EKONOMI SUKAR PULIH JIKA KRONI BERMAHARAJALELA

Pensyarah Ekonomi Universiti Malaya (UM), Dr Jomo K Sundram mengingatkan bahawa ekonomi negara akan mengalami kesukaran untuk pulih jika sistem dalam tanah air dan kroni terus bermaharajalela.

Ketika mengulas laporan mengatakan ekonomi sudah pulih, beliau menegaskan pasaran saham tidak mencerminkan keadaan ekonomi.

Katanya, keadaan pasaran saham hanya mencerminkan keyakinan orang dalam pasaran saham itu terhadap saham.

"Bahasa saham cukup mengelirukan. Kalau tuan-tuan tengok berita bahawa pasaran saham hari ini ditutup lega. Tiada siapa dalam pasaran saham yang lega kerana itu bermaksud harga saham telah menurun," ujarnya.

Soal sekarang kata beliau apakah kerana kebijakan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (Maten) dan Perdana Menteri memulihkan ekonomi.

"Tidak. Kalau kita lihat di Thailand, Korea Selatan malah Indonesia keadaan sekarang tidak seteruk apa yang berlaku tahun lalu, mula bertambah baik. Itu tidak bermakna kita kembali kepada pertumbuhan sebagaimana awal dan pertengahan 90 an tetapi boleh dikatakan tempoh yang paling gelap berlalu.

"Tetapi adakah hari ini akan hujan. Itu belum pasti. Dan kalau sistem dalam tanah air tidak berubah dan kroni terus bermaharajalela barangkali, hari ini terus akan hujan dan ini merupakan musim hujan.

"Jadi kita tidak boleh harapkan keadaan ekonomi dan nasib rakyat jelata terutama golongan mustadh'afin akan pulih. Oleh demikian ini penting kita kerja kuat membawa perubahan yang mendalam," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Perhimpunan Hari Buruh bertema Buruh Ditindas, Rakyat Diperas, Korporat Kebas di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar di sini, Sabtu lalu.

Turut berrucap di majlis itu Pengerusi Jawatakuasa Lajnah Hal Ehwal Pekerja dan Setinggan PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu, wakil kesatuan sekerja, Syed Shahril dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan, Tian Chua.

Mengulas Hari Buruh dalam program yang dihadiri hampir 5,000 orang itu, Dr Jomo berkata perjuangan buruh orang Melayu adalah yang paling awal iaitu pada 1895 di Pulau Pinang.

Beliau juga menjawab tuduhan pihak ustaz yang menghasut orang Melayu supaya tidak terlibat dalam perjuangan buruh kerana ia tidak sesuai dengan Islam sedangkan perjuangan buruh atau dikenali ketika zaman Nabi Muhammad ialah perjuangan golongan mustadh'afin.

Menyentuh saman yang dihadapi beliau RM250 juta, Dr Jomo berkata, semenjak sistem kehakiman dan selepas pembuangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, ia membimbangkan.

Ihsan: Harakah
7 Mei, 1999