KEMPEN PEMBANGKANG MESTI KE AKAR UMBI

Kempen di peringkat bawahan mestilah diteruskan dan dilipatgandakan usahanya oleh parti-parti pembangkang, khususnya PAS, untuk memberikan maklumat dan kesedaran tentang betapa zalimnya Kerajaan yang memerintah hari ini.

Reaksi yang diterimabalas Minda Rakyat melalui agen MR menyifatkan bahawa terdapat golongan kakitangan Kerajaan dalam kumpulan D seperti pemandu dan Pembantu Pejabat dikatakan bersikap tidak mahu 'ambil tahu' dalam kemelut politik negara, mahu pun menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Dakwa mereka, jika menyokong mana-mana pihak sekalipun, itu tidak akan merubah nasib mereka yang sempit dan serba kekurangan. Pengabaian ini boleh dilihat sebagai memberikan ruang kepada UMNO yang cekap mengumpan wang, terutamanya menjelang piilihanraya. Upah menggantung bendera dan poster bagaimana pun adalah saat-saat yang ditunggu mereka. Biar UMNO, PAS mahupun DAP, mereka akan sanggup lakukan (gantung poster dan bendera) asal 'fulusnya' ada.

Menurut seorang kakitangan kumpulan D yang ditemui berkata bahawa pada musim pilihanraya, beliau sering menawarkan dirinya menjadi pemandu yang akan membawa pengundi-pengundi ke tempat mengundi. Pada pilihanraya lalu beliau bertugas di Sitiawan, Perak, dan berkesempatan mencari wang saku tambahan sebanyak RM400 serta minyak kenderaannya diisi penuh beberapa kali. Beliau juga mendakwa berkempen semasa dalam keretanya dan mengaku telah memperdayakan ramai orang-orang tua terutamanya wanita yang didakwanya mahu memangkah bulan kerana benci BN. Namun dakwanya, jika kita benci BN kita harus pangkah BN, yakni sebagaimana tanda salah semasa cikgu mengajar di sekolah.

Sumber: agen MR

4 Mei, 1999