PELUANG PEMBANGKANG SEBAR PENGARUH CERAH

Susunan ABU BAKAR RASHID

Peluang parti-parti pembangkang untuk meluaskan pengaruhnya di kalangan rakyat negara ini semakin cerah dan menjanjikan apabila Business Times Singapura melaporkan jumlah pengguna Internet di Malaysia dijangka akan bertambah kepada 1.2 juta orang tahun hadapan.

Pada masa ini, lapor akhbar itu, terdapat kira-kira 500,000 orang pelanggan Internet yang melanggan dengan dua pelayan Internet di negara ini, Mimos Bhd yang mengendalikan Jaring dan Syarikat Telekom Malaysia Berhad yang mengendalikan Tmnet. Jumlah itu terus meningkat walaupun ketika krisis ekonomi melanda negara ini.

Bagaimanapun, menurut Business Times, kerajaan tidak bercadang menambahkan jumlah pelayan Internet melebihi dua pelayan yang ada sekarang dan lima lagi yang mana permohonan mereka telah diluluskan tahun lalu.

Lima pihak yang memohon itu, Celcom, Digi Telecommunicatios, PrismaNet, Time Telecommunicatios dan Bina Sat-Com dijangka akan memulakan perkhidmatan pada penghujung tahun ini.

Khabar yang menggembirakan untuk pembangkang itu diiringi dengan berita yang kurang menyenangkan kepada kerajaan Umno dan Barisan Nasional yang dikuasai hampir sepenuhnya oleh Perdana Menteri Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad. Menurut The Australian, kalaupun benar ekonomi Malaysia bertambah baik, tidak ada sebab bagi ahli-ahli perbankan pelaburan Amerika Syarikat untuk meletakkan wang mereka di Malaysia. Akhbar itu memetik David DeRosa, presiden DeRosa Research & Trading yang juga professor kewangan di Yale School of Management.

Menurut akhbar itu, DeRosa yang menulis untuk Bloomberg News juga menggesa pengurus-pengurus portfolio bon antarabangsa supaya memulaukan bon bernilai AS$2 bilion (RM7.6 bilion) yang dirancang untuk diterbitkan oleh Malaysia.

"Jika anda membeli bon-bon ini, mengandaikan mereka akan berjaya di pasaran, anda membuat keputusan untuk membiayai rejim Mahathir yang kuku besi," The Australian memetik dakwaan DeRosa.

"Membeli bon-bon Malaysia juga bermakna menghantar mesej kepada Mahathir bahawa adalah tidak mengapa baginya untuk menggantung perdagangan matawang negara-nya dan menguatkuasakan kawalan modal," kata beliau seperti dipetik The Australian. "Anda (sebenarnya) menyatakan kepada Mahathir bahawa dunia kewangan adalah alas kakinya".

Apa yang lebih menggemparkan ialah berita mengenai wawancara LA Times dengan Dr Mahathir. Akhbar itu melaporkan pengakuan jujur Dr Mahathir tentang sebab sebenar tindakan beliau memecat Anwar. "Beliau cuba menjatuhkan saya. Beliaulah orangnya yang menjadikan isu tersebut kepada masalah politik.

Hakikatnya ialah beliau tidak dapat menerima bahawa beliau bukan menteri pertama yang dipecat. Orang lain juga diberhentikan dan didapati bersalah oleh mahkamah....," akhbar itu memetik Dr Mahathir sebagai berkata.

Ketika beliau, para penyokongnya dan media-media di bawah kekuasaannya mengecam dengan penuh histeria apa yang mereka anggap sebagai fitnah, Dr Mahathir juga kelihatan tidak terlepas melakukan kesalahan yang sama apabila beliau membuat generalisasi borong yang begitu boros.

"Jika anda lihat betul-betul gambar itu (yang disiarkan sebagai kulit muka depan sebuah majalah) adalah akan dapati apa yang disebut sebagai reformis ini adalah mereka yang memakai pakaian yang koyak rabak, jenis hippie yang meminum arak, dengan perkataan Budweiser di baju mereka. Jika anda tidak tahu sama ada ia benar, orang ini sendiri mendakwa mereka dibayar untuk menunjuk perasaan".

Dr Mahathir tidak pula mengulas siapakah yang mengupah mereka yang berpakaian koyak-rabak itu untuk berdemonstrasi. Beliau juga tidak mengulas tentang beberapa orang tertentu yang berlakon sebagai penunjuk perasaan, mencetuskan suasana tegang, merosakkan harta awam, menyalakan api dan kemudiannya orang-orang yang sama dilihat berada di sebelah pihak yang sepatutnya mengha-lang rusuhan-rusuhan sedemikian.

Mungkin fakta-fakta sedemikian hanya boleh diketahui dan kekeliruan boleh diatasi dengan melayari Internet, yang berita mengenai penggunaannya yang semakin meluas telah dilaporkan oleh Business Times.

Ihsan: Harakah