BABI JUGA SATU MASALAH KEPADA UMNO
Kerajaan UMNO akan lebih tertekan dengan pelbagai masalah menjelang pilihanraya umum kali ini, menurut beberapa pemerhati politik tempatan.
Dalam kegawatan ekonomi yang memerlukan masa untuk pemulihannya, kerajaan terpaksa berbelanja lebih untuk meraih undi dalam pilihanraya nanti. Keadaan itu ditambah dengan kerenah pelbagai pihak yang hanya memberikan tekanan samada secara langsung dan tak langsung.
Masalah JE dan pembayaran pampasan juga adalah satu beban besar yang menanti di hadapan. Jika tidak ditangani, kehilangan undi dari kaum Cina akan dirasakan.
Hari ini penternak-penternak babi dilaporkan mengadakan demontrasi di hadapan bangunan MCA menuntut pampasan yang lebih baik akibat kerugian yang ditanggung ekoran ternakan mereka yang dimusnahkan dalam operasi baru-baru ini..
Lebih 250 orang etnik Cina termasuk wanita dan kanak-kanak memegang sepanduk dan menuntut MCA prihatin dan mengkaji semula pembayaran pampasan mereka. Jurucakap etnik Cina, Lai Poh Chun, dipetik sebagai berkata MCA telah mengabaikan masalah mereka dan rakyat yang menanggung kesusahannya. Mereka juga meminta MCA supaya mengemukakan isu ini kepada peringkat yang lebih tinggi.
Tuntutan pampasan itu ialah sebanyak RM200 daripada RM50 yang dicadangkan oleh pihak Kerajaan. Mereka yang menghadapi masalah kewangan seterusnya masih tidak boleh pulang ke rumah kerana khuatir keadaan masih belum selamat.
Penternak-penternak yang berada dalam lingkungan kawasan jangkitan berasa kehilangan semangat untuk terus hidup kerana dibebani masalah hutang bank dan berharap pihak berkenaan akan bersetuju menambah pampasan yang dituntut supaya mereka boleh menjadualkan semula hutang-hutang dan memperbaiki ladang-ladang dan kehidupan mereka.
Sejumlah 901,228 ekor babi telah dimusnahkan dalam operasi yang berakhir pada 26 April, 1999.
Sumber: AFP
4 Mei, 1999