BENARKAH PERKHIDMATAN KESIHATAN MENUJU ALAM KORPORAT?

27 April, 1999 - Keresahan melanda rakyat apabila wujudnya ura-ura di pihak Kerajaan akan melaksanakan pengkorporatan institusi perkhidmatan kesihatan. Sejak zaman berzaman (zaman British lagi) progam kesihatan merupakan perkhidmatan percuma sumbangan Kerajaan atas dasar melaksanakan kebajikan terhadap rakyat yang telah mengundi mereka.

Perlaksanaan ini 'kununnya' untuk meneruskan kesinambungan Kerajaan melaksanakan dasar pengkorporatannya yang didakwa akan mengurangkan beban kewangan Kerajaan.

Sebaliknya dengan perlaksanaan ini, kebajikan rakyat terasa lebih dicengkam oleh pemerintah yang semakin liar dalam tindakannya. Di sisi ugama, tindakan sebegini hanya dilakukan oleh sebuah Kerajaan yang zalim yang memeras ugut wang rakyat kerana perkhidmatan kesihatan amat diperlukan.

Sebelum ini Kerajaan telah melaksanakan penswastaan kerja-kerja pembersihan dan penyelengaraan hospital seluruh Malaysia, yang telah diserahkan kepada Propel dan Tongkah. Propel menguasai bahagian utara Semenanjung Malaysia, manakala bahagian tengah termasuk Sabah dan Sarawak telah diserahkan kepada Tongkah.

Rakyat sedia maklum bahawa Propel dan Tongkah adalah anak syarikat Renong yang bernaung di bawah Kerajaan UMNO hari ini. Tindakan penswastaan ini lebih tepat dikatakan sebagai satu usaha kerajaan UMNO memeras duit rakyat yang tidak ada pilihan melainkan 'membayar dalam paksa' bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang sangat diperlukan untuk kesejahteraan bersama.

Sumber: agen MR