulis surat tersebut hanya mengenalkan dirinya melalui alamat e-mailnya sahaja. Saya dapat melihat (rasanya semua pembaca dapat menelah) sebab kenapa web master berkenaan enggan meramal penghantar surat tersebut. Saya merasakan mereka sepatutnya berbuat demikian sebagai pihak pertama yang menerima surat itu.
Demi perpaduan warga reformasi, itulah yang sepatutnya dilakukan mereka. Dengan kata lain, dengan sekali imbas semua pembaca dapat menelah siapa atau di sebalik pertubuhan mana datangnya surat berkenaan. Walau bagaimanapun, juga seperti yang diulas oleh pihak laman web berkenaan, berkemungkinan surat tersebut datangnya dari iblis-iblis Mahazalim yang cuba merasuk penyokong-penyokong reformasi dengan bertopengkan kumpulan berkenaan.
Saya sangat berharap kedua-dua pihak iaitu web master dan ahli-ahli kumpulan tersebut TIDAK CEPAT MELATAH dalam permainan politik ini. Ini adalah kerana, walau dari siapapun surat berkenaan, yang akan bercakaran nanti, yang rugi dan yang akan menyesal nanti adalah orang-orang reformasi juga. Semua penyokong reformasi yang mengunjungi laman-laman web reformasi dapat melihat bahawa laman-laman tersebut menyokong beberapa parti politik tertentu di atas landasan REFORMASI dan KEADILAN. Cuma janganlah hendaknya gelanggang reformasi digunakan untuk kepentingan sesuatu parti tanpa mengambil kira baik buruk parti yang lain. Dan janganlah hendaknya ada mana-mana pihak terlalu taksub dengan sesuatu parti, menggunakan semangat reformasi yang sedang marak menjulang sekarang ini untuk meraih sebanyak mungkin sokongan terhadap parti-parti berkenaan.
Perkara ini sudah saya ulas dalam satu rencana saya kepada suatu laman web yang lain, bahawa kita tidak seharusnya memanjangkan perbincangan tentang PKN yang lambat bangat akan meretak leburkan pergerakan reformasi. Jika nak ulas, nak kutuk, lakukanlah sebelum parti berkenaan ditubuhkan. Selepas ditubuhkan, terima sahajalah sebagai sebahagian dari perjuangan kita (selagi kita belum nampak kewujudan ejen-ejen Mahazalim dalam parti berkenaan). Kita harus kembali bersatu. Kita wajib menghormati pandangan orang lain. Kita mesti percaya kepada kebebasan berparti. Bukankah itu asas perjuangan kita…KEBEBASAN dan KEADILAN.
Kupasan 1: Jika benar surat berkenaan dihantar oleh seorang ahli kumpulan tersebut, (hanya Allah dan pengirim sahaja yang mengetahui) anggap sahaja itu adalah pandangan peribadinya. Walau bagaimanapun tuduhan bahawa RN adalah ‘barua’ Mahakhinzir adalah agak keterlaluan untuk diterima. Pengirim sudah pasti dalam keadaan terlalu marah. Jika ada sesiapa yang mengenali beliau, tenangkanlah beliau. Janganlah hendaknya ada yang berkerat rotan berpatah arang sesama keluarga reformasi. Jelaslah bahawa ketaksuban terhadap mana-mana parti secara keterlaluan tidak membawa banyak kebaikan kepada pergerakan kita secara keseluruhannya.Sebelum isu ini digunakan oleh penghasut Mahazalim, sebelum perpecahan yang lebih ketara tercetus lebih baiklah kita cepat-cepat beristifar dan kembali ke jalan yang lebih lurus dan lebih selamat. Saya melaungkan perdamaian dari kedua-dua pihak. Sambutlah salam perdamaian ini.
Kupasan 2: Saya juga khuatir surat berkenaan dihantar oleh pihak Mahazalim sebagai percubaan untuk mengoncangkan keutuhan pergerakan reformasi yang sejak akhir-akhir ini sedikit bergelora dengan isu PKN. Disenaraikan di bawah sebab-sebabnya:
Sebab-sebab di atas hanyalah pandangan peribadi saya yang mungkin juga salah. Sekiranya pengirim bukanlah anjing-anjing Mahazalim, maka saya dengan rendah hati memohon jutaan kemaafan.
Ada beberapa sebab lagi yang terpaksa saya sensort di sini untuk kebaikan semua. Ditakuti artikel ini menyimpang dari tujuan asalnya untuk merapatkan semula kerenggangan yang mungkin wujud. Cuma nasihat dari saya, janganlah hendaknya ada antara penyokong reformasi yang cuba menghantar e-mail kepada "syeikh_alb" berkenaan sama ada untuk menyokong atau untuk membangkang. Saya takut beliau adalah ejen-ejen Mahazalim yang kemudiannya akan membalas dengan surat-surat racun yang lebih merbahaya lagi.Dua ekor ayam bersabung, kalau tak mati seekor, mati keduanya ataupun kedua-duanya cedera. Tetapi mesti ada yang kalah….ayam, tuan ayam atau kaki-kaki judi yang bertaruh. Fikirkanlah.~MR
Sumber: Mamak Tongkang