NAJIB…!! TEPUKLAH DADA, TANYALAH SELERA!! (bah.2)
Beribu-ribu jumlah guru-guru yang terlatih dan berkelulusan tinggi. Minda mereka sudah lama terbuka. Kepekaan mereka tentang isu politik tidak boleh dinafikan.
Permerhatian dan keperihatinan guru-guru terhadap keseksaan rakyat adalah 1000 kali lebih peka dari mana-mana Wakil Rakyat yang menduduki kerusi UMNO/BN
Andainya Kerajaan UMNO/BN pimpinan Dr. Mahathir menampakkan secetus Keadilan, pasti kaum guru adalah kelompok pertama memperakukan keadilan penghakiman itu dan menyokong kerajaan
Kes Guru Menyalin Risalah Reformasi.
Beberapa hari yang lalu, kaum guru digemparkan dengan berita penglibatan 3 orang guru menyalin risalah Reformasi dan menyebarkannya. Tindakan sedang diambil keatas mereka. Diberitakan, beberapa orang guru di Selangor telah diarah tukar dengan serta-merta kerrana disyaki menyokong gagasan Reformasi. Ini melibatkan kesusahan kepada seluruh keluarga mereka. Tetapi bagi Kementerian, itu adalah satu 'amaran'. Bagi kaum guru itu adalah satu ugutan, suatu perampasan hak asasi kemanusiaan.
Datuk Seri Najib wajar berfikir banyak kali dan jangan terburu nafsu. Selama ini, guru-guru dibenarkan terlibat secara langsung dengan politik. Datuk Seri Najib tidak wajar mengcap perbuatan mereka terlibat dalam Reformasi sebagai "anti kerajaan". Sebagai guru, mereka lebih mementingkan perspektif "Keadilan" tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Mereka akan terus menyokong UMNO/BN kerana parti itu adalah yang terbaik. Perubahan sikap mereka adalah petanda yang wajar diteliti dan difahami. UMNO perlu bertindak mengikut kasrat rakyat, bukan hasrat sekelompok talibarut Mahathir-Daim dan puak yang sekongkol dengan mereka.
Negara ini adalah bebas dan demokratik. Sesiapa boleh memilih mana-mana parti yang mereka sukai. Selama ini ratusan ribu guru menjadi ahli dan aktif dalam politik, khusunya UMNO/BN. Dipendekkan cerita, TANPA bantuan guru-guru adalah mustahil UMNO/BN boleh berjaya berkuasa selama tempoh 40 tahun ini. Ini bukan satu ketakburan tapi adalah hakikat!
Parti Pembangkang tidak pernah kecewa dan membesar-besarkan perkara itu hingga menjadi isu.
Hari ini, wujudnya gelombang yang TIDAK begitu ghairah menyokong parti Kerajaan, dari segi Perlembagaan, guru-guru sebagai anggota masyarakat yang tidak terkecuali dari arus politik negara -- adalah berhak mengamalkan hak-hak politik mereka. Kerajaan wajar memahami mengapa rakyat bersikap dan berpendirian semikian. Jika tidak ada-ada, masakan tempua bersarang rendah!! Guru, sebagai anggota masyarakat, mempunyai hak-hak yang sama dengan mana-mana anggota masyarakat yang lain.
"Freedom of choice" seumpama ini harus dikekalkan dikalangan semua rakyat. Rakyat negara ini telah matang dan tahu apa yang baik dan apa yang buruk. Beribu-ribu jumlah guru-guru yang terlatih dan berkelulusan tinggi. Minda mereka sudah lama terbuka. Kepekaan mereka tentang isu politik tidak boleh dinafikan. Malah UMNO/BN mengharap kaum guru melaksanakan dasar kerajaan.
Pengaruh kaum guru memang amat besar ditengah-tengah masyarakat. Mereka adalah kakitangan kerajaan yang terhampir kepada rakyat. Kaum guru dapat melihat kesengsaraan rakyat hanya dengan melihat kesulitan/kemiskinan murid-murid mereka. Bagi kaum guru, murid-murid adalah 'jendela' masyarakat. Melalui keadaan murid-murid mereka dapat melihat dengan nyata keadaan hidup dan penderitaan rakyat.
