KENYATAAN AKHBAR DSAI

29 April 1999

Setelah melakukan pelbagai bentuk penyalahgunaan kuasa dengan memenjarakan saya atas arahan Dato' Seri Dr Mahathir. Jabatan Peguam Negara telah memulakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa yang baru, iaitu melakukan "malicious prosecution" atau pendakwaan dengan niat jahat.

Sebelum ini saya telah menyebutkan di mahkamah bahawa jabatan tersebut melakukan pendakwaan secara terpilih, atau "selective prosecution", dan saya telah melakukan rasuah tidak didakwa padahal Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara telah mengesyorkan menteri berkenaan didakwa. Saya masih lagi menyimpan laporan mengenai cadangan pendakwaan tersebut yang diberikan oleh Peguam Negara kepada saya.

Pendakwaan berniat jahat ini dilakukan ke atas Sukma Darmawan, Azmin Ali dan Mior Abdul Razak. Tidak ada sebarang bukti yang munasabah dan kukuh untuk mendakwa mereka. Tujuan Peguam Negara adalah, pertama, untuk menakut-nakutkan (harassment) orang yang rapat dengan saya dan mereka yang boleh menjadi saksi kepada kepalsuan tuduhan terhadap saya; kedua, semata-mata untuk melepaskan dendam kepada saya; ketiga, untuk melancarkan semula agenda mengaibkan dan menghina saya secara besar-besaran.

Matlamat Peguam Negara bukanlah untuk membuktikan mereka bersalah tetapi supaya media massa tempatan akan menyiarkan secara besar-besaran tuduhan palsu terhadap saya mengenai salahlaku seks.

Sebelum ini, mereka telah mendedahkan komplot polis mendesak dan memaksa mereka membuat tuduhan terhadap saya. Polis tidak disiasat (khususnya Musa Hasan dan ASP Rodwan dan ASP Mazlan) tetapi mereka pula yang didakwa. Nyata sekali perilaku Peguam Negara yang hilang pertimbangan profesional dan keadilan.

Saya telah mendapat maklumat bahawa pimpinan tertinggi UMNO mahukan tuduhan palsu salahlaku seks disiarkan secara sensasi untuk memburuk dan menghina saya secara besar-besaran untuk tujuan pilihanraya. Pimpinan tertinggi UMNO mahukan Parlimen dibubarkan sebaik sahaja tuduhan palsu salahlaku seks disiarkan secara besar-besaran dan sebelum peguam-peguam saya melakukan "cross-examination" atau pemeriksaan balas.

Dengan melakukan "malicious prosecution", sesungguhnya Peguam Negara telah merelakan iri dan jabatannya menjadi alat politik yang hina. Saya tidak gentar menghadapi tuduhan palsu tersebut. InsyaAllah, saya boleh menangkisnya dan membuktikan kepalsuan tuduhan niat jahat Peguam Negara.

Peguam Negara berhajat untuk menghina saya, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya; beliau telah memalitkan najis yang hina di muka beliau sendiri kerana merelakan dirinya diperalatkan oleh Dr Mahathir dan musuh-musuh politik saya. Tidak ada alasan munasabah selain takut atau kerana ugutan beliau dalam menangani kes-kes sebelum ini termasuk muslihat menutup kes Rahim Noor, dan keterlibatan pihak beliau, Abdul Gani Patail dan Azhar Muhamad dalam merekacipta pertuduhan.

ANWAR IBRAHIM