MEDIA SANGGUP JADI KUDA TUNGGANGAN

Tinjauan Minda Rakyat di kalangan menengah dan bawahan rakyat negeri ini (Perak), di mana sahaja mereka ditemui, bersetuju bahawa 'media' samada milik kerajaan atau swasta sanggup menjadi kuda tunggangan Diktator Mahathir dan kroninya untuk terus menabur fitnah terhadap pemimpin pembangkang.

Kegelisahan rakyat itu sukar dibendung setiap kali media memfitnah pemimpin parti pembangkang (terutamanya PAS) dan menyifatkan mereka (media) sebagai alat propaganda murahan Kerajaan. Topik perbualan mereka juga adalah sekitar suasana politik yang berat sebelah mengatasi lain-lain topik perbualan.

Akibatnya, rakyat merasa jemu dengan 'hidangan' yang serupa berbulan-bulan lamanya. Misalnya, usaha pemulihan ekonomi yang dijangkakan pulih sudah diperkatakan sejak bulan Oktober tahun lalu namun hingga kini tiada tanda-tanda pemulihannya melainkan propaganda media itu sendiri. Buktinya, harga barangan dan makanan terus meningkat tanpa dapat dikawal lagi. Manakala hutang negara terus bertambah kepada angka melebihi RM103 bilion.

Manakala rakyat kelas menengah negeri ini pula mahukan pilihanraya dipercepatkan untuk mereka menunaikan tanggungjawab 'mengubah' keadaan yang rumit ini, kepada yang lebih baik, meskipun ada yang mahu mengekalkan kerajaan yang sedia ada.

Sumber: agen MR
4 Mei, 1999