Permerhatian dan keperihatinan guru-guru terhadap keseksaan rakyat adalah 1000 kali lebih peka dari mana-mana Wakil Rakyat yang menduduki kerusi UMNO/BN. Ini, termasuklah para menteri-menteri dan pemimpin UMNO/BN. Dr. Mahathir - anak-anak, suku-sakat dan kroni Daim Zainuddin adalah tidak terkecualai, malah ini lah dia 'bapak' segala perompak yang menghakiskan harta rakyat -- memiliki berbilion dolar diluar negara hingga kayaraya, harta tidak terkira. Ini lah kaum elit ditengah-tengah masyarakat Malaysia permai ini yang cuma sebok dengan kedudukan dengan berkorupsi, berkolusi dan saling bercakaran sesama sendiri untuk merebut kuasa!!
Kaum guru dapat melihat dengan nyata bahawa rata-rata murid-murid dikampung-kampung dan mereka yang berasal dari keluarga setinggan dipinggir bandar, amat menyedihkan. Keadaan ini sangat menyentuh lubuk hati mereka. Malangnya, kerana Kerajaan hari ini sebok dengan pergeseran politik sesama sendiri, menggunakan wang dan harta rakyat mengapung korporat kroni dan anak pinak sendiri (hingga hidup rakyat makin tertekan), maka kemiskinan rakyat, hingga ditempatkan di rumah flat 2 bilik dipuncak bangun 15 tingkat - sangatlah menyedihkan kaum guru. Kerana itu, pasti mereka merasa wajar memberi riaksi.
Apa yang dijanjikan oleh kerajaan UMNO/BN tidak kuncu terbukti. Inilah yang menyebabkan kaum guru (sebagai golongan yang sangat prihatin dan peka) memberi riaksi seolah-olah menentang kerajaan. Tetapi sebenarnya mereka memperjuangkan "Keadilan". Sejarah membuktikan, 30% dari pejuang Kemerdekaan tanahair dizaman penubuhan UMNO tahun 1946 adalah kaum guru (waktu itu Najib belum lahir lagi - tetapi saya sudah pun beristeri dan beranak-pinak). Ini satu kekuatan - samada bagi pihak Kerajaan mahupun Pembangkang. Hari ini, kerana UMNO/BN tidak dapat menunjukkan 'KEADILAN' sebagai mercu-tanda kehebatan parti pentadbir Kerajaan; maka UMNO/BN wajar menerima padah buruk.
Tindakan Najib sendiri terhadap kaum guru dan pelajar-pelajar menjelaskan bahawa beliau tidak mengenal sejarah UMNO dari perspektif orang kampung. Ini berpunca dari jiwa beliau yang terdidik hidup di tengah-tengah keluarga elit, bersekolah di England, menghabiskan masa sebagai ahli politik yang dijelmakan (planted politician) tanpa mengharungi kehidupan sebagai rakyat 'marhain' (berbanding dengan para pemimpin parti Pembangkang). Begitu juga Hishamuddin Hussain Onn dan beberapa orang 'penjelma politik" yang menerajui UMNO/BN sekarang.
Tetapi bandingkan dengan YB Datuk Seri Anwar, YB Haji Fadhil Nor, YAB Datuk Nik Aziz, Dr. Syed Hussain Ali, Dr. Sanusi Osman, En. Ruslan Kassim, En. Tien Chua, Dr. Chandra Muzaffar, dan puluhan mereka yang segabungan dengan Gagasan Gerak. Mereka ini telah melalui keperitan hidup sebagai orang 'bukan gulungan elit'.
Tuduhan yang tidak kunjung tamat keatas Datuk Seri Anwar (pada 27 April beliau akan diheret kemahkamah lagi), benar-benar tidak masuk akal kepada rakyat!! Perbicaraan yang sempang perenang melalui satu urutan prosiding perbicaraan yang ADIL dan saksama - semua ini diperhatikan oleh kaum guru. Sebagai kelompok masyarakat yang prihatin dan peka, pasti mereka akan bertindak. Ini sejajar dengan sifat dan kedudukan mereka. Andainya Kerajaan UMNO/BN pimpinan Dr. Mahathir menampakkan secetus Keadilan, pasti kaum guru adalah kelompok pertama memperakukan keadilan penghakiman itu dan menyokong kerajaan.
