ADUN SOKONG BANTAHAN INI
ADUN Kawasan Manjoi, Tuan Hj. Mohd Nadzri bin Haji Ismail menyokong penuh hasrat AJK Bertindak Penduduk Islam Chemor untuk mengemukakan memorandum bantahan berhubung dengan isu pemberian sekim perumahan kepada Syarikat Pembangunan Sinar SKS Bhd di lot 69187 Mukim Ulu Kinta seluas 13 ekar yang mengelilingi sebuah masjid yang hampir siap dalam pembinaannya.
Inilah masjid yang menjadi kontraversi penduduk Islam Chemor, Perak. Di sekeliling masjid ini akan terbina sekim perumahan bercampur yang akan menafikan hak orang Islam terhadap pemilikannya dan akan memberikan kesan ke atas kehormatan insitusi masjid dan kesuciannya.
Sokongan itu diberikan jelas sebagai memelihara syiar Islam dan kepentingan penduduk Islam walaupun lokasi tersebut tidak berada di bawah kawasan ADUN yang berkenaan. Dalam laporan yang lalu, Minda Rakyat membongkar penyelewengan yang berlaku setelah permohonan RPT Tanah Hitam (Tambahan) Chemor ditolak, sebaliknya kawasan yang sama diluluskan kepada pemaju perumahan.
Amat dipercayai beberapa pihak terbabit dalam penyelewengan itu termasuklah ADUN Kawasan Chemor, Pentadbir Tanah Daerah Kinta dan pihak Pengarah Tanah dan Galian Perak.
AJK Bertindak bagi penduduk Islam Chemor akan menghantar memorandum bantahan kepada YB TPM Dato' Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YAB Menteri Besar Perak dan juga Paduka Seri Sultan Perak selaku Ketua Ugama Negeri Perak dan Badan Pencegah Rasuah.
Sumber: agen MR
4 Mei, 1999