Tetapi Datuk Seri Najib wajar bertanya kepada diri sendiri, apa riaksi Mahathir dan Kerajaan pimpinannya terhadap bekas KPN Rahim Nor? Setelah berbulan-bulan beliau dan pihak jabatan Peguam Negara (termasuk pemimpin-peminpin kerajaan) menyimpan rahsia keganasan beliau, kemudian beliau sendiri mengaku membelasah Datuk Seri Anwar dalam Lapuran Suruhanjaya Penyiasat; TETAPI hari ini (22 April 1999) Rahim tidak mengaku salah dihadapan Hakim yang membicarakan kes beliau. Apa yang memushkil semua orang (termasuk kaum guru) ialah Rahim Nor begitu mudah dilepaskan "tanpa jamin".!!
Berita murid-murid yang dituduh dan ditahan dalam demo terpaksa membayar ikat jamin. En. Tien Chua dan Malik Hussain dibelasah hingga cedera dan tidak diberi ikat jamin, dibiarkan merengkok dipenjara lokap, tidak ada siapa pun yang melakukan siasatan untuk mengetahui siapa sebenarnya yang membelasah. Begitu juga para demonstran yang ditahan dihadapan Masjid Jamek, Kuala Lumpur (atau dimana-mana). Mereka diburu bagai haiwan, dibelasah dikhalayak ramai, dihadapan pelancung-pelnacung luar. Kesemua mereka dikehendaki ikat jamin. Apakah bentuk KEADILAN yang diamalkan oleh kerajaan ini sekarang? Apakah dosa mereka lebih dahsyat dan terperingkat dari Rahim Nor yang membelasah orang No.2 dalam negara ini? Apakah justifikasi kerajaan lagi untuk memuaskan hati 20 juta rakyat di negara ini, memperakukan tindakan kerajaan itu adil? Benarkah Kerajaan berlaku adil?
Hari ini, riaksi Dr. Mahathir amat tawar-hambar bagai menegakkan benang basah. Dr. Mahathir masih lagi menyalahkan rakyat. Nampaknya Mahathir, UMNO/BN memang wajar diberi satu pengajaran yang akan menempatkan mereka di petak Pembangkang di Parlimen.
Datuk Seri Najib sebagai Vice Presiden UMNO wajar bertindak secara waras supaya melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang "Vice President" parti. Malangnya Datuk Seri Najib tidak langsung memimpin pemikiran rakyat secara betul. Beliau lebih cenderung kepada isu politik kepartian dan menenggelamkan isu Keadilan. Jika beginilah sikap ahli terkanan Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, kami golongan guru pasti tahu siapakah yang kami rasa lebih layak dan berwibawa menerajui kerajaan dimasa hadapan. Itu satu hakikat yang wajar dipertimbangkan oleh semua kalangan guru kelak. Kami tidak akan membiarkan hak itu terlepas begitu saja. Undi adalah sulit.
Makin nampak sekarang, iaitu Kementerian Pendidikan sudah mulai menyemai benih-benih "Ketidakadilan" sebagai dasar perlaksanaan berurusan dengan kaum guru dan rakyat. Diharap Datuk Seri Najib dan pemimpin-pemimpin politik akan dapat berlaku adil, bukan saja kepada kaum guru, tetapi juga kepada rakyat dan murid-murid demi membina satu masyarakat berjiwa kental dalam menghadapi Abad Ke-21 dengan lebih sempurna dan berwibawa. Andainya ketidakadilan hari ini berlanjutan, pasti rakyat negara ini akan hidup dalam "Budaya Takut" yang amat menjijikkan (seperti kebanyakan pemimpin politik yang ada sekarang)!!
Mungkinkah Datuk Seri Najib, UMNO/BN dan seluruh pemimpin kerajaan sekarang sudah terlalu lama menerajui kerajaan? Mungkin mereka sudah betul-betul teringinkan merasa bagaimana rasa hati jika rakyat mendudukkan mereka di Parlimen di petak Pembangkang.
Tak taulah… TEPUKLAH DADA, TANYALAH SELERA!
Cikgu Haji Abdul Muluk Md. Noh
Guru Tua - anak Kg. Seruntum)
MELAKA.